Parlimen adalah satu institusi yang dipandang tinggi oleh rakyat negara ini tidak kira bangsa, negeri mahupun agama.
Parlimen mempunyai struktur, sistem dan budaya yang tersendiri yang agak unik. Keunikan inilah yang kadang-kadang menyebabkan rakyat terkeliru dengan apa yang terjadi.
Walau apa pun keadaannya harapan rakyat hanyalah satu iaitu, setiap polisi yang dihasilkan melalui Dewan Rakyat mestilah menepati sifir ia adalah demi kesejahteraan rakyat .
Pengumuman inisiatif fisikal terbaru oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di Parlimen pada 5 November lalu ternyata telah mengundang satu lagi insiden apabila pihak pembangkang keluar dari Dewan. Ini adalah bukan kali pertama dilakukan oleh mereka kerana sebelum ini telah kerap berlaku.
Apakah ia akan menjadi satu budaya atau pola tindakan bagi Ahli-Ahli Parlimen di Malaysia sebagaimana berlaku di banyak negara lain seperti Turki, Korea Selatan dan Taiwan.
Peristiwa ini telah mengundang pelbagai persoalan kepada rakyat. Apa yang tidak kena dengan pemberian insentif tersebut? Apakah jumlahnya terlalu kecil?
Apakah rakyat tidak layak menikmatinya sehingga dibangkang sehebat-hebatnya oleh pembangkang? Apa yang telah terjadi kepada Ketua Pembangkang?
Lebih dikesalkan lagi ialah ia berlaku pada ketika Ketua Pembangkangnya sekarang ini ialah bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Sebetulnya harapan rakyat apabila Ketua Pembangkang beralih tangan, beliau akan menjadi contoh tauladan yang terbaik kepada ahli pembangkang yang lain melalui tindakan-tindakan yang profesional dan tidak melakukan tindakan-tindakan yang dianggap sebagai tidak rasional.
Tetapi, sebaliknya telah berlaku dan ia amat mendukacitakan. Seharusnya ia perlu mencerminkan bahawa mereka adalah pejuang dan pemikir rakyat kelas pertama.
Dalam konteks ilmu politik, fungsi pembangkang sebagai penyemak dan pengimbang begitu penting. Jika dilakukan dengan kaedah yang betul seperti beralaskan sebab-sebab yang jitu dan profesional, ia akan memberi banyak manfaat kepada rakyat.
Mereka akan berupaya menjadi 'cermin' kepada kerajaan bagi menilai sama ada tindakan kerajaan itu memberi manfaat atau keburukan kepada rakyat dan negara. Tidak akan berlakulah keadaan yang mana wakil-wakil rakyat asyik memperjuangkan isu-isu yang tidak relevan dengan rakyat.
Dalam isu pengumuman inisiatif rangsangan ekonomi oleh Menteri Kewangan, pembangkang seharusnya lebih serius memperhalusi soal ini. Soal inisiatif terbaru kerajaan yang bernilai RM7 bilion ini bukan soal picisan dan kecil. Ia soal yang besar yang menyentuh kepentingan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, lokasi dan peringkat.
Justeru, apabila pembangkang telah keluar Dewan ketika pembentangan belum lagi selesai sepenuhnya, ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka tidak serius mahu membicarakan soal sepenting itu.
Ini sekali gus seolah-olah membuktikan bahawa kepentingan rakyat tidak diutamakan oleh mereka. Apakah tujuan mereka keluar dari Dewan jika sekadar untuk menarik perhatian rakyat dan membiarkan ia berkesudahan dengan orang ramai berpolemik sesama sendiri sama ada di kedai kopi, di sekolah, di pejabat mahupun di mana-mana.
Apakah ini yang dimahukan oleh pembangkang demi mengalihkan usaha baik yang cuba dilakukan terhadap rakyat?
Pihak pembangkang seharusnya bertindak dengan lebih matang dalam soal ini. Letakkan ke tepi terlebih dahulu soal-soal peribadi dan kepartian kerana apa yang penting pada masa ini ialah bersama memperkukuhkan ekonomi negara.
Dewan Rakyat adalah tempat untuk membicara agenda rakyat dan bukannya agenda sempit parti-parti politik masingmasing. Itu harus diingati oleh semua ahli Yang Berhormat.
Mereka yang dipilih, tidak kira mewakili parti kerajaan ataupun pembangkang adalah untuk membawa suara dan harapan rakyat. Jadi semua Yang Berhormat perlu memahami falsafah tersebut agar Parlimen tidak menjadi satu institusi yang menjadi gurauan rakyat.
Dalam konteks ini, apabila sesuatu dasar yang baik cuba diketengahkan maka ia wajar disambut dengan terbuka dan positif. Beberapa hari yang lalu Ketua Pembangkang juga pernah menegaskan agar pembangkang juga perlu turut sama membantu kerajaan dengan bekerjasama dalam menangani krisis ekonomi agar negara selamat.
Peliknya, lain pula reaksi pembangkang apabila pakej rangsangan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri. Walau apa pun alasannya, ternyata rakyat semakin muak dengan keadaan ini. Rakyat berfikir, sampai bilakah budaya keluar Dewan ( merajuk) ini akan terus berlangsung?
Rakyat perlukan lebih daripada itu. Rakyat perlukan sokongan untuk membolehkan pakej ekonomi itu diterjemahkan oleh kementerian-kementerian yang terbabit dalam bentuk pelan tindakan.
Rakyat pasti akan gembira dan mahu melihat kesungguhan kerajaan menterjemahkan pengumuman tersebut dalam bentuk perlaksanaan.
Rakyat di era milenium ini bukan lagi sukakan elemen retorik semata-mata tetapi sesuatu yang objektif.
Pembangkang ternyata tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagaimana diharapkan.
Mereka perlu lebih konstruktif. Rentak bangkangan di Parlimen perlu diubah dan disesuaikan dengan latar akademik dan budaya masing-masing. Peraturan dan etika yang sedia ada perlu dipatuhi sebaik yang mungkin.
Kerajaan perlu diberi peluang menjalankan tanggungjawab mereka dan jika ada yang tidak kena baharulah dikritik dan dipersoalkan.
Kerajaan pasti akan mengambil kira pandangan dan kritikan membina daripada pihak pembangkang kerana apa dibuat juga adalah untuk rakyat.
Oleh itu, reformasi dan transisi budaya di Parlimen adalah suatu tuntutan baru daripada rakyat yang perlu difahami oleh semua wakil rakyat yang terpilih melalui pilihan raya baru-baru ini.