Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

13 September 2008

Jangan biar martabat 'bahasa kebangsaan' diperlekehkan


BAHASA Melayu tidak pernah dikesampingkan, begitulah kita cuba diyakinkan selama ini. Tetapi pragmatisme yang mula melanda negara ini sebenarnya membukakan ruang dan kelonggaran untuk banyak pihak tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

Secara kebetulan, September tahun ini juga tidak kedengaran kempen 'Bulan Bahasa dan Sastera Negara'. Adakah program membangkitkan rasa cinta kepada bahasa kebangsaan ini masih ada ataupun program itu sudah ditiadakan.

Apa pun kita jangan berputus asa memartabatkan bahasa kebangsaan. Sesiapa yang memperlekehkannya adalah manusia yang tidak sedar di mana bumi dia berpijak.

Biar sebesar mana dugaan dan percubaan untuk merendahkan martabat bahasa Melayu, jangan sekali-kali kita benarkan.

Sejak lebih sedekad lalu, banyak keadaan bahasa Melayu dilayan dengan cara tidak sepatutnya. Kini secara terang-terangan pula papan tanda jalan yang sekian lama mewajibkan penggunaan ejaan dalam bahasa Melayu dan tulisan jawi cuba dicabar.

Ada pemimpin politik yang mengada-ngada mahu menggantikan tulisan jawi pada papan tanda nama jalan dengan tulisan Tamil, Cina dan Inggeris.

Dengan rasa bangga dia menunjukkan contoh papan tanda jalan yang telah ditiadakan tulisan jawi dan ditambah dengan tulisan Cina dan Tamil pada sebatang jalan terkemuka di ibu kota Kuala Lumpur.

Bila masanya tulisan Cina dan Tamil diletakkan sama taraf dengan tulisan bahasa Melayu? Perkara menukar tulisan pada papan tanda jalan tidak boleh dibuat sesuka hati.

Kita mengalu-alukan kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup; "Orang lain tidak boleh senang-senang pasang papan tanda, hanya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang boleh melakukannya."

DBKL hanya akan meluluskan penggunaan bahasa kebangsaan bagi semua papan tanda jalan di sekitar ibu kota. Jika terdapat pihak yang tidak mengikut peraturan dengan menaikkan papan tanda yang 'terlarang', DBKL akan menurunkannya dengan segera.

Papan tanda jalan sepatutnya memaparkan nama jalan dengan ringkas, padat dan jelas. Jangan diserabutkan dengan tulisan lain.

Kita tidak lupa terhadap tindakan sekumpulan pemuda Gerakan bertindak memasang enam papan tanda bahasa Mandarin di beberapa jalan di Pulau Pinang. Selain itu, kerajaan campuran negeri itu juga berhasrat memasang papan tanda jalan dalam pelbagai bahasa.

Tindak-tanduk itu jelas mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan. Kedudukan bahasa Melayu tidak boleh disamakan dengan bahasa lain.

Adalah tidak wajar penggunaan bahasa Melayu sengaja diperkecilkan sedangkan ia telah sekian lama menjadi bahasa rasmi negara.

Oleh kerana pihak atasan DBKL sudah bersuara mengenai ketegasan untuk memelihara dan mempertahankan bahasa kebangsaan, maka kita cadangkan supaya dikawal dan bertindaklah lebih tegas dalam menangani isu papan tanda dan iklan yang tidak berlesen dan mencemarkan bahawa kebangsaan di Kuala Lumpur.

Satu tindakan bersepadu hendaklah diadakan untuk menurunkan semua papan tanda dan iklan itu. Sakit mata memandang papan tanda iklan yang membelakangkan bahasa kebangsaan.

Papan tanda dan iklan yang mendapat kelulusan DBKL juga tidak sepatutnya sewenang-wenang memasang papan tanpa mengikut standard penggunaan bahasa Melayu yang betul kerana ia merosakkan bahasa kita di mata masyarakat.

Apa yang memalukan kita, apabila ada syarikat antarabangsa sanggup mengutamakan penggunaan bahasa Melayu berbanding dengan syarikat tempatan sendiri.

Perkara ini memang selalu terjadi disebabkan sikap tidak peduli atau buat-buat lupa orang kita.

Kita minta kerajaan lebih tegas dalam menguruskan perkara sebegini sebab negara sudah ada peraturan yang berkaitan. Penguatkuasaan yang ketat dan disusuli dengan tindakan tegas perlu bagi memastikan undang-undang berkaitan diikuti.

Berleluasanya keingkaran menghormati bahasa kebangsaan dalam papan tanda dan iklan berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan. Pihak Berkuasa Tempatan sepatutnya tidak meluluskan papan tanda menggunakan bahasa Melayu yang salah. Jika mahu bahasa lain digunakan, pastikan tulisan bahasa Melayu disertakan sekali.

Kerajaan digesa tidak lagi mengambil pendekatan bertolak ansur dan sekadar memberi nasihat agar semua pihak mengutamakan bahasa kebangsaan.

Jika tidak, bahasa Melayu yang dikatakan bahasa kebangsaan dan penyatu semua kaum itu hanya bahasa kelas dua di negara ini.

Sikap bertolak ansur selama ini mungkin menyebabkan masyarakat memandang ringan dan mengabaikan bahasa ini sehinggakan kedudukannya masih tidak menentu walaupun lebih 51 tahun negara kita merdeka.

Kita harus bersikap jujur dan sedar bahawa bahasa Melayu kini semakin hilang status dan wibawanya di negara ini.

Jika silap pendekatan, dalam tempoh 10 tahun akan datang, semua papan tanda jalan dan iklan di negara ini ditulis dalam bahasa Inggeris, Cina dan Tamil sehingga kita tidak tahu apa identiti negara ini lagi.