Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

20 Ogos 2008

Bahasa Melayu Wadah Komunikasi Utama



BARU-BARU ini Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta atau ringkasnya JAKSA telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Mesyuarat telah sepakat memutuskan beberapa perkara ke arah meluaskan serta meningkatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan sektor swasta sebagai wahana komunikasi utama dalam sektor perdagangan dalam negeri, industri khusus, perkhidmatan ke-wangan dan media massa.

Banyak perkara yang dibincangkan, daripada isu pelaksanaan bahasa dalam sektor yang diwakili oleh ahli mesyuarat sehinggalah kepada usaha atau cadangan memperkasakan bahasa kebangsaan, sewajarnyalah bahasa Melayu menjadi keutamaan sebagai bahasa pengantar dalam urusan rasmi.

Sesungguhnya segala yang diputuskan dalam mesyuarat perlu diaplikasikan dalam hal-ehwal pentadbiran serta pengurusan korporat, lebih-lebih lagi produk dan perkhidmatan yang dihasilkan untuk masyarakat seluruhnya. Sebagai bangsa yang merdeka kita mahu melihat negara kita maju mengikut acuan sendiri. Kini masanya sektor swasta bertambah yakin terhadap kemampuan bahasa kebangsaan sebagai wadah komunikasi, pengembangan minda dan pembangunan ekonomi. Untuk memperkasakan bahasa kebangsaan bukan sahaja melalui penulisan dan penerbitan buku-buku ilmu khususnya bidang kebahasaan, tetapi juga dengan penghasilan produk dan perkhidmatan yang berasaskan bahasa kebangsaan. Malah bahasa kebangsaan dapat melengkapkan ilmu dan maklumat yang perlu diketahui oleh segenap lapisan masyarakat di seluruh pelosok negara.

Tiada alasan untuk mana-mana pihak mengingkari Perlembagaan Negara dengan mengagung-agungkan bahasa asing kerana bahasa Melayu telah menyediakan kemudah-an lengkap untuk mengungkapkan kata dan istilah dalam pelbagai bidang. Sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51 ini, bersama-samalah kita menanamkan tekad untuk terus memperkasakan bahasa kebangsaan di tanah air tercinta. Semoga keringat pejuang bahasa yang bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan tanah air lebih setengah abad yang lampau terus mendapat pengiktirafan pemegang tampuk negara.