SELEPAS mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Jumaat lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menegaskan lagi janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak selepas Perhimpunan Agung UMNO akhir Mac tahun depan.
Sama ada penyerahan itu akan berlaku dalam suasana perpaduan UMNO atau keretakan belum dapat dipastikan. Namun perkembangan terkini yang menyaksikan kemenangan Najib tanpa bertanding untuk jawatan Presiden jelas menunjukkan bahawa sokongan terhadap beliau tidak berbelah bahagi dan tidak akan meninggalkan kesan perpecahan.
Keadaan ini akan memberikan cabaran dan kesempatan kepada Najib untuk membuktikan keupayaan kepimpinannya bagi merapatkan semula barisan dan memulihkan kekuatan parti.
Berasaskan kepada sokongan padu yang diberikan kepadanya oleh seluruh bahagian UMNO untuk pencalonan Presiden UMNO, maka apa pun halangan dan pencemaran yang akan terus dilakukan oleh musuh politiknya dari dalam atau di luar parti, namun Najib diyakini akan dapat membawa UMNO ke era baru selepas Perhimpunan Agung UMNO kelak.
Beliau telah pun melalui dengan gagah berbagai usaha untuk mencemarkan peribadinya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sekian lama mengidamkan jawatan Perdana Menteri dan yang terakhir pihak tertentu telah memperalatkan portal berita Malaysiakini untuk mewarnakan Najib sebagai rasis. Tetapi gambaran ini tidak sahaja berlaku kepada Najib tetapi kepada Tun Abdul Razak (pro Melayu) dan Tun Dr. Mahathir Mohamad (ultra) sebelum mereka menjadi Perdana Menteri.
Persepsi negatif terhadap kedua bekas pemimpin negara itu ternyata tidak benar sebaliknya mereka terbukti menjadi Perdana Menteri yang terbaik dalam membangunkan perpaduan rakyat menerusi formula ekonomi dan sosial paling berkesan dan paling berjaya dalam sejarah negara.
Kedua-duanya berjaya memenangi semula rakyat yang kecewa dengan ketidaksungguhan perlaksanaan dasar-dasar yang boleh menukarkan kehidupan mereka dan memberikan "tolak ansur" yang membimbangkan mereka sehingga tercetusnya keadaan keadaan yang menggugat keselamatan negara.
Orang bukan Melayu seharusnya sedar bahawa kesepaduan dalam pencalonan Najib sebagai Presiden UMNO tanpa sebarang sekatan untuk sesiapa mencabarnya dan tanda sokongan besar yang ditunjukkan kepada Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden melambangkan hasrat orang Melayu untuk melihat UMNO kembali kepada kedudukan parti Melayu yang terkuat sebagai tunjang kepada kestabilan dan kekuatan negara.
Dalam proses politik negara, keadaan ini timbul bila berlaku krisis politik yang menimbulkan perasaan tergugat di kalangan rakyat yang mendorongkan tekanan dan desakan mereka untuk kerajaan kembali kepada formula penyelesaian yang telah terbukti berkesan.
Krisis
Kali ini kesedaran meluas telah bangkit di kalangan orang Melayu berikutan kekalahan besar BN dalam pilihan raya umum Mac lalu yang telah mendedahkan bahawa setiakawan dalam Barisan Nasional (BN) sebenarnya rapuh dan dalam krisis parti-parti Melayu dan Islam sanggup untuk mengorbankan prinsip bagi penyesuaian untuk mengekalkan kuasa. UMNO sendiri kerana terlihat berada dalam keadaan yang lemah tidak lagi menjadi tarikan dan tidak lagi meyakinkan parti parti Melayu lain untuk berkerjasama dengannya.
Kenyataan dan perlakuan kepimpinan parti-parti komponen BN selepas pilihan raya Mac telah menyerlahkan kepada UMNO "setiakawan palsu" dan ikatan rapuh yang terpendam di sebalik kontrak sosial yang menjalin kerjasama antara parti komponen sejak merdeka. Sekali lagi kata-kata bahawa tidak ada kawan dan musuh yang kekal dalam politik terbukti baik sesama sebangsa atau pun antara kaum.
Akhbar-akhbar Inggeris dan Cina yang dipunyai oleh parti komponen BN sendiri menunjukkan sokongan secara terang terangan kepada parti pembangkang dalam laporan, rencana dan sebagainya berbanding dengan akhbar UMNO yang dalam keadaan apa pun tidak pernah menjadi alat kepada parti pembangkang.
Selain daripada itu berlaku penyeberangan pemimpin penting Gerakan ke DAP dan kepimpinan MCA menyuarakan persepsi yang tersembunyi bahawa UMNO berlagak sebagai parti dominan dalam BN yang menyebabkan Presiden UMNO membuat penafian UMNO sebagai pembuli.
Semua yang berlaku adalah suatu kemunduran dalam politik masyarakat majmuk Malaysia tetapi seharusnya diterima dengan sikap positif oleh UMNO dan Melayu sebagai pengajaran terhadap erti sebuah kesetiaan di dalam politik masyarakat berbilang kaum untuk membuka langkah ke arah mencari formula yang lebih berkesan dari kejuruteraan sosial atau tindakan bersepadu Tun Abdul Razak.
Sesuatu yang positif dari krisis politik 2008 ialah sikap orang Melayu berbeza dalam menghadapi provokasi dan cabaran dibandingkan dengan tahun 1969. Mereka tidak menunjukkan reaksi panik dan agresif. Tindak balas mereka terkawal dan tidak menampakkan emosi yang keterlaluan sekalipun mereka menyedari bahawa Raja Raja Melayu juga mempunyai perasaan yang sama dengan mereka. Perhimpunan demonstrasi selepas pilihan raya nasional Mac untuk menentang kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP yang mengancam untuk menghapuskan DEB tidak disertai oleh ramai orang Melayu. Ini mungkin menunjukkan orang Melayu yang telah berjaya dalam proses sosialisasi menerusi DEB sekarang berasa lebih terjamin berbanding keadaan mereka semasa meletus kekacauan 13 Mei I969. Sekarang mereka berada dalam keyakinan diri yang lebih tinggi kerana taraf sosio ekonomi mereka telah jauh berbeza sehingga mereka tidak lagi berasa bahaya berada dalam kelemahan politik.
Sekiranya tidak ada tekanan politik yang keterlaluan dan agresif oleh bukan Melayu , mungkin tidak akan berlaku tindakan untuk menolak kepimpinan Melayu yang telah diterima menerusi proses kepartian dan Perlembagaan.
Bagaimanapun ternyata bukan Melayu menjadi terlalu ghairah dan gelojoh dalam mengambil kesempatan dari dasar reformasi demokrasi yang mahu dicuba oleh Perdana Menteri sehingga sikap kepimpinan Abdullah yang terbuka dan telus telah dicurigai oleh kaumnya sendiri.
Demokrasi
Apa yang berlaku kepada Almarhum Tun Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama telah berlaku kepada Perdana Menteri Malaysia yang ke lima.
Orang bukan Melayu tidak begitu diplomatik dalam menggunakan peluang reformasi demokrasi yang diberikan kepada mereka tetapi telah menunjukkan kegelojohan dan kebiadapan untuk menyokong doktrin lama yang telah ditolak dengan pertumpahan darah pada tahun I969.
Sikap mereka menyebabkan orang Melayu terpaksa mengorbankan pemimpin yang dianggap sebagai "Mr Nice" oleh bukan Melayu seperti mereka terpaksa mengorbankan Tunku Abdul Rahman yang amat disayangi oleh bukan Melayu.
Penolakan Pak Lah oleh orang Melayu bukan kerana beliau seorang pemimpin yang tidak baik tetapi kerana niat baiknya telah disalah mengertikan. Tingkah laku rakyat Malaysia telah memperlihatkan bahawa belum sampai masanya untuk Malaysia mempunyai pemimpin yang jauh kehadapan melampaui zamannya.
Dalam hal ini kita boleh mengambil Singapura sebagai contoh. Sekalipun Singapura merupakan negara maju dengan mentaliti rakyatnya di kelas pertama tetapi tetap mengamalkan demokrasi kelas ketiga atas kesedaran bapa Singapura Lee Kuan Yew bahawa masyarakat berbilang kaum mesti terus berada dalam keadaan yang terkawal demi untuk kebebasan hidup dalam kedamaian dan kemakmuran.Abdullah telah mengorbankan dirinya sendiri sekalipun beliau sedar dari segi demokrasi beliau bertahan sehingga saat terakhir tetapi demi perpaduan bangsa, demi kebimbangan orang Melayu dan demi masa depan Malaysia yang lebih terjamin maka beliau memilih jalan berundur lebih awal.