![]() |
Makmal komputer yang lengkap dengan kemudahan Internet banyak membantu para pelajar untuk mendapatkan maklumat serta menyelesaikan tugasan sekolah. |
SEJAK 1999, sistem pendidikan telah mengalami perubahan dengan penerapan Sekolah Bestari di beberapa sekolah yang terpilih di seluruh negara.
Ia merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi meningkatkan mutu pendidikan, dasar - dasar pendidikan negara yang sentiasa dikaji dan kurikulum diperkemaskan bagi memastikan berdaya saing untuk menghadapi alaf baru yang menekankan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Di samping itu, sekolah bestari merupakan salah satu platform terbaik untuk menjana perkembangan produktif yang dapat dicapai melalui kelahiran pakar teknologi, tenaga kerja yang mampu berfikir secara kritis, inovatif dan kreatif.
Selain itu, ia juga bertujuan bagi membentuk perkembangan potensi individu secara holistik dan bersepadu agar dapat menghasilkan individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Pewujudan, konsep Sekolah Bestari yang lengkap dengan teknologi terkini serta kemudahan prasarana itu secara tidak langsung berupaya untuk memperkasakan perkembangan ICT di kalangan rakyat.
Langkah tersebut membantu generasi muda untuk menguasai penggunaan aplikasi ICT selain merapatkan jurang digital antara penduduk luar bandar dengan penduduk di bandar.
Pewujudan Sekolah Bestari ini merupakan satu daripada tujuh aplikasi perdana, Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia.
Berlandaskan ini, hasrat dan matlamat kerajaan Malaysia menggunakan sepenuhnya kepakaran teknologi dan pertumbuhan pesat prasarana MSC bagi menggalakkan lagi pertumbuhan modal insan di kalangan masyarakat tempatan.
Sehingga kini , terdapat 88 buah sekolah perintis telah dipilih untuk menjadi platform bagi melaksanakan konsep sistem Sekolah Bestari.
Ia merangkumi aspek, kurikulum dan kokurikulum, sistem pengurusan sekolah, serta pelbagai aktiviti berteraskan kemudahan yang disediakan dan garis panduan yang ditetapkan.
Justeru, dengan adanya staf profesional di kalangan tenaga pengajar (guru), kemudahan prasarana (sambungan Internet, komputer, alat bantuan mengajar digital, pusat maklumat) serta pentadbiran yang cekap secara tidak langsung mampu melahirkan para pelajar yang celik teknologi maklumat (IT).
Di Sekolah Bestari pembelajaran bercorak kendiri diterapkan, kurikulum lebih fleksibel dan terbuka berbanding sekolah biasa.
Bagaimanapun, ramai mempunyai persepsi yang salah apabila menyebut tentang Sekolah Bestari, pada peringkat awal konsep Sekolah Bestari diperkenal- kan.
Berlaku salah faham yang meluas dalam kalangan warga pendidik dan ibu bapa yang menyangka Sekolah Bestari adalah sekolah yang hanya menerima pelajar yang mempunyai kelayakan serta keputusan akademik cemerlang.
Segelintir pihak turut berpendapat bahawa Sekolah Bestari merupakan sekolah yang terpilih untuk mendapat 100 peratus cemerlang dari segi akademik.
Memang benar, tetapi itu merupakan objektif bagi mana-mana sekolah ataupun institusi pengajian terhadap penubuhannya dan sekolah bestari bukannya sekolah pilihan untuk menempatkan sekelompok pelajar pintar dari segi akademiknya.
Namun, Sekolah Bestari yang asalnya sekolah sains dan berasrama penuh memang memerlukan keputusan akademik yang cemerlang untuk memasukinya.
Sehubungan itu, bagi menyebarkan peranan sebenar dan konsep Sekolah Bestari kepada umum, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) telah menganjurkan lawatan ke beberapa Sekolah Bestari di Sarawak bagi meneliti perkembangan sekolah-sekolah berkenaan.
Kunjungan dua hari ke Sarawak itu adalah untuk melawat tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia (BM) Saratok, Sekolah Menegah Sains Kuching dan Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdullah.
Menurut Pengurus Kanan Bahagian Sekolah Bestari MDeC, Dr. Norrizan Razali, lawatan tersebut bukan bertujuan untuk menjalankan pemeriksaan, tetapi untuk melihat perkembangan sekolah yang berada di bawah program sekolah bestari.
“Tujuan lawatan ini adalah untuk membantu sekolah-sekolah berkenaan untuk memperbaiki serta mengatasi cabaran yang dihadapi terutamanya dari segi kekurangan keperluan,” katanya ketika pertemuan sesi khas lawatan kerja Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)-MDeC baru-baru ini.
Pada sesi lawatan tersebut guru-guru serta pengetua memberi penerangan mengenai kemajuan persekitaran dan kemudahan infrastruktur ketiga-tiga buah sekolah.
Jelas bahawa Sekolah Bestari banyak mendatangkan kelebihan yang bukan sahaja mampu dimanfaatkan oleh para pelajar, malah bagi masyarakat setempat juga.
Penerapan penggunaan aplikasi ICT melalui perkakas yang disediakan memperlihatkan perlaksanaan Sekolah Bestari nyata mencapai objektif dan juga matlamat yang disasarkan.
Ini meliputi sistem pengurusan, pendidikan dan juga aktiviti-aktiviti sekolah yang dipacu menggunakan aplikasi dan perkakas ICT.
Secara tidak langsung, budaya memperkasakan ICT dapat diterapkan di kalangan para pelajar, guru-guru sekali gus kepada masyarakat setempat.
Dari segi pengurusan, sekolah-sekolah berkenaan menggunakan perisian khas yang bertujuan merekodkan segala data mengenai murid dan guru dari segi kehadiran, penggunaan kemudahan komputer ataupun makmal, kewangan, perpustakaan dan sebagainya.
Penyepaduan kemasukan data ke pangkalan data yang sedia ada memudah- kan proses pencarian, penyimpanan dan pengurusan data yang efektif dapat dilakukan oleh pihak sekolah.
Sementara itu, dari sudut pembelajaran dan kurikulum pula, pelajar berpeluang untuk berinteraksi sendiri dengan sistem pembelajaran yang berbeza berbanding sekolah biasa.
Perbezaan tersebut dapat dilihat dari segi teknik pengajaran bagi mata pelajaran tertentu yang memperlihatkan pembentangan dilakukan menerusi perisian ‘Power Point’.
Penyediaan bantuan papan putih interaktif (interactive whiteboard) serta projektor melancarkan lagi proses pengajaran guru-guru di sekolah tersebut.
Sebagai tambahan, sekolah-sekolah tersebut turut menganjurkan program khas seperti bengkel, pertandingan, pameran dan juga minggu berkaitan ICT khusus untuk para pelajarnya.
Dalam pada itu, pengajaran yang sistematik dan berkonsepkan modul turut menampakkan kelancaran membahagikan penggunaan kemudahan yang sedia ada.
Ini adalah kerana, bilangan komputer yang sedia ada tidak mencukupi untuk digunakan oleh semua pelajar serentak.
Oleh demikian, pelajar-pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan seperti Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diberi keutamaan untuk menggunakan kemudahan prasarana waktu sekolah.
Bekalan elektrik
Sementara pelajar lain seperti tingkatan satu dan dua bebas untuk menggunakan kemudahan selepas tamat masa persekolahan.
Selain itu, kesemua pelajar turut diajar untuk menggunakan perisian dan aplikasi ringkas bagi membantu sistem pembelajaran mereka.
Lebih menarik, para pelajar berupaya untuk mengumpul data dan maklumat mengenai sesuatu tugasan yang diberi melalui Internet dan kemudiannya menghantarnya kembali kepada guru berkenaan menerusi e-mel.
Lebih membanggakan, kemahiran penggunaan aplikasi ringkas dan pengetahuan mengenai komputer yang diperoleh di sekolah itu, turut dikongsi dengan isi rumah masing-masing.
Menurut Pengetua SMK BM Saratok, Rahim Ibas, terdapat sesetengah pelajar yang turut membantu ahli keluarga lain cara untuk mengunakan aplikasi-aplikasi ICT ringkas.
“Ini adalah kerana penduduk luar bandar tidak pernah mendapat peluang untuk mempelajari tentang bidang ICT, maka anak-anak (pelajar) mereka mampu membantu untuk mengajar cara-cara menggunakan aplikasi ringkas ICT seperti e-mel, perisian Microsoft Words, Excel dan juga Power Point,’’ katanya ketika ditemui di sekolah Bestari SMK BM Saratok.
Tambah beliau, para penduduk setempat juga berpeluang untuk menggunakan kemudahan sambungan WiFi yang dijana menerusi titik akses di sekolah tersebut.
Ini bermakna, para penduduk setempat untuk melayari Internet secara percuma berhampiran kawasan sekolah pada bila-bila masa.
Bagaimanapun, Rahim turut menyuarakan cabaran yang dihadapi dalam mengendalikan sekolah berkonsep bestari ini.
Salah satu cabaran yang sering menjadi masalah kepada pihak sekolah adalah masalah bekalan elektrik yang sering terputus.
Masalah ini terjadi terhadap ketiga-tiga buah sekolah tersebut dan pekara tersebut bukan sahaja mejejaskan kelancaran pembelajaran para pelajar, malah ia mampu menyebabkan kerosakan terhadap komputer terutama.
Ini kerana, apabila bekalan elektrik disambungkan semula, janaan kuasa elektrik yang berlebihan terjadi sekali gus mengakibatkan kerosakan kepada perkakas yang sedia ada.
Selain itu, antara cabaran lain adalah sekolah tersebut kekurangan guru penyelaras ICT yang bertanggungjawab untuk mengendalikan program dan juga kemudahan prasarana sekolah.
Guru-guru serta juruteknik yang berkemahiran dalam bidang ICT perlu ditambahkan bagi setiap sekolah dalam usaha memastikan kelancaran.
Secara keseluruhan, menerusi lawatan ini, boleh dikatakan Sekolah Bestari merupakan platform terbaik untuk melahirkan generasi yang lebih berdaya maju, kreatif dan juga inovatif.
Namun apa yang lebih penting adalah, kewujudan Sekolah Bestari adalah untuk memupuk generasi muda supaya tidak mengadaptasi sistem pembelajaran menghafal, sebaliknya berfikiran kritikal bagi menghadapi dunia yang kian berkembang.