Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

06 Julai 2008

Penggunaan biofuel punca utama harga makanan naik



LONDON: Satu laporan sulit Bank Dunia menyenaraikan biofuel sebagai penyumbang terbesar atau 75 peratus peningkatan harga makanan dunia.

Akhbar Telegraph melaporkan semalam, angka berkenaan jauh lebih besar daripada anggaran sebelum ini, termasuk dakwaan kerajaan Amerika Syarikat kononnya biofuel sekadar mewakili kurang tiga peratus punca kenaikan mendadak berkenaan.

Pendedahan itu menunjukkan impak sebenar biofuel ke atas harga makanan di saat-saat getir ketika kebanyakan kerajaan membincangkan dasar berhubung penghasilan dan penggunaan bahan tenaga alternatif berasaskan tumbuhan itu.


Peningkatan harga makanan dunia ketika ini dipersalahkan sebagai penyebab 100 juta penduduk kini berada di bawah garis paras kemiskinan.

Laporan sulit berkenaan berdasarkan butiran terperinci analisis ekonomi mengenai kesan sebenar biofuel dan ia bakal memberi tekanan kepada kerajaan Amerika dan Eropah.

Ini disebabkan negara Barat itu sudah mula menggunakan biofuel atas alasan mahu mengurangkan kesan pencemaran akibat pelepasan gas rumah hijau dan pembakaran minyak mentah serta mengelak penggantungan terhadap import minyak.

Dokumen itu juga secara langsung menyalahkan tindak tanduk Amerika dan negara Kesatuan Eropah (EU) berkempen bagi penggunaan biofuel, terbukti memberi kesan buruk ke atas harga makanan dunia.

Pendedahan itu sekali gus memberi tamparan hebat kepada Presiden George W Bush yang sebelum ini menuduh permintaan makanan tinggi dari India dan China sebagai punca harga makanan melambung tinggi.

"Jika tidak disebabkan peningkatan penggunaan biofuel itu, sudah pasti bekalan gandum dan jagung dunia tidak berkurangan mendadak manakala harga makanan pula meningkat pada paras sederhana," kata laporan Bank Dunia itu.