DI sebalik usaha bersungguh-sungguh kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam, laporan menunjukkan jumlah aduan terhadap mutu kerja kakitangan awam meningkat tiga kali ganda sejak 2005.
Lebih membimbangkan seperti yang disuarakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam jumlah 6,059 aduan yang direkodkan sehingga September lalu dijangka terus meningkat menjelang akhir tahun ini.
Aduan popular orang ramai terhadap perkhidmatan awam termasuk kelewatan, ketiadaan tindakan oleh pegawai, keputusan yang tidak adil dan perkhidmatan tidak berkualiti.
Persoalannya, apa lagi faedah atau kelebihan yang tidak dinikmati oleh kakitangan awam di negara ini sehingga ada kalangan mereka tidak mempunyai motivasi diri untuk menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Setiap tuntutan kenaikan gaji telah dipenuhi oleh kerajaan selain ganjaran-ganjaran lain seperti pembiayaan pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan pada kadar faedah yang amat rendah semuanya untuk kemudahan kakitangan awam.
Gaji serta elaun yang dibayar kepada kakitangan awam juga semakin kompetitif namun malangnya dari sudut mutu perkhidmatan masih ada yang tidak kena sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai yang berurusan dengan sektor awam.
Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi baru-baru ini menyarankan supaya tindakan tegas dikenakan ke atas pegawai serta penjawat awam yang gemar menangguhkan kerja hingga menyebabkan sistem penyampaian dalam perkhidmatan awam lembap.
Kakitangan awam masih lagi dilabel sebagai lembap dan tidak pantas bertindak sehingga untuk menjawab panggilan telefon pun umpama satu tugas yang amat berat untuk dilaksanakan. Sedangkan mereka dibayar gaji untuk menjawab setiap panggilan telefon bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang tanpa perlu merungut jauh sekali membiarkan deringan telefon berpanjangan selepas pukul 4 petang.
Begitu juga sikap segelintir kakitangan awam terutama di kaunter urusan orang ramai yang tidak mesra awam dan berat untuk membuka mulut menjawab pertanyaan.
Saya pernah berhadapan dengan situasi ini. Seorang kakitangan awam menunjukkan dengan muncung apabila saya bertanya tempat untuk saya berurusan. Itu adalah contoh kecil yang hakikatnya boleh memburukkan imej kakitangan awam di negara ini lantaran mereka sendiri tidak menghormati tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Dan contoh-contoh kecil yang telah disuarakan sejak bertahun-tahun lamanya itu jika masih dibiarkan tanpa sebarang tindakan akan menjadi barah dalam perkhidmatan awam.
Malah telah terbukti pun apabila masalah yang dibangkitkan bertahun-tahun lamanya masih gagal ditangani sehingga sekarang ini tentunya bukan perkembangan yang menarik dalam sektor awam.
Hakikatnya, sikap kakitangan awam yang tidak bertanggungjawab (semestinya mempunyai hubung kait dengan pembentukan modal insan yang lemah) menjadi punca timbulnya masalah dalam perkhidmatan awam.
Dan semestinya kita tidak mahu kelemahan itu berterusan kerana mutu perkhidmatan dan prestasi sektor awam di Malaysia pernah menjadi yang terbaik di rantau ini.
