Oleh Mohd Azis Ngah
![]() |
Jangan pentingkan diri sendiri, cuai ketika memandu
PANDU, Tunggang dan Jalan Dengan Selamat - Anda Mampu Mengubahnya, Patuhi Had Laju, Kelajuan Membunuh, Ingatlah Orang Tersayang dan Pandu Cermat.
Itu adalah sebahagian kecil iklan kempen keselamatan jalan raya yang akan ditemui di mana saja sepanjang perjalanan terutama pada musim perayaan ini. Ia bertujuan mengingatkan pengguna mengenai hak mereka untuk ‘memilih’ sama ada sampai ke destinasi dengan selamat atau sebaliknya.
Setiap kali menjelang musim perayaan, ketika itulah jumlah kemalangan, kematian sering kali dilaporkan meningkat disebabkan pelbagai faktor termasuk sikap pemandu dan pertambahan kenderaan di atas jalan raya secara serentak kerana semuanya ingin pulang ke kampung.
Namun, berapa ramai yang peka dan menyedari bahawa semakin laju mereka memandu, semakin besar risiko untuk membunuh sama ada diri sendiri, penumpang atau pengguna jalan raya yang lain. Sedangkan, jika diturunkan had kelajuan, ia boleh meningkatkan keselamatan.
Sepatutnya itu yang perlu dipilih dan menjadi amalan. Atas sebab itulah Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan operasi khas memantau pergerakan kenderaan setiap kali musim perayaan bertujuan menyedarkan pengguna supaya mematuhi peraturan.
![]() |
Gagal mematuhi arahan lampu isyarat menyebabkan kemalangan. |
Kini, Ops Sikap ke-17 sudah pun bermula pada 24 September dan berakhir hingga 8 Oktober ini. Operasi seperti ini sebenarnya berkesan dalam mengawal secara psikologi pemandu yang suka melanggar peraturan serta membahayakan pemandu lain.
Sebelum bermula Ops Sikap yang pertama, purata kematian akibat kemalangan sehari ialah 24 kematian tetapi menurun kepada 17 kematian sehari berdasarkan 6,282 kehilangan nyawa sepanjang 2007. Sasarannya ialah menurunkan kepada 15 kes kematian atau lebih rendah daripadanya.
Walaupun pelbagai kempen dijalankan, berapa ramai yang ambil peduli mengenainya dan masih dengan sikap lama, iaitu pentingkan diri sendiri, cuai ketika memandu atau gagal memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh ketika mengulas isu itu berkata, setiap kenderaan berdaftar sebenarnya mempunyai cukup aspek keselamatan bagi memastikan keselamatan pengguna.
![]() |
Jalan raya penuh sesak dengan kenderaan setiap kali menjelang musim perayaan. |
“Pastikan kenderaan dalam keadaan baik dan sentiasa diselenggara. Daripada aspek keselamatan, 90 peratus daripadanya sudah lengkap, anda cuma perlu patuhi dan gunakan sebaiknya.
“Contoh paling mudah ialah kempen memakai tali pinggang untuk pemandu dan penumpang di belakang. Itu perlu dipatuhi kerana ia pendinding paling kebal untuk elakkan kecederaan jika berlaku kemalangan.
“Jangan hanya terlalu takut atau fikirkan soal saman polis atau JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan). Itu boleh dibayar tetapi mana lagi penting, soal wang atau nyawa. Soalnya ialah jika memandu mengikut peraturan had laju, tidak berbahaya, sudah tentu anda tidak akan disaman,” katanya.
Faktor merancang perjalanan juga memainkan peranan penting dalam situasi memandu di jalan raya yang penuh sesak dengan kenderaan. Disebabkan ketika ini, dianggarkan terdapat kira-kira 17 juta kenderaan berdaftar di seluruh negara, sudah tentu ia akan menyukarkan perjalanan.
Sehubungan itu, pemandu diminta merancang laluan yang hendak digunakan, waktu yang sesuai untuk memandu bahkan hentian mana yang sepatutnya berhenti juga perlu diambil kira.
“Pada musim perayaan ini, had laju kenderaan diturunkan sebanyak 10 kilometer sejam bagi semua jalan persekutuan dan jalan negeri. Ini suatu yang perlu diambil perhatian. Jika memandu dalam keadaan tenang, sihat dan bersedia, anda mampu mengurangkan risiko kemalangan.
“Dalam tempoh tiga tahun, kadar kemalangan membabitkan kecederaan menurun sebanyak 37 peratus tetapi kemalangan maut meningkat. Ini suatu yang perlu ditangani secara bersama,” katanya.
INFO: Petua keselamatan jalan raya
Kompaun maksimum RM300 tanpa rayuan bagi enam kesalahan utama