LEDAKAN krisis kewangan global di Amerika Syarikat dan Eropah yang bahangnya dirasai seluruh dunia termasuk Malaysia, memaksa kerajaan membentangkan langkah tambahan bagi mengelak ekonomi kita daripada terjunam ke lembah kemelesetan dan mengurangkan tekanan kepada rakyat, seperti dilakukan ketika krisis kewangan serantau pada 1997/1998. Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengenai pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion serta beberapa langkah lain bertujuan mengukuhkan lagi daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar. Ia bukan bajet baru, tetapi langkah penyaluran RM7 bilion yang diperoleh daripada penjimatan subsidi minyak untuk kepentingan rakyat. Antara lain ia diharap dapat membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah, selain menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara pelbagai kemudahan seperti balai polis, kem dan kuarters tentera. Malah, peruntukan turut diagihkan untuk projek kecil bagi penyelenggaraan infrastruktur awam dan infrastruktur asas, termasuk jalan kampung, membina balai raya dan jambatan kecil. Semua langkah ini bukan saja dapat menggerakkan kegiatan ekonomi, malah membantu kontraktor kecil menyelesaikan masalah kekurangan projek pembinaan, sekali gus merancakkan semula industri pembinaan negara. Langkah ini pernah dilakukan ketika krisis ekonomi 10 tahun lalu kerana ekonomi akan menguncup jika projek prasarana tidak digerak dan rakyat tidak berbelanja.
Kali ini juga, kerajaan membenarkan pekerja mengurangkan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pihak mereka secara sukarela sebanyak tiga peratus selama dua tahun mulai Januari depan, berbanding dua peratus ketika krisis kewangan lalu. Ini bermakna, seseorang yang berpendapatan RM2,000 sebulan akan memperoleh pendapatan boleh guna tambahan sebanyak RM60 sebulan. Jika diandaikan hanya 50 peratus daripada pencarum menggunakan kemudahan berkenaan, perbelanjaan penggunaan swasta dijangka meningkat sebanyak RM2.4 bilion, sekali gus menyuntik tambahan aliran tunai ke dalam pasaran. Kita sedar ketidaktentuan dan impak krisis kewangan global ini membawa kesan negatif kepada pasaran kewangan negara. Kita berharap dasar, kawal selia serta langkah berhemat kerajaan yang dipraktikkan sebelum ini mampu menjadikan asas kewangan negara kekal kukuh. Namun, kita tidak seharusnya terkejut dengan tindakan kerajaan menyemak semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 3.5 peratus pada 2009 berbanding lima peratus tahun ini. Memang banyak negara termasuk di rantau Asia, menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK ke paras lebih rendah, termasuk Singapura yang sedang mengalami kemelesetan ekonomi selain India dan China. Kita perlu belajar daripada pengalaman lalu di mana kita berjaya mengharungi setiap krisis dengan semangat bersatu padu dan kerjasama erat. Ini yang sepatutnya ditunjukkan oleh pembangkang dan setiap rakyat hendaklah memberi sokongan padu kepada langkah dilakukan kerajaan itu demi menyelamatkan ekonomi negara.