Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

18 Ogos 2008

Melaka promosi lokasi teknologi bio dan tenaga perbaharui


Oleh Amirullah Andi Nur

MELAKA: Kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah aktif bagi mempromosikan negeri ini sebagai lokasi pilihan utama untuk pelabur membuka industri termasuk dalam bidang teknologi bio dan tenaga perbaharui, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Katanya, pada masa sama, kerajaan turut memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta bijak dalam bidang komputer yang ketika ini menjadi tulang belakang kemajuan ekonomi pada era teknologi maklumat. "Bagi memastikan pelabur terus datang ke sini, kita juga mewujudkan beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Multimedia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menampung keperluan pelabur terutama dari segi tenaga kerja mahir," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ibu pejabat baru HE Consolidated Sdn Bhd (HE), sebuah syarikat kejuruteraan terkenal di negeri ini di Jalan Bukit Senjuang, dekat sini. Teks ucapan beliau dibacakan Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Yunos Husin. Ibu pejabat baru HE yang turut dikenali The Core atau Pusat Tenaga Diperbaharui, sebelumnya beroperasi di pusat komersial Taman Melaka Raya di Bandar Hilir, dekat sini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif HE, Dennis Yong dan Naib Presiden Kanan HE, Michele Gei. Mohd Ali berharap, pembukaan ibu pejabat baru HE ini akan dapat membantu syarikat itu dalam memainkan peranan meningkatkan pembangunan ekonomi negeri ini pada masa depan. Sementara itu, Gei berkata, syarikat itu sudah beroperasi lebih 12 tahun di negeri ini dan setakat ini sudah mempunyai beberapa pejabat cawangan di ibu negara selain China, berharap dapat merebut lebih banyak peluang ekonomi di Melaka menerusi pelbagai pelaburan baru pada masa depan.