LANGKAH Kumpulan Utusan meneruskan penerbitan Utusan Melayu Mingguan patut disambut oleh semua pihak terutamanya di kalangan penerbit buku. Akhbar Utusan Melayu Mingguan yang menemui pembaca hanya sekali seminggu pada hari Isnin tentulah tidak memadai dalam memartabatkan tulisan Jawi.
Pembaca terutamanya golongan muda mengharapkan lebih banyak bahan bacaan yang diterbitkan dalam tulisan yang pernah menjadi media komunikasi semasa tamadun bangsa Melayu berada di puncak. Jawi adalah pusaka orang Melayu yang wajar dikekalkan kerana tulisan Jawi amat akrab dengan kitab al-Quran yang menjadi pegangan orang Melayu dan Islam.
Sungguhpun penerbit buku negara ini kurang berminat menghasilkan buku Jawi, pembaca dan peminat bahan dalam tulisan Jawi masih ramai dan sentiasa menanti-nantikan kehadiran apa juga buku dalam tulisan Jawi.
Pustaka Yamien ialah antara sejumlah kecil penerbit yang secara berterusan menerbitkan bahan dalam tulisan Jawi. Beberapa siri bacaan telah diterbitkan oleh salah sebuah penerbit Melayu yang dapat dianggap aktif di Kuala Lumpur ini.
Memahirkan
Siri Warisan Pak Matlob yang diterbitkan oleh Pustaka Yamien mempunyai strategi bagi mendorong anak-anak kita membaca Jawi, memahirkan pembacaan Jawi mereka. Siri ini menampilkan 28 judul buku Jawi bergambar yang menarik untuk bacaan kanak-kanak melalui pelbagai judul dan topik.
Buku-buku dalam siri ini menemui pembaca dalam tiga tahap yang berbeza berdasarkan keupayaan membaca, melancar dan memahirkan bacaan Jawi pembaca. Pelbagai cerita yang dimuatkan dalam buku-buku ini, dapat memperkaya pembaca dengan pelbagai kosa kata selain memperkukuh keupayaan mereka mengeja dan membaca. Kecekapan mengingat pembaca dikesan melalui uji minda pada bahagian akhir buku.
Pada tahap pertama pembaca yang baru cuba menguasai tulisan Jawi dapat membaca kisah rakyat tempatan seperti Si Lampai, Badang Anak Petani, Awang Selamat, dan Amin dan Aiman. Cerita rakyat luar negara yang muncul pada tahap ini ialah Songkok Fiz, Pahlawan Tayu, Udubun Pelukis Burung dan cerita Ramun dan Takar.
Strategi memudahkan pembacaan diterapkan melalui penggunaan saiz tulisan yang besar, pembahagian suku kata mengikut warna yang berbeza dan pengulangan suku kata.
Pada tahap selanjutnya buku-buku Jawi dalam siri ini menggunakan ayat dan suku kata yang lebih panjang. Dalam tahap kedua ini, para pembaca dihadiahkan judul-judul berdasarkan pengalaman para Nabi seperti Banjir Besar; Api yang Sejuk; Diangkat ke Langit; Tongkat Mukjizat dan Rahmat Seluruh Alam.
Pada tahap ini juga ditampilkan kisah teladan seperti Siti Usahawan Berjaya; Yakin Boleh; Melentur Buluh; Akibat Tamak dan Angan Mat Jenin. Jalan cerita dengan mudah difahami kerana Pustaka Yamien menyediakan ilustrasi menarik berwarna-warni mengiringi setiap judul ini.
Judul-judul dalam tahap tiga antara lain menampilkan kisah hidup tokoh tempatan dan luar negara termasuklah Tok Kenali, Ibnu Sina, Ibn Firnas, Thomas Edison dan Henry Ford.
Pembaca juga dapat menikmati cerita rakyat seperti Puteri Raja Bermain Congkak dan kisah pengalaman seharian seperti Sedapnya Masakan Ibu dan John Melancong ke Malaysia.
Pada hakikatnya, dalam konteks sejarah negara ini, tulisan jawi tidak boleh dilihat sebagai hanya milik orang Melayu semata-mata. Walaupun penyebaran tulisan itu berkait rapat dengan perkembangan agama Islam, namun peranannya sebagai tulisan Melayu untuk urusan kenegaraan dan antarabangsa sudah terbukti dan tercatat dalam sejarah.
Survival tulisan Jawi berada dalam tangan kita. Justeru, usaha Pak Matlob dan Pustaka Yamien menerbitkan siri bacaan Jawi ini amat penting usaha melestarikan penggunaan Jawi dalam kalangan remaja dan kanak-kanak yang dahagakan bahan bacaan khususnya dalam tulisan Jawi.
Tanpa pelaburan oleh penerbit swasta seperti Pustaka Yamien, tidak mungkin hasrat mengekalkan dan memartabatkan tulisan Jawi dapat dilaksanakan. Tulisan Jawi semakin terancam dalam era ledakan maklumat sekarang.