SAYA berasa terpanggil apabila membaca artikel "Azan, jawi, JAIS, UiTM dan baalif-ba-ya..." tulisan Zaini Hassan dalam Utusan Malaysia, semalam. Sudah menjadi tanggungjawab Utusan sebagai penyebar fikiran rakyat, artikel ini amat merangsang minda saya.
Adalah menjadi mimpi ngeri bagi orang Melayu sebagai tuan di bumi bertuah ini mendapat Menteri Besar yang bukan Melayu. Hakikatnya telah berlaku, meskipun kita melihat dua buah negeri Perak dan Selangor diperintah oleh ketua negeri berbangsa Melayu dan beragama Islam, tetapi hakikatnya daripada artikel ini adalah sebaliknya.
Jika sebelum ini kita tidak pernah disentuh dengan persoalan mahupun tindakan sebegini tetapi ia kini sudah menjadi satu penghinaan kepada orang Melayu terutamanya agama Islam.
Mungkin sesetengah pihak akan menganggap bahawa tulisan ini juga berbau perkauman atau "rasis" tetapi tindakan YB wanita ini lebih teruk daripada perkauman. Di dalam Perlembagaan dengan jelas menyatakan semua orang bebas menganuti agama masing-masing dan mengamalkannya.
Dengan jelas dan nyata kita dapat melihat bahawa Pakatan Rakyat yang kononnya mahu menegakkan keadilan dan hak kesamarataan langsung tidak adil dan tidak faham akan sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.
Apakah mereka ini pemimpin 'Malaysia Baru' yang kononnya mengalas harapan baru buat rakyat Malaysia?
Dan seperkara lagi yang harus kita fikirkan, apakah ini menunjukkan kita orang Melayu dan masyarakat yang beragama Islam sudah lemah sehingga orang lain boleh memperlekehkan kita?
Meminjam bait-bait lagu warisan seperti di bawah ini, mungkin juga ada kebetulannya :-
Masa depan sungguh kelam,
kan lenyap peristiwa semalam,
tertutuplah hati terkunci mati,
maruah peribadi dah hilang.
Melayu sememangnya mempunyai sifat suka pemaaf serta berdiplomasi dalam hampir semua hal, akan tetapi terdapat limitasi atau batasan diplomasi terhadap perkara-perkara yang tertentu. Isu-isu yang melibatkan agama Islam, maruah bangsa serta sifat ketuanannya jangan sesekali disentuh.
Apa yang dibuat oleh YB DAP ini merupakan satu cubaan untuk mengacah hal-hal yang disebutkan tadi. Semacam dia tidak faham, atau sengaja tidak mahu faham terhadap permuafakatan rakyat majmuk di negara ini.
Bagi saya adalah malang pengundi yang mengundi beliau, yang lebih malang lagi jika terdapat pengundi Melayu atau yang beragama Islam mengundinya. Umpama bidalan "harapkan pagar, pagar makan pagi".
Apa yang lebih penting dalam isu ini ialah semakin terhakisnya ketuanan Melayu di negara sendiri. Mana tidaknya, azan sudah tidak boleh dilaungkan secara terbuka seperti dahulu lagi. Kononnya akan menganggu masyarakat bukan Islam.
Tulisan jawi, tidak boleh digunakan dan digantikan dengan tulisan rumi dan tambahan Cina dan Tamil. Di mana identiti Malaysia dan Melayunya? Malahan hak dan peruntukan untuk agama Islam melalui Jabatan Agama Islam serta kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) mereka mahukan.
Seperkara yang menarik lagi, apakah tindakan segera yang diambil oleh pemimpin Pas yang berada dalam kerajaan pakatan pembangkang. Berpeluk tubuh atau berdiam diri? Tidak cukup kerusi untuk bersuara bukan alasannya lagi. Ini semua melibatkan "daulah Islamiah".
Di mana pula penyokong yang sentiasa berteriak "Allahuakbar", apakah telah diam kerana arahan yang sama seperti azan juga dibuat kepada penyokong? Jika itu berlaku, maknanya undi penyokong tiada nilainya untuk mengubah dan menegakkan sebuah Negara Islam.
Justeru, marilah kita seluruh umat Melayu dan Islam untuk berfikir sejenak apa yang telah berlaku dan yang akan berlaku selepas ini. Apakah kita hanya mengambil sikap berdiam diri dan serahkan segalanya pada takdir dan mereka yang memerintah? Sokong sahaja apa yang dicadangkan dengan alasan "apa yang kita boleh buat?".
Sesuatu mesti dilakukan bagi mengekang perkara ini, walau apa pun terjadi ketuanan Melayu dan kesucian perlu dipelihara.
MOHAMAD ASRI SHAFII
Biro Badan Bertindak
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
Negeri Perak Darul Ridzuan