Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

20 Ogos 2008

Cinta dan Kemanusiaan dalam BPKL

[]

Rasa cinta dan kasih sayang yang mendalam terhadap kehidupan dan kemanusiaan dalam semangat nasionalisme terus disuarakan dalam siri Baca Puisi Kuala Lumpur (BPKL) yang berlangsung pada 20 Jun yang lalu. Siri ketiga program yang berkonsep santai dan terbuka ini menampilkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasadan Pustaka (DBP), Anding AF2 yang mewakili golongan artis mendeklamasikan puisi.

Majlis yang diadakan di Ruang Legar, Balai Tun Syed Nasir, DBP Kuala Lumpur ini dihoskan oleh penyair Sutung Umar RS yang membuka tirai bacaan puisi “Kita Tak Tahu Gelandangan Khuldi” dan “Ketukan di Pintu” karya Dinsman. DatukNoraini yang juga Ketua Puteri UMNO memukau penonton pada malam itu dengan emosi dan penghayatannya mengheret suasana puisi “Warkah Si Ibu Tua” karya sahabatnya, MS Zain. Antara bait-baitnya ialah;

“Ingatlah antara kaca dan permata pilihan duniawi antara sembah sujud pada satu yang lebih hakiki usah kau kejar cinta pada dunia yang tiada noktahnya usah kau kejar pada ringgit dan bertuhankannya usah kau cinta pada manusia sampai dirimu diperhamba.”

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP pula mengajak penonton menghayati semangat nasionalisme melalui puisi “Dongeng Ketipang Payung”. Di samping itu pula, penerima Anugerah SEA Write 2002, Datuk Dr. Anwar Ridhwan mengetengahkan ketabahan wanita dalam mengharungi pancaroba kehidupan lewat puisi “Mariam”.

Majlis anjuran bersama Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW), DBP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini turut mengetengahkan bakat Timbalan Ketua Pengarah KPKKW, Mohd Zaki Din yang mendeklamasikan puisi “Jika Kita Cinta”. Manakala yang mewakili golongan artis, Anding mendeklamsikan puisi karya ayahnya Mantan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Zaini Ozea yang bertajuk “Cinta Bukan Sekadar Pak Pong” dan “Gudanggedung”.

Penyair muda bersuara lantang, Marsli N.O melontar rasa cinta dan kasih sayang melalui puisi “Negeri Ini Anak”. Pensyarah Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM), Mohd. Fauzi Abdullah pula menyelami pengorbanan ibu dan ayah melalui nazam berjudul ”Kasih Ayah dan Ibu”.

Wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Faridah Hanim Hassan memukau hadirin dengan puisi “Suara Jeritan”. Kelab Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) di bawah bimbingan Pensyarah Haslinda Saad, menampilkan empat orang pelajar dengan persembahan puisi berjudul “Pindah Dari Cinta Itu Untuk Dia”.

Persembahan program yang memukau sekitar 400 khalayak ini turut diserikan oleh Sani Sudin daripada Kumpulan Kopratasa dengan dua buah lagu puisi “Ke Pintu Kasih” dan “Kita ini Semua Saja”. Johan Sayembara Mencipta Lagu Puisi 2006, Badrul Hisham Abdul Hamid pula memikat hadirin dengan karyanya “Air” dan “Permata”.