KUALA LUMPUR: Kementerian Luar melalui Jabatan Penerangan dan Diplomasi Awam yang baru dibentuk akan bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memperkenalkan bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu pada peringkat antarabangsa.
Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kerjasama itu membolehkan kementeriannya mempromosi program dan seminar berkaitan bahasa dan sastera Melayu.
“Ini termasuk program memperkenalkan kesusasteraan Melayu di seberang laut atau polemik akademik mengenai teks Melayu lama seperti Sejarah Melayu serta novel dan drama baru.
“Saya akan mengendalikan jabatan baru ini bersama pegawai berminat untuk mengembangkan projek itu,” katanya selepas Majlis Memperkenalkan Penerima Anugerah Penulisan Sea 2008 di DBP di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaaffar; Timbalan Ketua Pengarahnya, Kamarul Zaman Shaharudin dan Penerima Anugerah Penulisan Sea 2008, Prof Dr Hatta Azad Khan.
Rais berkata, kementeriannya boleh membantu menjayakan usaha itu kerana ada 104 kedutaan yang bolehmemperkenalkan seni, bahasa dan budaya Malaysia.
Mengenai politik wang dalam Umno, Rais berkata, Jawatankuasa Disiplin Umno tidak berupaya mengawalnya kerana kerana kakitangan yang tidak mencukupi, manakala tukang pemantau pula kadangkala turut mengambil bahagian.
“Jadi sistem tidak mencukupi untuk mengisi dan menyempurnakan tanggungjawab yang ditugaskan dan dengan sebab itu, Jawatankuasa Disiplin wajar memohon pertolongan daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR).
“Sekiranya jawatankuasa disiplin yang sudah ditauliahkan tidak bertindak, sakit itu akan menjadi lebih tenat," katanya.
Rais menyeru ahli Umno yang jujur dan sayangkan parti untuk membuat laporan sama ada secara terbuka atau sulit, bagi memudahkan siasatan memandangkan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen, sudah dua tiga kali mengeluh dan menzahirkan perasaan berhubung perkara itu.
“Kami simpati dengannya dan berharap ia menunjukkan hasil. Jika ada dua tiga kes yang besar muncul, baru orang terasa ada tindakan yang diambil, tetapi sekarang orang masih belum terasa hal itu," katanya.