Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 November 2008

Semangat DEB patut diperluas


Rohaniza Idris


Daljit Singh Dalliwal

Sesetengah pihak di kalangan bukan Melayu mempertikaikan dasar ekonomi kerajaan sedangkan banyak matlamat dalam DEB belum dicapai. Mengapakah keadaan ini berlaku?

Apa saja dasar yang dibuat untuk kumpulan tertentu adalah baik kerana tujuan pelaksanaannya adalah baik, iaitu demi kepentingan bersama dan bukan hanya kelompok yang menjadi sasaran. Begitu juga dasar ekonomi kerana ia membabitkan semua pihak.

Sebelum mana-mana dasar mahu dilaksanakan, ia dibincang dengan teliti membabitkan semua kaum menerusi wakil dipilih. Mengapa perlu ada keraguan terhadap dasar itu. Begitu juga dengan DEB, ia baik untuk Bumiputera bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka kerana jauh ketinggalan berbanding kaum lain pada masa itu. Dasar itu juga dibuat pada masa sesuai. Saya nampak DEB adalah dasar yang lengkap dan tepat, malah hampir mencapai kejayaan walaupun tidak menepati sasaran awal.


Tiga dekad berlalu, saya nampak semangat DEB masih ada yang menyebabkan kaum lain turut mahu ia diperluaskan kepada mereka.

Apa yang pasti, DEB memang baik dan semangatnya perlu diteruskan. Mungkin kerana keputusan yang baik hasil dasar ini menyebabkan ada pihak yang mahu ia diperkenalkan kepada kaum lain.

Semangat DEB perlu diteruskan kerana dalam tempoh yang ditetapkan, ia membantu Bumiputera walaupun tidak mencapai apa yang ditetapkan. Mungkin kaum lain sudah memantau perkara ini (DEB) dan melihat keberkesanannya.

Perkara ini dipersetujui oleh pemimpin terdahulu, tetapi kini dipertikaikan. Apakah kesan apabila perkara ini dibangkitkan semula?

Apa yang saya faham, kenyataan oleh sesetengah pihak terhadap DEB, bukan bermakna mereka mempertikaikan DEB atau hak yang sudah diterima oleh Bumiputera. Sebaliknya, saya nampak kenyataan itu lebih mahukan apa yang sudah dilaksanakan diteruskan dan ruang serta peluang yang ada turut dikongsi bersama kelompok lain dalam masyarakat.

Ini bermakna, semua orang berkongsi kek yang sama, bagi kemajuan dan kebaikan bersama untuk bangsa dan negara Malaysia.

Kenyataan sesetengah pihak mengenai DEB baru-baru ini jangan disalah erti kerana mereka sebenarnya tidak mempertikaikan hak dan dasar itu, tetapi mahukan perkara yang sama seperti DEB diberikan kepada mereka juga.

Namun, apa yang mereka tuntut tidak sama dengan apa yang ada dalam DEB. Mungkin peratusan lebih kecil sesuai dengan kedudukan mereka. Mungkin apa yang mereka minta tidak sama dengan peratusan ditetapkan dalam DEB.

Mengapa tuntutan tidak disampaikan dengan cara mudah difahami, bukan dengan mengutuk atau mempertikaikan dasar yang dipersetujui?

Mungkin tuntutan demikian sudah dikemukakan kepada Kabinet. Itu kita tidak tahu. Mungkin cara mereka mengemukakan isu ini kepada umum mengguris hati sesetengah pihak dan disalah tafsir.

Adakah kelantangan sesetengah pemimpin MCA mengenai DEB dilihat sebagai cuba mencari sokongan atau berlagak menjadi hero kaum?

Saya lihat isu mengenai DEB diperkatakan sesuai dengan waktu ketika itu, iaitu Perhimpunan Agung MCA. Sebagai pemimpin mana-mana parti, sudah tentu mereka akan mengemukakan sesuatu untuk bangsa dan parti. Sama ada mereka mahu menjadi hero atau tidak, biarlah masyarakat menilainya.

Apakah yang sepatutnya dilakukan apabila setiap kaum mahu membincangkan isu berkaitan ekonomi?

Semua kaum berminat membincangkan isu ekonomi. Soal meningkatkan ekonomi rakyat menjadi perhatian semua kaum.

DEB adalah isu menjurus kepada ekonomi dan tidak sepatutnya dilihat isu perkauman. Apabila isu begini dibangkitkan, ia tidak akan menggugat hubungan kaum.

Lagipun, kenyataan pemimpin tertentu baru-baru ini, bukan mempertikaikan hak Melayu, sebaliknya mereka menuntut peluang diberikan kepada kaum mereka.

Apa yang saya faham menerusi tulisan dalam akhbar, kebanyakan pemimpin termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pun faham bahawa isu ini tiada kaitan dengan isu mengambil hak kaum lain atau menidakkan dasar sedia ada. Sebaliknya, mereka (MCA) menuntut dasar yang sama diperluaskan kepada mereka.

Misalnya seperti saya, sebagai pemimpin MIC, sudah tentu saya akan menuntut sesuatu yang baik untuk kaum saya. Seperti DEB, ia dilihat mampu meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dan pada masa sama membantu membangunkan negara.

Maka, jika ada dasar yang boleh meningkatkan ekonomi kaum India, sudah pasti saya sokong kerana ia bukan hanya membantu kaum itu, malah memberi kesan kepada ekonomi negara.

Benarkah pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam syarikat senarai awam menyekat pelabur asing melabur di negara ini?

Kenyataan itu tidak sesuai memandangkan DEB sudah berlalu dan Malaysia sudah merdeka lebih 50 tahun. Dalam tempoh itu, kita sudah berjaya, malah pelabur asing keluar dan masuk.

Kebanyakan pelabur asing juga mengakui Malaysia negara stabil. Malah, kita ada banyak syarikat multinasional melabur di negara ini. Jumlahnya bukan sedikit dan kita perlu melihat sejarah dan perkembangan ekonomi negara.

DEB memang dasar yang bagus. Pelabur asing datang melabur, pemilikan 30 peratus Bumiputera dalam syarikat senarai awam berlangsung dengan baik. Malah kini ada yang 100 peratus milik Bumiputera disenarai awam. Mereka, (syarikat Bumiputera) juga mungkin ada kerjasama yang baik dengan syarikat bukan Bumiputera.

DEB memang dasar yang baik. Jika tidak berjaya, tentu ada banyak komen negatif yang kita terima mengenainya sebelum ini. Jika ada komen pun, ia dibuat kerana mereka mahukan dasar yang sama diberikan kepada mereka.

Adakah kenyataan yang mempertikaikan mengenai DEB dibuat kerana pemimpin tidak faham sejarah atau tidak puas hati dengan kejayaan dasar itu?

Saya percaya sesiapa saja yang menjadi warga negara ini menghargai apa yang mereka peroleh, dasar dan Perlembagaan. Namun, kadang kala apabila ada tuntutan daripada akar umbi, pemimpin terpaksa meluahkan permintaan itu. Apabila mereka ditekan, kadang kala cara untuk menuntut satu-satu perkara itu menjadi salah.

Saya percaya pemimpin menghormati Perlembagaan dan sayang kepada negara. Suasana kini sudah banyak berubah dan cara meluahkan rasa atau menyampaikan pendapat sedikit berbeza.

Jadi, penerimaan dan keterbukaan serta ketelusan yang diamalkan ketika ini mendapat pelbagai reaksi. Ada pihak yang boleh terima dan ada yang tersinggung.

Adakah anda bersetuju proses liberalisasi dilakukan terhadap DEB?

Saya bersetuju jika DEB melalui proses liberalisasi. Semangat DEB perlu diteruskan dan dibuka luas untuk bukan Bumiputera. Kita membuat dasar ekonomi baru untuk semua. Saya tahu objektif dasar ini untuk meningkatkan ekonomi sesuatu kaum tanpa menafikan hak kaum lain.

Apabila dasar ini bagus dan mampu meningkat sesuatu kaum, jadi ia perlu dilakukan kepada kaum yang lain di negara ini untuk kebaikan bersama.