Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

03 September 2008

MAP telusuri makna kemerdekaan


KEMERDEKAAN dan nasionalisme tanah air sering dipandang dalam konteks ambiguiti oleh sebahagian generasi muda hari ini. Bagi mereka, mengibar bendera, menyanyikan lagu-lagu patriotik dan menyaksikan perarakan sudah memadai.

Fenomena ini merupakan krisis yang negatif terhadap kelangsungan identiti nasional kerana kemerdekaan ditafsir dan dihayati secara luaran sahaja. Padahal ia mesti ditafsir dari aspek falsafah dan pengertian yang mutlak.

Pemahaman sebenar tentang kemerdekaan tersebut perlu digali dan dihayati secara saksama supaya peringatan kemerdekaan tidak hanya menjadi sebuah upacara yang gagal difahami.

Persoalan inilah yang cuba diketengahkan oleh Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) yang melihat puisi mampu menjadi salah satu medium untuk mem- bawa khalayak menyelami erti sebenar kemerdekaan.

Kalam dan Persatuan Persatuan Penduduk Jalan Saga 7 (Pesaga 7), Taman Saga, Ampang, Selangor dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat (PPDHL) akan menganjurkan Malam Apresiasi Puisi dan Seni Budaya Gemilang Kemerdekaan Ke-51 (MAP).

Program bertemakan Nasionalisme, Patriotisme dan Kemanusiaan tersebut akan berlangsung di Auditorium MPAJ malam esok, pukul 8.30 malam. Ia akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli.

Antara penyair, artis dan kumpulan jemputan yang terlibat menyemarakkan program tersebut ialah Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Rahimidin Zahari, Siti Raihani Mohd. Saaid, Ayusari MJ, Harlym Yeo, M. Maitili, Aishah (artis), Zubir Ali dan Kumpulan Harmoni (lagu puisi), Anjung Seni Bingkas Kebayan, Muhd. Saifullah dan Nur Syahirah Mattaib.

Selain Norliza (Ketua Pengarah JKKN),

tokoh kenamaan lain yang akan mendeklamasikan puisi ialah Datuk Muhammad Yacob (Yang

Dipertua MPAJ), Drs. Mohamad Daud Mohamad (Ketua Satu Kalam), Rozian Mohd. Long (Pengerusi Pesaga 7) dan Ismail Musa (Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat).

Program tersebut terbuka secara percuma kepada penulis, penyair, penggiat budaya dan teater, pelajar, peminat bahasa dan sastera serta orang ramai.