Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

18 Ogos 2008

Bachok dipilih lokasi pusat kajian marin


Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my

Institusi Sains Darat dan Laut buat penyelidikan

KOTA BHARU: Sebuah pusat penyelidikan marin bagi teknologi ekokejuruteraan dikenali dengan Institut Sains Darat dan Laut (IOES) akan dibangunkan di Bachok dekat sini, membabitkan kos RM25 juta.

Ketua Pusat Penyelidikan Maritim Universiti Malaya (UMMReC), Prof Phang Siew Moi, berkata IOES itu ditubuhkan dengan kerjasama UMMReC untuk merealisasikan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi bersama program "laut dan angkasa" Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.


Katanya, kos pembangunan IOES ialah RM13 juta, manakala RM12 juta adalah bagi peralatan tambahan dengan matlamat untuk membangunkan satu sistem marin yang padu di rantau ini, selain melancarkan ekspedisi Laut China Selatan.

"Universiti Malaya (UM) yang terkenal dalam penyelidikan ekologi dan marin biodiversiti akan menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi menjayakan IOES.

"Penubuhan pusat itu juga memenuhi matlamat pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam penyelidikan berasaskan marin terutama dalam meningkatkan hasil tangkapan laut di Pantai Timur selain negara," katanya.

Phang berkata, kajian bioteknologi marin di pusat itu akan menjuruskan kepada pembangunan sumber marin tropikal yang berpotensi untuk bioperubatan marin, selain teknologi tisu rumpai laut dan bioimformatik.

“Ada pasaran luas bagi kajian marin dalam bidang farmaseutikal dengan sebanyak AS$52.3 bilion dibelanjakan untuk makanan tambahan kesihatan di Malaysia pada 2002, selain AS$3 bilion dibelanjakan untuk kosmetik,” katanya.

Beliau berkata, IOES ada lima unit kajian iaitu sumber, bioteknologi dan ekosistem kehidupan marin; kajian pemprosesan pantai serta kejuruteraan pantai; pemantauan sistem bumi; polisi dan perundangan maritim dan geopolitik serta budaya maritim.

"Dengan penubuhan IOES ini, ia akan menyediakan kepakaran terkini terutama saintis terkemuka dalam maritim, sejarah, budaya dan geopolitik.

"Selain itu, sebuah institusi terkemuka dalam sains bumi dan laut iaitu National Oceanography Centre Southampton, dijemput menjadi penasihat IOES," katanya.