Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

09 November 2008

Tiada jaminan Malaysia bebas risiko bencana alam


Oleh Ziauddin Sharuddin

TSUNAMI yang melanda Aceh, Indonesia, pada 26 Disember 2004 mengejutkan rakyat Malaysia yang sebelum ini disogokkan dengan kenyataan bahawa negara ini kebal daripada bencana alam.

Tempias tsunami yang meragut nyawa penduduk di negeri utara Semenanjung menyedarkan bahawa negara ini tidak bebas sepenuhnya daripada bencana alam di negara jiran, terutama Indonesia dan Filipina.

Walaupun tsunami bukan perkara baru di Indonesia kerana sebelum kejadian malang di Aceh, kira-kira 100 kejadian tsunami dilaporkan berlaku di Sumatera dan Jawa, majoriti rakyat Malaysia tidak pernah peduli.


Malaysia memang bebas bencana alam, tetapi kejadian tsunami di Aceh mengingatkan fakta bahawa negara ini berada dalam lingkungan kawasan bencana alam terbesar dunia.

Hanya ada lima atau enam kawasan dunia dianggap mempunyai bencana alam besar. Selain Jepun, barat Amerika Syarikat, Asia Barat dan sebahagian China, rantau Asia Tenggara adalah kawasan bencana alam besar.

Pengarah Institut Penyelidikan Pencegahan Bencana Alam Asia Tenggara (Seapri) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata bencana akibat tsunami di negeri utara Semenanjung dapat dielakkan dengan pengetahuan dan kesedaran.

Katanya, kajian mendapati apabila sampai ke Malaysia, tsunami itu adalah bahagian terakhir dengan gelombang lebih rendah, kelajuan lebih perlahan dan impak hanya setakat 50 meter sepanjang pantai.

“Tanda tsunami adalah air laut surut, diikuti tsunami dalam tempoh 15 minit. Jika berjalan kaki sejauh 50 meter mengambil masa satu minit, masih ada masa mengambil barang dan berjalan 100 meter dari pantai untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan terhadap bencana alam di negara jiran juga timbul berikutan beberapa kawasan Pantai Barat Semenanjung merasai gegaran akibat gempa bumi di Sumatera.

Katanya, sudah berpuluh-puluh kali gegaran berlaku dan banyak kali orang turun dari bangunan, tetapi kajian menunjukkan tiada bangunan mengalami kerosakan, sekali gus menunjukkan tahap gegaran jauh lebih rendah berbanding keupayaan bangunan menampung gegaran.

Dr Ibrahim mengkategorikan bencana kepada bencana iklim (pemanasan global, jerebu, ribut dan banjir), bencana geologi (gempa bumi, tsunami, gunung berapi, tanah runtuh dan pemendapan) dan bencana teknologi (pencemaran tanah dan air bawah tanah dan bahan kimia).

Beliau berkata, negara sebenarnya tidak menghadapi bencana alam yang serius dan yang berlaku sebenarnya dapat dielakkan.

Katanya, hanya banjir menimbulkan masalah, tetapi sejak 20 tahun lalu, sudah ada sistem pemindahan teratur dan agensi khusus untuk mengawasi masalah ini.

“Banjir dapat dielakkan melalui penyelidikan untuk penyelesaian jangka panjang. Sebagai contoh, sebahagian besar kawasan banjir sekarang diduduki penduduk yang tidak tahu bahawa kawasan itu biasa dilanda banjir pada masa dulu.

“Penduduk dulu tahu dan menganggap banjir sebagai lumrah setiap tahun. Mereka menyesuaikan diri dengan mendirikan rumah bertiang tinggi. Perubahan gaya hidup menyebabkan rumah dibina atas tanah dan apabila berlaku banjir yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan nyawa, masyarakat tidak boleh menerima banjir,” katanya.

Katanya, banjir berkait rapat dengan peningkatan penduduk, aktiviti manusia dan kecuaian manusia dalam konteks pemilihan tempat tinggal.

Beliau berkata, bencana alam seperti banjir memerlukan dasar dan perancangan seperti kawasan penempatan dibina di kawasan tinggi, manakala kawasan rendah dimajukan dengan pertanian yang jika berlaku banjir, kesan banjir hanya mengganggu pertanian.