PERDAGANGAN Bursa Saham Indonesia (BEI) digantung sejak Rabu lalu akibat penjualan panik oleh para pelabur.
BEI yang sepatutnya dibuka semula semalam atas keputusan mesyuarat Kabinet bagaimanapun digantung lagi akibat tekanan.
Indeks saham BEI jatuh lebih 20 peratus di segi nilai sejak Isnin minggu lalu sebelum digantung pada hari Rabu.
Keputusan menutup sementara dagangan dianggap sebagai langkah yang tepat kerana pengaruh negatif kesan dari pasaran saham serantau dan global.
Menteri Kewangan, Sri Mulyani menyifatkan kejatuhan indeks BEI bukan disebabkan pengaruh pasaran global tetapi penyebaran khabar angin bertujuan untuk memusnahkan pasaran saham tempatan.
Dalam masa yang sama nilai rupiah turut merudum semalam hingga membuatkan para pedagang mata wang panik dan memburu dolar Amerika untuk mencari keuntungan.
Bagi menyakinkan kembali keyakinan para pelabur, pemerintah mengambil beberapa langkah termasuk memberi kelonggaran kepada syarikat milik kerajaan (GLC) bagi membeli semula saham yang jatuh.
Dalam masa yang sama kerajaan telah menyediakan dana berjumlah 4 trilion rupiah untuk memulihkan semula pasaran.
Syarikat kerajaan dibenarkan membeli semula sehingga 20 peratus saham mereka berbanding 10 peratus yang dibenarkan sebelum ini.
Kemampuan
Terdapat enam daripada 11 syarikat kerajaan mempunyai kemampuan dan lebihan dana untuk membeli semula sa- ham syarikat.
Dalam erti kata lain syarikat GLC akan menjadi penyelamat bagi mengelak pasaran saham tempatan hancur.
Pemerintah juga boleh membeli saham syarikat milik kerajaan yang telah disenarai pasaran awam.
Sektor perbankan dibenarkan mengetetepikan sedikit rezab dan memanjangkan tempoh jaminan selain memberikan kebebasan kepada syarikat bagi program membeli semula saham.
Bagaimanapun program itu dianggap banyak pihak sebagai langkah jangka pendek dan diragui dapat mempertahankan kejatuhan harga saham dan memulihkan keyakinan pelabur.
Rancangan pembelian semula saham syarikat kerajaan dikhuatiri tidak akan mengatasi krisis tersebut sebaliknya akan menyekat syarikat GLC terus berkembang.
Kejatuhan harga saham juga membimbangkan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Beliau mengingatkan para pelabur tidak panik dan pemerintah akan mengambil langkah untuk melindungi ekonomi dan kepentingan rakyat.
Bimbang kemungkinan wujudnnya permaianan kotor, pemerintah juga di desak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kelompok yang melanggar peraturan dalam jenayah perdagangan saham.
Krisis kewangan dan pasaran saham ini diharap tidak berlanjutan hingga menjejaskan ekonomi apatah lagi negara ini akan menghadapi pilihan raya umum dan pemilihan presiden tahun depan.