SAYA ingin memberikan reaksi balas terhadap komen saudara Mahmud dari Georgetown, Pulau Pinang bertajuk Pengusaha bas perlu fikir alternatif kaut untung. Komen beliau adalah rentetan daripada kenyataan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) tentang permasalahan yang melanda pengusaha bas ekspres pada masa sekarang.
Pendapat saya bukanlah untuk memihak kepada pengusaha bas kerana saya juga seorang pengguna perkhidmatan tersebut. Memang tidak dinafikan, kenaikan harga tambang bas akan membebankan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah. Tetapi kita juga harus faham permasalahan yang dialami oleh pengusaha bas tersebut.
Tahukah saudara Mahmud bahawa pengusaha bas bukan bumiputera juga mengalami kerugian besar yang mana mereka juga menuntut kenaikan harga tambang? Jadi, isunya di sini bukanlah kisah 'Ali Baba' tetapi kos operasi yang sangat tinggi.
Pertama, cuba kita membuat analisis dengan bertanya kepada pengusaha bas tersebut, berapa kos diesel, tol, gaji dan bayaran elaun lebih masa pemandu, kos purata penyelenggaraan operasi harian bagi setiap trip perkhidmatan tersebut. Tentu sekali hasil analisis tersebut ialah kerugian. Itu tidak termasuk kos kerugian kerosakan tempat duduk penumpang, tali pinggang, langsir dan sistem audio video angkara segelintir penumpang yang tidak bertanggungjawab.
Mereka memikirkan bayaran tambang yang mereka bayar melayakkan mereka merosakkan kemudahan di dalam bas. Akibatnya, penumpang lain yang menerima kesannya.
Kedua, kita membuat analisis tentang kos pembelian bas serta kadar pinjaman bank.
Penumpang tentunya merasa seronok dan kagum menaiki bas dua tingkat yang canggih dan selesa, tetapi tahukah mereka harganya mencecah RM1 juta bagi setiap unit dan RM600,000 bagi seunit bas satu tingkat.
Pengusaha perlu membeli bas yang sebegini untuk mengoptimumkan tahap keselamatan dan keselesaan penumpang.
Bayangkan kalau sekeping rim cap tayar untuk bas yang diimport dari Sweden berharga hampir RM700, apatah lagi harga kos alat ganti enjin/chasis yang lain?
Selain itu, sistem operasi bas yang diimport dari Sweden itu juga menggunakan sistem elektronik sepenuhnya seperti kereta BMW dan Mercedes Benz yang mana kos servis dan penyelenggaraannya sudah tentu amat mahal.
Ketiga, saudara Mahmud mencadangkan agar syarikat kecil bergabung seperti Konsortium Bas Ekspres Semenanjung Berhad (KBES) dan Konsortium Transnasional Berhad (KTB).
Jika kita meneliti laporan tahunan kedua-dua organisasi tersebut, bagi tahun kewangan 2006 dan 2007, mereka mengalami kerugian jutaan ringgit dan para pelabur merana kerana pendapatan sesaham mereka bernilai negatif.
Konsortium Transnasional Berhad juga dilaporkan terpaksa menjual sebahagian bas mereka untuk menampung kerugian.
Adakah Pengerusi Eksekutif KTB itu juga tidak pandai guna akal cari alternatif lain sedangkan beliau adalah tokoh usahawan yang berwibawa? Apa lagi yang perlu dilakukan kalau syarikat bas gergasi pun rugi besar? Adakah perlu syarikat bas membuat hedging harga petrol seperti yang dilakukan oleh syarikat penerbangan?
Adakah mereka juga perlu buat konsep 'tambang murah' secara online baru mereka boleh untung? Atau perlukah syarikat bas ekspres membeli bas dua tingkat yang memuatkan penumpang semaksimum yang boleh seperti tin sardin untuk mendapat untung?
SCANIA 3388
Kuala Lumpur