Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

10 November 2008

Pemotongan KWSP bercanggah dengan kempen jimat


LANGKAH Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara mandatori mahu memotong wang caruman sebanyak tiga (3) peratus bermula Januari depan tentunya mendapat pelbagai reaksi. Sebelum ini jika seseorang pekerja memperoleh gaji RM1,000 sebulan, jika dipotong 11 peratus, pekerja itu akan memperoleh RM890. Tetapi dengan langkah terbaru ini, pekerja akan memperoleh sebanyak RM920 sebulan.

Pada awalnya, KWSP merangka melakukan pemotongan kepada setiap individu pekerja secara sukarela tetapi mengikut laporan terbaru, pemotongan ini akan dibuat kepada setiap pekerja yang menjadi ahli KWSP, sebaliknya jika pekerja enggan membuat pemotongan, mereka mestilah mengisi borang yang disediakan.

Apa yang dipersoalkan, sepatutnya pekerja yang mahu dibuat pemotongan sebanyak tiga peratus sahaja perlu mengisi borang tersebut dan bukannya bagi mereka yang tidak mahu pemotongan. Dalam soal ini, nampak jelas bahawa yang enggan membuat pemotongan menghadapi satu masalah lain pula.

Pada dasarnya pemotongan ini dibuat bertujuan untuk menambah jumlah wang bagi kegunaan orang ramai untuk berbelanja. Hal ini mungkin disebabkan kuasa beli seseorang termasuk kakitangan kerajaan dan swasta berkurangan atau semakin mengecil kerana mereka belum tentu mendapat sesuatu yang diingini kerana kenaikan harga barangan di pasaran.

Bagaimanapun, dari satu sudut lain tentunya pemotongan ini bercanggah dengan kempen jimat cermat dan juga kempen menabung yang juga dilancarkan oleh kerajaan dengan harapan setiap pekerja tidak kira apa sektor sekalipun dapat menentukan arah hidup selepas bersara kelak.

Jika wang ini diberikan kepada pekerja tidak kira berapa peratus sekalipun, tentunya wang itu habis dibelanja kerana sudah menjadi sikap manusia yang tidak pernah cukup dengan apa yang ada.

Langkah ini juga setidak-tidaknya membenarkan masyarakat berbelanja secara tidak berhemah sedangkan dalam setiap kempen yang melibatkan ekonomi, masyarakat disuruh berjimat dan bijak berbelanja.

Saya percaya, tidak semua yang menyetujui langkah KWSP yang hendak membuat pemotongan ini kerana bagi yang mementingkan masa depan, mereka lebih suka wang mereka ditabung sendiri oleh KWSP kerana jika banyak mana pun wang ada di tangan mereka sendiri, belum tentu mereka dapat menyimpannya.

Dalam menangani kenaikan harga barang dan perkhidmatan berdasarkan pasaran global, masyarakat di negara kita sudah dididik untuk berjimat dan melakukan pelbagai perkara untuk menambah dan menyelamatkan pendapatan.

Bagi saya, menambah pendapatan berdasarkan wang yang sebenarnya patut disimpan adalah tidak bersesuaian dengan konsep yang dilaung-laungkan oleh kerajaan.

Kita juga berasa hairan, apakah belum cukup kempen-kempen yang diadakan oleh kerajaan untuk menangani kegawatan ekonomi sekarang sehingga kita terpaksa mengorbankan wang tabungan untuk masa depan kita sendiri?

Oleh itu diharap KWSP dapat menimbang semula cadangan ini supaya kakitangan sektor kerajaan dan swasta dapat meneruskan amalan berjimat.

Kita tentunya berharap kerajaan berusaha memantau pelbagai aspek lain yang selama ini menekan masyarakat terutamanya kenaikan harga barang supaya jumlah wang yang ada di tangan dapat digunakan seperti biasa; maknanya masyarakat memperoleh barang keperluan dengan tidak menyusutkan jumlah wang yang ada di tangan mereka dengan begitu banyak.

Dengan langkah KWSP ini juga, kita takut akan ada pula cadangan lain seperti membenarkan pengeluaran wang tersebut lebih awal dari tempoh yang dibenarkan semata-mata mahu menyuruh masyarakat berbelanja.

Dalam soal ini, KWSP mesti kembali semula kepada peranan dan tujuan wang tersebut dicarum oleh pekerja dan sumbangan bakti agensi itu untuk negara.

Ramai juga yang bimbang apabila tamatnya tempoh seseorang dalam sesuatu perkhidmatan, wang simpanan mereka tidak sebanyak mana dan susah mereka hendak meneruskan sisa-sisa hidup selepas bersara.

Oleh itu, sikap berjimat cermat dan berhemah dalam perbelanjaan dapat menangani masalah ini dan semua ini terletak di tangan kita sebagai pekerja.

M. JASNI MAJED

Bukit Kapar Selangor