Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Oktober 2008

Beri perhatian kesihatan mental anggota polis


PENULISAN Dr. Sapora Sipon, Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai punca stres anggota polis, menarik perhatian saya selaku Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Menurut Dr. Sapora, peristiwa seorang anggota polis melepaskan 58 das tembakan ke udara dikaitkan dengan tekanan perasaan.

Saya bersetuju dengan pendapat penulis bahawa peristiwa yang berkenaan ada berkaitan dengan tekanan atau stres.

Sebenarnya tekanan atau stres di kalangan anggota polis bukanlah sesuatu isu baru.

Seperti mana yang kita memahami memang benar bahawa kajian yang dilakukan membuktikan tugasan dan pekerjaan polis terdedah kepada unsur tekanan atau stres.

Bidang tugas kepolisan adalah amat mencabar dan menjadi semakin pelbagai. Jadi isu kesihatan mental anggota polis perlu diberi perhatian sewajarnya kerana produktiviti seseorang anggota bergantung kepada kesihatan mentalnya.

Saya amat prihatin dengan aspek kebajikan polis. Dalam hubungan ini saya berpendapat bahawa selain dari membayar anggota polis gaji dan elaun yang munasabah, aspek kesihatan mental harus juga diberikan perhatian berat.

Kaunseling

Program untuk membantu anggota polis yang mengalami stres atau tekanan harus dipertingkatkan. Program tersebut bertujuan untuk mengenal pasti anggota yang tertekan dan diikuti dengan memberi kaunseling dan lain-lain kemudahan kepada mereka.

Tidak ada tempat kerja yang terkecuali dari masalah penyakit mental pekerja dan kesnya dari segi psikologi, sosial, dan ekonomi adalah tinggi. Kesihatan mental tidak lagi boleh diabaikan, sebaliknya ia perlu diberikan perhatian yang memadai sama seperti isu pengurusan lain di dalam sebuah organisasi.

Masalah penyakit mental, terutamanya yang berkaitan dengan tekanan jiwa atau stres di kalangan pekerja di Malaysia termasuk kakitangan PDRM, adalah merupakan perkara yang serius dan perlu diberikan perhatian segera di tempat kerja supaya masalah seperti kemurungan, penyakit mental dan gangguan jiwa dapat dielakkan.

NIOSH berpendapat langkah-langkah segera perlu diambil oleh majikan, pekerja dan juga pihak berkuasa yang berkenaan untuk mengatasi masalah mental dan kesihatan di tempat kerja.

Dalam konteks ini pihak kerajaan perlu memperkenalkan garis panduan untuk meningkatkan kesihatan mental di tempat kerja supaya dapat menyumbang kepada kesihatan dan produktiviti pekerja secara mental dan juga fizikal yang lebih baik.

Modal yang digunakan untuk Program Bantuan telah terbukti memberi pulangan dari segi peningkatan produktiviti dan prestasi kerja. Kerajaan harus sedar penanaman modal untuk kebajikan kesihatan mental anggota polis membawa pulangan yang baik.

Pendidikan dan promosi ke atas kesihatan mental, yang bertujuan untuk mengekang peningkatan masalah psikososial di kalangan anggota polis, adalah amat penting, selari dengan aspirasi kita untuk menjadi negara maju yang sudah semestinya akan memberi tekanan hebat kepada kita untuk menjalankan tanggungjawab dalam kehidupan seharian kita.

Gangguan mental dan penyakit mental yang lain adalah satu peringatan pahit di dalam kehidupan kita yang tidak sepatutnya kita abaikan di dalam usaha kita untuk mencapai tahap negara maju.

TAN SRI LEE LAM THYE

Pengerusi NIOSH