Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

30 Disember 2008

Menjaga martabat seni





SEPANJANG perjalanan dari pinggir Kuala Lumpur hingga ke Bandar Baru Puncak Alam dekat Shah Alam baru-baru ini, seperti tidak banyak tarikan yang boleh memusatkan pandangan mata.

Selain landskap bukit yang ditarah, kesibukan jentera pembuat jalan dan perata tanah agak mengganggu pemerhatian. Begitu juga dengan luasnya kawasan hutan semula jadi yang diteroka, antaranya dengan janji daripada papan tanda yang tertera ‘projek perumahan ala resort’. Sungguh ironi.

Kalau bukan merencana kunjungan ke rumah milik artis seni kontemporari yang aktif bergerak bersama kumpulan Matahati, Ahmad Shukri Mohamed, 39, mungkin krew EKSTRA sudah berpatah balik.

Namun, sejurus tiba di hadapan pintu sebuah lot kediaman di hujung deretan rumah teres, banyak soalan mula terkumpul dalam fikiran. Tersergam sebuah seni bina yang tidak salah kalau diumpamakan sebagai mercu tanda kejiranan tersebut.

Patisatustudio nama yang diberi untuk santuari itu. Dikelilingi redup pohon-pohon menghijau, ia menaungi kerja-kerja seni Shukri dan isterinya, Umibaizurah Mahir@Ismail, 33.

Jika si suami kerap menjadikannya ruang untuk mencipta mood dalam pembikinan seni visual atas kanvas, si isteri pula berekspresi melalui pembuatan seramik dan arca tanah liat konseptual.

“Seramik sering dianggap barangan mewah. Di negara ini, tanggapan tentang produknya pula sering tertumpu pada pembuatan pasu atau pinggan mangkuk.




“Sedangkan ia lebih daripada itu,” kata Umibaizurah yang mula menjinakkan diri dalam dunia pembikinan seramik pada tahun 1997.

Dia yang mesra membahasakan diri sebagai Umi tidak lokek berkongsi kepada krew EKSTRA tentang ilmu pembuatan seramik. Daripada proses campuran tanah liat, eksperimen warna, membakar, menyepuh, hinggalah kepada teknik kemasan akhir.

Bekas tenaga pengajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini senang meluangkan masa bercerita tentang cinta tanah liatnya itu sedangkan dia, ketika ditemui, agak sibuk memberi tunjuk ajar kepada beberapa remaja yang mengikuti bengkel kraf seramik kendaliannya.

Kalau bukan menurunkan skil kepada kelompok pelajar jurusan seni halus dari institusi pengajian tinggi, anak-anak sekolah juga sudah biasa memeriahkan Patisatustudio, khususnya pada musim cuti.

“Inilah fungsi studio ini, selain menjadi tempat kami berkarya, ia juga membuka peluang kepada teman-teman penggiat seni dan golongan muda untuk sama-sama menimba pengalaman tentang jurus seni halus,” ujar Shukri yang berkolaborasi dengan Umi dalam sebuah pameran berjudul Warning! Tapir Crossing sedikit masa dahulu.


SHUKRI bangga dengan hasil karya awalnya yang kini dipamerkan di galeri salah sebuah rumah yang disewa berdekatan Patisatustudio.


Tapir merupakan metafora yang digunakan bagi mengingatkan tentang pertembungan antara alam sekitar dengan pembangunan manusia. Ia dicetuskan peristiwa tahun 2002 apabila mereka menemui tapir yang mati dilanggar ketika projek Bandar Baru Puncak Alam rancak dilaksanakan.

“Kami gunakan seni sebagai saluran menyampaikan mesej kesedaran awam agar manusia dapat berfikir tentang impak pembangunan.

“Patisatustudio sering mengajak artis, kurator dan pengkritik seni berbincang tentang perkembangan seni serta pengaruhnya terhadap masyarakat dan persekitaran,” terang Shukri yang masih meminjamkan pengalamannya dalam kuliah seni di UiTM.

Setiap tahun, sekurang-kurangnya seramai 500 graduan seni halus dan seni reka ‘dikilangkan’ dari institusi pengajian tinggi di negara ini.

Kalau dahulu, UiTM sahaja yang menjadi perintis, kini semakin ramai yang muncul daripada beberapa institusi lain.

Semakin ramai graduan bermakna semakin banyak persaingan untuk memulakan langkah kerjaya. Kalau Umi dan Shukri berjaya menemui hala tuju mereka, tidak dinafikan ramai yang menemui jalan buntu.

Bagi bapa dan ibu kepada dua orang cahaya mata ini, graduan seni halus boleh diibaratkan seperti anak-anak penyu yang baru menetas. Nasib dan survival hanya menyebelahi mereka yang benar-benar jujur dan bersungguh dalam berkarya.

“Graduan perlu merancang dengan bijak dan menggunakan sumber pengetahuannya untuk bergerak dalam situasi yang berubah-ubah dan berbeza.

“Umi sendiri sebelum dia dapat bekerja dengan tanah liat sepenuhnya, dia memanfaatkan ilmu yang dipelajari pada projek-projek lakaran dan membantu kerja artis visual. Dia juga rajin mengukuhkan rangkaian kenalan dalam bidang ini,” puji Shukri tentang wanita yang sebelum ini merupakan salah seorang anak didiknya di UiTM.


PATISATUSTUDIO sering dijadikan tempat pertemuan dan perbincangan di kalangan karyawan dan pencinta seni.


Tambahnya, seniman M. Nasir dan pengarah, Adman Salleh, ialah antara contoh graduan seni halus yang ‘mengeksploit’ penghayatan seni masing-masing demi membina nama dan kerjaya dalam industri muzik dan perfileman.

“Proses pembelajaran adalah berterusan. Tidak hairan jika seni diterapkan dalam kerjaya seorang pemilik restoran, pereka hiasan dalaman atau pengusaha resort misalnya.

“Kita lihat, mereka yang kaya sentuhan seni dalam dirinya boleh berjaya dalam apa juga bidang. Seni bersifat mengadaptasi,” tambah Umi.

“Berbalik pada niat pelajar itu sendiri. Adakah mereka belajar jurusan seni halus untuk sekadar lulus peperiksaan atau adakah mereka mahu menjadikan ia sebagai suatu kerjaya serius,” Shukri merumuskan.

Mungkin bagi ramai graduan seni halus yang masih belum menemui titik fokus dalam merancang masa depan, pasangan ini boleh menjadi rujukan terbaik untuk membantu mengupas pemahaman tentang hal-hal yang berkaitan dengan seni.

Shukri dan Umi yang sudah banyak kali berpeluang ke luar negara, sama ada untuk memperkaya pengalaman ataupun membawa hasil karya mereka untuk dipamerkan, turut mengharapkan lebih ramai pihak yang sedar dan percaya bahawa dunia seni halus mempunyai prospek cerah sebagai profesion.

“Jika dinilai dari sudut jangka panjang, produk seni yang dihasilkan itu mampu menjadi aset negara pada masa akan datang. Ia sebenarnya mempunyai fungsi besar iaitu melonjakkan tamadun manusia, selain bertindak sebagai medium yang memasyarakatkan,” Shukor membuat kesimpulan.

Cuma satu yang sempat mereka pesan, agar masyarakat hari ini meluaskan pemahaman tentang istilah ‘artis’ itu sendiri. Ia bukan eksklusif merujuk kepada gelaran seorang penyanyi atau pelakon.


SENI seramik yang diperkenalkan Umi bersifat kontemporari dan sudah banyak kali diiktiraf pencinta seni dalam dan luar negara.


Artis adalah terma luas untuk menerangkan tentang golongan yang menghasilkan produk seni. Seni itu jugalah yang akan kembali ke pangkuan masyarakat.

Shukor dan Umi secara tidak langsung telah menjawab tanggapan skeptikal ramai tentang kemampuan profesion yang mereka cintai itu untuk menjana pendapatan, meraih pengiktirafan dan menyara kehidupan.