SATU kesimpulan pahit yang dapat kita fahami dalam seminggu dua ini ialah kaum-kaum di Malaysia masih tidak dapat disatukan menjadi satu identiti yang sebenarnya.
Kaum-kaum di negara ini masih mempunyai tembok kebal yang memisahkan di antara satu sama lain dan ia merupakan satu kesimpulan yang kurang sihat jika dibandingkan dengan usia kemerdekaaan negara yang tercinta ini.
Apa yang berlaku ialah penyelindungan (suppression) kepada segala rasa ketidakpuashatian antara kaum. Kita masih boleh bergaul dan berkawan dengan kaum-kaum lain tetapi rasa syak wasangka, tidak puas hati dan cemburu dapat disembunyikan dengan kemas oleh setiap individu.
Situasi seperti itu sebenarnya tidak sihat kerana jika berlaku sebarang isu kontroversi yang melibatkan di antara kaum-kaum yang berlainan, penyelindungan itu sudah tidak laku lagi dan akan berlaku ledakan dan pertembungan kaum yang biasanya tidak enak untuk didengar.
Maka itu juga kita akan lihat respons yang begitu kuat dan berapi-api daripada rakyat bila setiap kali berlaku isu-isu yang melibatkan ketidakpuashatian antara kaum.
Tahap gelora rakyat akan bertambah signifikan jika isu-isu itu turut dicanang-canangkan oleh saluran-saluran informasi seperti surat khabar, televisyen, blogs dan sebagainya.
Perasaan-perasaan seperti geram dan marah adalah ledakan emosi yang selama ini diselindungi oleh sebab logik, agama dan undang-undang negara.
Penulis tidak lihat sebarang isu yang mampu meletuskan perasaan yang sebegitu hebat dan respons yang berapi-api selain daripada isu perkauman itu dan ia sebenarnya tidak sihat.
Ini diburukkan lagi dengan kehadiran pemimpin-pemimpin kaum yang sentiasa mahu memijak atau mencabar kaum-kaum lain hanya kerana mahu menonjolkan diri masing-masing. Mereka lupa kepada Rukun Negara, Perlembagaan negara dan segala kerangka utama negara ini.
Mereka juga lupa kepada salah satu daripada tanggungjawab asas mereka iaitu untuk mendidik bangsa mereka supaya menghormati sejarah, bersikap rasional dan bertoleransi.
Dan biasanya, rakyat terperangkap dek permainan politik parti-parti politik di negara ini sehinggakan ada kalanya mereka turut dipengaruhi untuk mempercayai bahawa berlaku penindasan yang amat hebat kepada sesuatu bangsa.
Padahal segala logik, statistik negara, atmosfera seharian, pencapaian sesuatu kaum di negara ini, tahap komunikasi yang tenteram sesama rakyat dan keharmonian negara hari ini, tidak langsung melambangkan apa yang diperkatakan oleh sesetengah pemimpin itu.
Masalahnya, mereka itu akan terus bermain-main dengan isu ini selagi mereka tidak berjaya dalam arena politik negara ini.
Maknanya tahap 'menyimpan' dan selindung segala syak wasangka antara kaum memerlukan mekanisme yang berkesan agar ia dapat dikurangkan dan dihilangkan terus daripada sanubari kita.
Untuk itu, peribahasa 'melentur buluh biar dari rebungnya' amat tepat dan mesti digunakan jika pemimpin-pemimpin negara benar-benar ikhlas. Ini bukan soal ideologi politik tetapi untuk menyediakan generasi Malaysia tanpa sempadan kaum.
Walau pun pahit untuk ditelan, kita perlu mengakui bahawa kita tidak boleh mengharapkan generasi sedia ada seperti kita hari ini. Terasa begitu mustahil sekali.
Pemimpin-pemimpin kita pula tidak membantu malah menyukarkan lagi usaha murni ini.
Dan mahu tidak mahu, kita perlu merujuk kepada sistem pendidikan negara yang dilihat sebagai tidak membantu proses 'memalaysiakan' rakyat.
Pembahagian sistem sekolah mengikut kaum-kaum yang berlaku di kalangan anak-anak Malaysia merupakan titik permulaan kepada segala kerumitan yang kita hadapi apabila kita membincangkan isu perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia.
Rekahan di antara kaum bertambah signifikan apabila anak-anak tersebut bertambah dewasa dan diburukkan lagi dengan ketidaksamarataan peratusan kaum di sesuatu tempat, contohnya di tempat kerja dan kawasan perumahan.
Pokoknya, isu perkauman ini akan terus diapi-apikan dan disalahgunakan. Yang penting sekali ialah agar rakyat sentiasa bersikap rasional dan pentingkan keharmonian dan keamanan negara ini.