Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

09 Disember 2008

KOTAKAN JANJI BAHASA MELAYU DI MAHKAMAH


WALAUPUN Akta Bahasa Kebangsaan telah dipinda pada tahun 1990 tetapi penggunaan bahasa Melayu di mahkamah terutama Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masih terlalu sedikit.

Rakyat sudah tentu menyokong pandangan bekas Pengarah Urusan MAS yang kini menjadi peguam, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dalam tulisannya yang menggesa kerajaan mengambil langkah-langkah yang lebih tegas dan berani bagi memastikan bahasa kebangsaan benar-benar berfungsi sepenuhnya dalam bidang perundangan dan kehakiman.

Persoalan sekarang, bagaimana bahasa Melayu hendak dimartabatkan di mahkamah jika kebanyakan hakim dan peguam lebih suka menggunakan bahasa Inggeris walaupun mendengar kes yang mudah dari segi fakta.

Orang ramai mungkin kecewa dengan sikap segelintir hakim dan peguam, khususnya berbangsa Melayu yang enggan menggunakan bahasa kebangsaan ketika mengendalikan perbicaraan.

Undang-undang yang ada sekarang membenarkan pendengaran kes di mahkamah dijalankan dalam dwi bahasa, tetapi sampai bila kelonggaran ini harus dibenarkan dan diguna pakai di mahkamah kita.

Perubahan perlu segera dilakukan. Kita yakin hakim adalah orang yang paling tepat untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di mahkamah.

Mereka perlu berkomunikasi di mahkamah dalam bahasa Melayu bagi menggalakkan para peguam turut berkomunikasi dan berhujah dalam bahasa kebangsaan. Tiada cara lain. Inilah pendekatan paling berkesan.

Sekiranya hakim berkomunikasi di mahkamah dalam bahasa Melayu, lambat-laun para peguam juga akan menggunakan bahasa Melayu.

Sebagai rakyat tempatan, mereka harus menggunakan dan mengamalkan proseding mahkamah melalui bahasa kebangsaan.

Sekiranya anak tempatan sendiri tidak memartabatkan bahasa kebangsaan, siapa lagi yang akan meninggikan kedudukan bahasa Melayu.

Kita percaya selama ini pun, dengan menggunakan Bahasa Melayu di mahkamah, keadilan tetap dapat ditegakkan.

Masalah yang timbul apabila terdapat sesetengah pengamal undang-undang yang tidak berusaha menggunakan bahasa Melayu di mahkamah dan menganggapnya sebagai masalah untuk menegakkan keadilan.

Sekiranya masalah kekurangan bahan rujukan perundangan dalam bahasa Melayu menyebabkan pengamal undang-undang terpaksa bergantung kepada jurnal bahasa Inggeris, maka jalan penyelesaian perlu diusahakan.

Kita yakin bahasa Melayu akan digunakan dengan meluas di mahkamah pada masa depan kerana peguam-peguam muda sekarang menguasai bahasa Melayu.

Jika penggunaan bahasa Melayu terus diperlekehkan maka cita-cita untuk menyaksikan bahasa kebangsaan menjadi pengantara dalam bidang perundangan akan tinggal impian.

Oleh itu, kerajaan usah lagi terlalu fleksibel sehingga kita lupa janji untuk mendaulatkan bahasa Melayu di mahkamah.