Rakyat pasti mengalu-alukan komitmen kerajaan untuk menangani gejala rasuah dan memulihkan imej institusi kehakiman negara.
Semalam, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 dibentangkan di Dewan Rakyat.
Kita percaya semua rakyat negara ini menyokong penuh tindakan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang cukup serius memberi penekanan untuk memerangi rasuah sejak hari pertama beliau menyandang jawatan Perdana Menteri.
Kedua-dua rang undang-undang itu begitu penting diluluskan oleh Parlimen bagi membetulkan persepsi negatif di kalangan masyarakat dan ahli politik yang menganggap kerajaan tidak mempunyai komitmen tinggi untuk membanteras rasuah.
Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah inisiatif Perdana Menteri yang bertujuan meningkatkan keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti dalam usaha membanteras gejala rasuah di negara ini.
Sudah tentu kita tidak mahu persepsi negatif memberi gambaran yang salah kepada pelabur, peniaga dan industri seolah-olah rasuah bermaharaja lela di negara ini.
Begitu juga dalam Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang mengemukakan tatacara pelantikan hakim dibuat secara telus tanpa menghapuskan kuasa melantik oleh Perdana Menteri.
Dengan mengubah Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjadi sebuah suruhanjaya dan membuat pembaharuan dalam institusi kehakiman, ia membolehkan kedua-duanya berfungsi secara lebih berkesan.
Malah, ia juga meletakkan institusi itu dilihat sebagai bebas dan telus yang mana akan meningkatkan integritinya.
Kedua-dua rang undang-undang ini tidak patut ditolak oleh anggota Dewan Rakyat. Semua pihak pasti inginkan para pegawai pencegah rasuah dan hakim menjalankan tugas masing-masing tanpa rasa gentar dan berat sebelah.
Sejajar dengan statusnya sebagai suruhanjaya, SPRM akan mempunyai kebebasan untuk merekrut pegawai dan kakitangan termasuk menawarkan tangga gaji yang lebih menarik.
Kita menaruh harapan tinggi agar usaha terbaru kerajaan ini bakal meningkatkan taraf BPR dan mahkamah pada kedudukan yang lebih baik.
BPR dan mahkamah memang patut mengalami pembaharuan. Jika rakyat hilang keyakinan kepada usaha memerangi rasuah, kedudukan ekonomi dan kestabilan negara ini boleh terancam.
Badan kehakiman juga perlu dikembalikan martabatnya sebagai institusi yang perlu dihormati dengan pelantikan hakim-hakim yang berwibawa dan disegani.
Di samping itu, kita mahu kes rasuah diberi keutamaan sejajar dengan iltizam kerajaan yang begitu serius mahu memerangi rasuah.
Pun begitu, yang tidak kurang penting ialah keikhlasan untuk memenuhi harapan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan.