Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

15 Julai 2008

Usaha Idris pulih MAS menakjubkan

Oleh Azman Ujang

CEMERLANG: Idris terus berkhidmat dengan MAS selama tiga tahun lagi.

Cabaran dihadapi tak pernah dialami industri

KUALA LUMPUR: Ketika Datuk Seri Idris Jala dilantik Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS) pada Disember 2005 selepas mengalami kerugian terbesar dalam sejarahnya, kebanyakan rakyat Malaysia tidak pernah mendengar nama beliau.

Soalan paling popular ditanya dalam sektor korporat pada masa itu ialah bolehkah beliau menangani masalah besar dalam MAS yang pernah memenangi pelbagai anugerah penerbangan tetapi pada masa sama mengalami kerugian besar.

Keraguan awal terhadap pelantikan Idris lebih disebabkan beliau tidak pernah mempunyai pengalaman dalam industri penerbangan, ditambah pula pelantikannya dilakukan dengan mengetepikan nama korporat yang lebih berprofil tinggi.

Apa yang tidak diketahui ketika itu ialah Idris, seorang kakitangan cemerlang Shell Malaysia dan pemilihannya itu juga berkaitan dengan sejarah panjang Royal Dutch Shell dalam mengendalikan kerugian dan pemulihan perniagaan.

Menurut maklumat dalaman, beliau kemungkinan menjawat jawatan yang memberikan pendapatan lebih lumayan sebagai pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) anak syarikat kerajaan Malaysia jika tidak menerima cabaran menguruskan MAS.

Bagaimanapun, pelantikannya menampakkan hasil bagi kerajaan, terutama sekali kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dengan catatan kerugian untuk tempoh sembilan bulan sebanyak RM1.3 bilion pada 2005, Idris berjaya memulihkan MAS dalam tempoh kurang dua tahun, setahun lebih awal daripada yang dijadualkan, dengan mencatatkan keuntungan lebih RM851 juta pada 2007.

Beliau melaksanakan Pelan Pemulihan Perniagaan fasa pertama (BTP 1) pada Februari 2006 dan melaksanakan Pelan Pemulihan Perniagaan fasa kedua (BTP 2) hasil kejayaan pertama itu pada Januari tahun ini.

BTP 2 mensasarkan catatan keuntungan tahunan RM2 bilion hingga RM3 bilion menjelang 2012, dengan MAS berhasrat untuk menjadi syarikat penerbangan bernilai lima bintang dunia sambil menawarkan produk dan perkhidmatan lima bintang pada harga termampu.

Langkah memulihkan MAS itu adalah perkembangan berterusan program transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Malaysia yang baru 40 peratus diselesaikan. Usaha itu kini memasuki fasa ketiga dari 2007 hingga 2010.

Menurut cabang pelaburan kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional Berhad, yang bertindak sebagai sekretariat program itu, perkembangan kewangan dan operasi GLC kini menggalakkan. Pendapatan agregat 20 GLC terbesar (G-20) yang terse-narai di Bursa Malaysia melonjak 91 peratus kepada RM19.1 bilion tahun lalu daripada RM10 bilion pada 2004.

Selain MAS, syarikat utama lain dalam portfolio pelaburan Khazanah yang tersenarai termasuk Telekom Malaysia, Tenaga Nasional, CIMB Group, Proton Holdings, Plus Expressways, UEM World, UEM Builders dan PT Bank Lippo.

Khazanah, yang menguasai dan menguruskan aset komersial kerajaan serta melaksanakan pelaburan strategik, mempunyai kepentingan dalam lebih 50 syarikat yang mempunyai aset bernilai lebih AS$20 bilion.

Melalui anak syarikatnya, Iskandar Investment dan UEM Group, ia meraih pelaburan sehingga RM36.1 bilion dalam tempoh 19 bulan atau 77 peratus daripada RM47 bilion yang disasarkan bagi tempoh lima tahun pertama.

Usaha memulihkan MAS itu membuka mata banyak pihak kerana ia memberi pengajaran berguna kerana walaupun dalam tempoh ekonomi yang terbaik pun, syarikat penerbangan tidak menawarkan pulangan lumayan.

Dengan lonjakan harga minyak ke paras yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan terus kekal tinggi, masa depan industri itu terus suram. Banyak syarikat akan ditutup, manakala kebanyakan daripada syarikat penerbangan lain akan mengalami kerugian.

Pengerusi MAS, Tan Sri Dr Munir Majid menyifatkan kejayaan pemulihan MAS dan dicapai lebih awal daripada yang dijadualkan sebagai 'menakjubkan.'

"Hakikat bahawa MAS masih boleh menghadapi cabaran yang tidak pernah dialami industri penerbangan, adalah satu kejayaan Idris," katanya.

Munir berkata: "Sememangnya orang ramai mahu tahu bagaimana prestasi itu dicapai, apa yang dilakukan dan ramuan bagi menghasilkan kejayaan itu." Kunci utama pelan transformasi MAS itu ialah perubahan positif.

"Idris merancangnya dengan teliti. Beliau menggunakan daya kepemimpinan dan motivasi secara peribadi untuk memastikannya difahami semua peringkat tanpa mengenal penat lelah," katanya.

Bagi tahap seterusnya, Munir melihatnya sebagai proses kesinambungan hidup dan transformasi, khususnya pada tahap kepemimpinan politik.