![]() |
U-WEI Haji Saari menerangkan kandungan buku cenderamata yang diberikannya kepada Prof. Diraja Ungku Aziz. |
SELAMA ini, khalayak filem hanya menonton dan menghayati filem-filem arahan U-Wei Haji Saari menerusi sorotan kamera, gaya lakonan para pelakon serta jalan ceritanya semata-mata.
Sebaliknya, banyak lagi nilai artistik daripada karya-karya beliau yang boleh diterjemahkan ke dalam pelbagai medium termasuklah seni tampak yang mencakupi ruang lingkup yang luas.
Sebagai contohnya, banyak elemen seni, budaya dan sosial dalam enam filem arahan U-Wei iaitu Perempuan, Isteri dan ..., Black Widow Wajah Ayu, Kaki Bakar, Jogho, Buai Laju-Laju dan Sepohon Rambutan Indah Kepunyaanku Di Tanjung Rambutan yang boleh disingkap menerusi medium seni tersebut.
Menurut pengarah tersohor ini, beliau akan menggunakan 12 artis seni halus yang berlainan disiplin bagi mentafsir semula filem-filemnya itu mengikut persepsi tersendiri para artis terbabit.
"Setiap karya mereka itu mestilah berdasarkan kepada filem-filem arahan saya. Ada pelbagai medium seni tampak yang akan mereka gunakan seperti lukisan di kanvas dan fotografi.
"Ia terpulang kepada kreativiti setiap artis yang terlibat di mana mereka bebas untuk mentafsir karya-karya saya menerusi medium dan kreativiti masing-masing, termasuklah untuk tujuan mengkritik.
"Cara ini dapat memperkembangkan lagi skop karya sesebuah filem itu biarpun menerusi medium yang berbeza-beza," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Wayang U-Wei Dalam Seni Tampak di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.
Pelancaran itu disempurnakan oleh Prof. Diraja Ungku Aziz dan ia turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim.
Seramai 12 artis akan terbabit bagi menjayakan pameran itu yang bakal diadakan di Galeri Petronas, Kuala Lumpur, dari 23 Mac hingga 9 Mei 2010.
Barisan artis yang terbabit pada pameran itu ialah Abu Bakar Idris, Ahmad Zakii Anwar, Elias Yamani Ismail, Fadzil Idris, Hamir Soib, Ilse Noor, Mansor Haron, Mastura Abdul Rahman, Noor Mahnun Mohamed, Shia Yih Yiing dan Riaz Ahmad Jamil Ahmad.
Jelas U-Wei pameran yang bersifat kolaboratif ini antaranya akan mengungkap pengaruh-pengaruh yang telah membentuk penciptaan dalam filem-filem arahan beliau selama ini.
"Usaha sama kreatif ini akan menampilkan suatu pertembungan idea dan fahaman yang berasal dari latar seni, kepakaran dan disiplin yang berbeza antara setiap artis.
"Malah, ia turut membabitkan persembahan artistik daripada penggunaan bahantara-bahantara terpilih yang sudah tentunya tersendiri.
"Produk yang akan dihasilkan kelak mampu untuk membuka pintu baru dalam pemikiran khalayak dalam usaha kita bagi menambahkan pemahaman khalayak menerusi karya-karya yang akan mereka hasilkan kelak," ujarnya.
Karya-karya seni halus yang akan dihasil serta dipamerkan kelak akan mentafsir semula isu-isu yang dibangkit dan diluahkan menerusi medium-medium yang tersendiri.
Difahamkan setiap artis akan menghasilkan antara tiga hingga enam karya masing-masing dalam tempoh setahun lebih sebelum ia dipamerkan di galeri tersebut.
Hasil-hasil kerja pada pameran itu antaranya meliputi kain rentang filem-filem lama di atas kanvas, imejan daripada filem di atas kertas, objek atau ikon dalam bentuk arca lembut dan instilasi alam sekitar yang dilengkapi dengan projektor imej bergerak.
Pameran yang bakal diadakan itu merupakan julung kalinya diadakan oleh syarikat produksi Tanah Licin Sdn. Bhd. milik pengarah terbabit.
Sebelum majlis pelancaran pameran itu, turut ditayangkan ialah tayangan filem pendek terbaru U-Wei berjudul Sepohon Rambutan Indah Kepunyaanku Di Tanjung Rambutan yang diterbitkan pada 2005.