Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

24 November 2008

Menghargai warisan sejarah


MELALUI kolum Getaran Seni ini, pada 24 September 1998 iaitu kira-kira sepuluh tahun lalu saya pernah menulis mengenai rasa pilu dan terharu saya apabila berada di Padang Pahlawan, Melaka. Ini adalah sebuah tapak sejarah penting tempat rakyat menyambut kepulangan Tunku Abdul Rahman pada 20 Februari 1956. Tunku kembali dari London dan mendarat di Singapura pada 19 Februari 1956.

Tetapi ketika saya berdiri di Padang Pahlawan, melayan anak mahu naik kereta lembu, alangkah sedihnya apabila sebuah tapak sejarah hanya penuh dengan tahi lembu, berlumpur dan tidak terjaga langsung. Saya tidak pasti kita hendak mencari sejarah yang setinggi mana lagi apabila sejarah tentang kemerdekaan negara pun tidak ada nilainya?

Ironiknya St. Paul dan A' Farmosa berdekatan Padang Pahlawan dijaga baik. Sebelum terlupa saya hendak memberitahu bahawa kedua-dua tempat tersebut juga tapak warisan sejarah, tetapi sejarah penjajah Belanda.

Ketika ini difahamkan Padang Pahlawan sudah tidak ada lagi. Padang Pahlawan sudah 'dimajukan'. Sekali lagi kepada sesiapa yang menghargai sejarah akan merasa sedih apabila sebuah tapak warisan diganti dengan bangunan yang langsung tidak ada signifikan dengan warisan.

Pemikiran dan tanggapan saya terhadap tapak warisan sejarah kita barangkali sangat konservatif. Saya mungkin tidak dapat melihat nilai ringgit yang mengatasi nilai sejarah dan saya sangat realistik tentang hal ini.

Tidak berapa lama dulu ada cadangan meruntuhkan Stadium Merdeka selepas kita mempunyai stadium besar di Shah Alam dan stadium canggih di Bukit Jalil. Stadium Merdeka di kawasan bertaraf segi tiga emas tentulah merugikan kalau kawasan itu tidak dibangunkan.

Stadium Merdeka adalah sebuah lagi tapak warisan sejarah kita, bukan sejarah penjajah. Di tapak warisan ini Tunku Abdul Rahman melaungkan "merdeka" bersama ribuan rakyat pada 31 Ogos 1957. Nasib baik setakat ini tapak warisan itu masih wujud sekalipun tidak lebih daripada itu.

Padang Kelab Selangor yang kini bertukar menjadi Dataran Merdeka sebuah lagi tapak warisan sejarah yang penting bagi negara ini. Di sinilah bendera penjajah Union Jack diturunkan dan digantikan dengan bendera negara ini.

Ketika ini, sana sini sibuk bercakap mengenai tapak warisan dunia yang ada di negara ini. Tetapi dalam kita meluahkan rasa bangga dengan pengiktirafan UNESCO terhadap tapak warisan peninggalan penjajah, tapak warisan sejarah kita jangan pula dipinggirkan.

Sepatutnya Padang Pahlawan, Stadium Merdeka dan Dataran Merdeka diiktirafkan sebagai Tapak Warisan Dunia. Apakah lebih nilai sejarahnya A' Farmosa dengan sejarah pengunduran penjajah British di Dataran Merdeka atau Stadium Merdeka?

Sebenarnya kita kena berterima kasih kepada penjajah sebabnya selepas era penjajah, kita memerlukan peninggalan penjajah untuk terkenal di mata dunia. Thank you.