Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

03 Disember 2008

Bagaimana Istilah Baharu Dicipta dalam Bahasa Melayu

[Bersama Datuk Dr. Hassan Ahmad]

Proses penciptaan perkataan atau istilah baharu dalam bahasa Melayu telah berlaku sejak berpuluh abad yang lalu. Proses ini berlaku melalui berbagai-bagai cara. Pertama, istilah atau perkataan baharu itu dibentuk dalam sistem bahasa Melayu itu sendiri. Sebagai contoh, daripada perkataan ada, terbentuk kata-kata baharu untuk menyatakan makna yang berbeza-beza seperti berada, diadakan, diada-adakan, mengadakan, mengada atau mengada-ada, keadaan dan keberadaan. Semua perkataan ini dibentuk berdasarkan sistem pembentukan kata (morfologi) bahasa Melayu yang biasanya berlaku secara spontan atau intuitif.

Cara kedua melalui peminjaman atau penyerapan kata atau istilah daripada bahasa asing menurut kaedah tertentu. Bahasa Melayu mula meminjam kata atau istilah daripada bahasa Arab yang berkembang seiring dengan agama Islam. Ada perkataan Arab yang diserap sebagai kata biasa berdasarkan

sistem fonologi bahasa Melayu. Contohnya: “fardu” menjadi “perlu”, “fatwa” menjadi “petua”, dan “hari Arba’a” menjadi “hari Rabu”. Hal ini kerana dalam sistem fonologi bahasa Melayu tidak ada fonem (bunyi) “dhad”, “f” dan “ain”; yang ada ialah fonem “p” dan “d”. Tetapi orang Melayu tidak berkata “Solat (sembahyang) perlu” atau “petua Mufti”. Kata “fardu” dan “fatwa” dikekalkan sebagai istilah khusus.

Ini bererti, kita menyesuaikan bentuk kata atau istilah asing itu dengan sistem linguistik dan sistem ejaan (atau sistem bunyi) bahasa Melayu, atau kita meminjam atau menyerap kata asing itu secara in toto, yakni kita tidak melakukan apa-apa penyesuaian, kecuali penyesuaian dari segi ejaan, sekiranya kata itu mempunyai makna khusus, misalnya yang berkaitan dengan agama Islam.

Cara ketiga mencipta istilah baharu secara rekaan bebas. Contohnya, kugiran yang dibentuk daripada gabungan suku kata perkataan “kumpulan”, “gitar” dan “rancak” (daripada bahasa Inggeris pop group), jabanah dibentuk daripada gabungan suku kata perkataan “jalan”, “bawah” dan “tanah” (daripada bahasa Inggeris sub-way), dan pawagam yang dibentuk daripada gabungan suku kata atau sebahagian suku kata perkataan “panggung”, “wayang” dan “gambar”. Tetapi cara ini jarang-jarang digunakan dan sukar dijadikan “pedoman rasmi” pembentukan istilah ilmu dan saintifik kerana cara ini dijadikan peraturan yang sistematik.

Kaedah penciptaan istilah baharu yang digunakan oleh DBP sejak dahulu secara asasnya berdasarkan cara pertama dan kedua. Semua bahasa yang maju dan berkembang di dunia terutama bahasa Inggeris menggunakan cara ini. Sebelum istilah asing dipinjam atau terpaksa dipinjam, pencipta istilah dikehendaki mencari kata atau istilah yang sepadan atau sesuai dalam bahasa Melayu dahulu. Kalau tidak ada, perlu dicari kata yang sesuai daripada bahasa-bahasa serumpun (Jawa, Aceh, Bugis dan lain-lain). Banyak perkataan yang dianggap sebagai istilah ilmu dalam bahasa Melayu sebenarnya diambil daripada perbendaharaan kata bahasa Melayu. Perkataan itu diberi makna khusus dan daerah semantiknya diperluas. Contohnya, istilah atomic energy daripada bahasa Inggeris menjadi tenaga atom dalam bahasa Melayu. Perkataan “tenaga” (tenaga manusia, tenaga batin, dan lain-lain.) diberi makna “tenaga” menurut ilmu fizik atau fizik nuklear. Istilah “atom” tidak diterjemahkan sebagai “zarah” tetapi ini tidak bererti bahawa kita tidak boleh menggunakan perkataan ini (asalnya daripada bahasa Arab) dalam konteks semantik (makna) yang lain, yang mungkin lebih umum maknanya.

Kita perlu menyedari hakikat bahawa bahasa Melayu kaya dengan perbendaharaan kata. Kajian korpus kata yang dilaksanakan mendapati bahawa perbendaharaan kata umum, terutama kata-kata budaya bahasa Melayu, jauh lebih kaya daripada perbendaharaan kata umum bahasa Inggeris. Oleh itu, dalam bahasa Inggeris banyak sekali terdapat kata polisemantik, yakni kata yang mempunyai banyak makna leksikal dan tambahan. Kata polisemantik dalam bahasa Melayu juga ada tetapi jumlahnya tidak banyak, dan kebanyakan maknanya ialah makna metaforik atau kiasan (tidak hanya makna harfiah). Sebagai contoh, dalam bahasa Inggeris hanya terdapat perkataan hungry (lapar) tetapi tidak ada perkataan untuk “kenyang”. Mereka menggunakan perkataan full (penuh) untuk “kenyang”.

Malangnya, kebanyakan orang Melayu hari ini yang mengetahui bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tidak berfikir dalam bahasa Melayu. Mereka sangat terikat atau terpengaruh dengan kata-kata umum bahasa Inggeris sehingga mereka kerap kali menuduh perbendaharaan kata bahasa Melayu tidak cukup untuk menyampaikan sesuatu ilmu. Ini menunjukkan kejahilan mereka terhadap kekayaan budaya dan semantik bahasa Melayu.

Orang Melayu yang tidak benar-benar menguasai bahasa dan budayanya lebih-lebih lagi ilmu peristilahan, seharusnya tidak merosakkan bahasa Melayu dengan mencipta istilah sesuka hati. Bahasa Inggeris terkenal sebagai “bahasa peminjam” kerana telah meminjam lebih 85% istilah ilmunya dari bahasa Latin, Greek dan bahasa-bahasa lain sejak kira-kira 600 tahun dahulu. Sekiranya kita memetik meskipun satu ayat laras sains dalam bahasa Inggeris, apakah kita akan menemui istilah sains yang berasal daripada bahasa Inggeris Anglo-Saxon?

Oleh itu, bangsa Melayu seharusnya menncontohi orang Inggeris yang tidak suka merendah-rendahkan bahasanya sendiri dan tidak pernah menuduh bahasa mereka sebagai bahasa yang miskin perbendaharaan katanya.