Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

16 November 2008

Nafas baru Raja Sungai





HUTAN Belum-Temenggor di Gerik, Perak menyimpan khazanah alam semula jadi yang berusia 130 juta tahun dan dipercayai lebih tua dari hutan Amazon di Amerika Selatan.

Hakikatnya, masih banyak yang belum diketahui mengenai belantara yang kaya dengan aneka spesies flora dan fauna yang unik. Suatu ketika dahulu, sungai-sungai yang membelah keheningan hutan itu pernah menjadi syurga ikan kelah dan temoleh.

Namun kerakusan manusia yang tamak hampir memusnahkan alam yang menjadi habitat spesies ikan yang nama saintifiknya, Tor Tambroides.

Menyedari itu, pelbagai usaha dilakukan bagi mengembalikan kehidupan ikan kelah di hutan Belum-Temenggor. Antara usaha murni yang dilakukan ialah projek santuari ikan kelah yang diusahakan oleh Kumpulan Emkay dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM).

Ikan kelah yang juga digelar Raja Sungai itu dilihat berpotensi besar untuk menjana pendapatan kerana nilai ekonominya yang tinggi di pasaran, selain membantu memajukan pelancongan di hutan tersebut.

Langkah Kumpulan Emkay itu ternyata merupakan satu inisiatif yang perlu dicontohi oleh pihak lain dalam memikul tanggungjawab yang diharap dapat memberi nafas baru kepada ekosistem spesies ikan kelah yang dikhuatiri semakin pupus.

Kumpulan Emkay berjanji akan memberi perhatian serius dalam memulihara hutan Belum-Temenggor daripada dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan memberi penekanan serius untuk mengembalikan spesies ikan kelah dan ikan temoleh ke sungai-sungai yang mengalir masuk ke Tasik Temenggor.




Usaha ini patut dipuji kerana melalui Yayasan Pulau Banding yang ditubuhkan pada 7 November 2007, pemuliharaan semula spesies ikan kelah di hutan itu akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Projek santuari ikan kelah di hutan tersebut turut dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam aspek pemuliharaan alam semula jadi. Mereka telah menyusun pelbagai langkah dan program bagi melindunginya daripada 'dirosakkan' oleh pihak luar yang berkepentingan sendiri.

Sebagai langkah pertama, jalinan kerjasama dengan USM telah dimeterai untuk menjalankan kajian mengenai usaha menangani kepupusan spesies ikan kelah dan ikan temoleh.

Menurut Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar, pihaknya memang merancang untuk mengembalikan habitat ikan kelah ke hutan Belum-Temenggor bagi memajukan biodiversiti dan potensi pelancongan di hutan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya mahu flora dan fauna di hutan tertua ini yang menghadapi ancaman pupus terus dilindungi kerana ia merupakan khazanah alam yang tidak ternilai harganya.


DR. DONALD JACKSON menunjukkan spesies ikan kelah yang akan dipelihara di santuari ini.


Bagi tujuan tersebut, pakar-pakar alam semula jadi memikul tanggungjawab untuk menjalankan kajian menyeluruh bersama pelajar universiti dan profesor yang mahir dalam bidang berkaitan.

Kajian mengenai kesesuaian pemuliharaan spesies ikan kelah yang semakin terancam ini ditaja oleh Kumpulan Emkay dan telah dilaksanakan pada Jun hingga Ogos lalu.

Harapan Kumpulan Emkay dan pakar-pakar alam semula jadi yang terlibat ialah memberi nafas baru kepada spesies tersebut dengan menumpukan perhatian untuk mengkaji habitat dan sistem biologi spesies ikan ini sekali gus mengenal pasti lokasi sesuai bagi mewujudkan santuari di mana kajian dan pembiakan selanjutnya dapat dilaksanakan segera.

"Lebih RM200,000 telah dibelanjakan untuk menjalankan kajian tersebut dengan kerjasama USM.

"Pelaksanaan projek ini sedang berjalan lancar dan aktiviti pembiakan spesies ikan ini dijangka bermula pada Mac 2009," katanya.

Tambahnya, ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk menghidupkan semula potensi pelancongan di Pulau Banding secara seimbang tanpa menjejaskan biodiversiti dan keaslian hutan Belum-Temenggor.


MUSTAPHA KAMAL (dua dari kiri) bersama rakan kerjasama dalam projek santuari ikan kelah di hutan Belum-Temenggor.


Sementara itu, sekumpulan pelajar USM yang diketuai oleh Profesor Mashhor Mansor telah menjalankan kajian menyeluruh di beberapa sungai di hutan Belum-Temenggor.

Mashhor berkata, kajian itu turut melibatkan aspek lain seperti mengenal pasti komuniti Orang Asli di kawasan kajian yang akan berperanan untuk menjaga dan mengawal habitat ikan ini.

Katanya, faktor mengenal pasti jenis ikan dan aktiviti-aktiviti penangkapan ikan berhampiran kawasan kajian serta mengenal pasti jenis-jenis tumbuhan tepian tasik mempengaruhi kehidupan ikan kelah.

"Biasanya, ikan ini memerlukan keadaan air yang tenang dan bersih serta memerlukan rantaian makanan yang sesuai. Dalam aspek ini, kami juga bertanggungjawab untuk mengkaji rantai makanan iaitu fitoplankton dan zooplankton secara teliti.

"Ini kerana ikan kelah biasanya bertelur di celah-celah batu di mana airnya lebih tenang supaya telur tidak mudah dihanyutkan," katanya.

Sementara itu, Profesor Dr. Donald Jackson dari Universiti Missippi yang turut terlibat dalam penyelidikan tersebut, berkata, kesemua aktiviti tersebut akan menjurus kepada usaha mengenal pasti habitat yang sesuai bagi mewujudkan kawasan perlindungan (santuari) khusus untuk spesies kelah dengan penglibatan komuniti Orang Asli di sini.


AKTIVITI pembiakan ikan kelah dijangka akan bermula pada Mac tahun depan di Sungai Nam, hutan Belum-Temenggor.


"Sebanyak 12 kawasan sungai yang berpotensi telah dikaji oleh penyelidik pemuliharaan spesies ikan kelah, tetapi hanya tiga tempat sahaja dikenal pasti sesuai sebagai kawasan memulihkan ekosistem ikan kelah iaitu Sungai Nam, Sungai Sooh dan Sungai Kejar.

"Bagaimanapun, kami menghadapi masalah di sini kerana faktor kedalaman Sungai Nam dan Sungai Kejar, selain aliran air yang deras tanpa dihalang oleh batu akan menyebabkan telur ikan kelah tenggelam akibat tekanan," ujar beliau.

Bagi tujuan tersebut, pihaknya telah memulakan kerja-kerja membina benteng di Sungai Nam yang dipilih sebagai lokasi pertama untuk santuari ikan kelah di hutan Belum-Temenggor.