Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 Disember 2008

Syed Alwi pejuang budaya Melayu


SELEPAS selesai raptai akhir teater Tok Perak di Pusat Kebudayaan Bangkok pada Februari 1993 sebelum pementasan sebelah malamnya, beliau hanya mencemek bibir, ekspresi seperti tidak puas hati. "Aku tak tau apa nak jadi malam ini," katanya sambil berlalu pergi. Saya mencatatkan keluhan itu di dalam buku nota.

Ketika itu saya terlibat sebagai salah seorang tenaga produksi Tok Perak di Festival Teater ASEAN di Bangkok. Ahmad Tarmimi Serigar yang turut berlakon dalam teater itu membisikkan kepada saya, "Itulah Syed Alwi, aku kenal sangat dengan orang tua ini. Pujian dia mahal." Ahmad Tarmimi ketawa seperti tiada apa yang berlaku.

Ini yang membuatkan saya bertekad mendekati dan menyelongkar pemikiran serta prinsip lelaki berambut panjang yang selesa berkain pelikat dan capal ini.

Sebenarnya apa yang dibisikkan Ahmad Tarmimi memang tepat. Datuk Syed Alwi Syed Hassan memang sukar untuk meluruhkan pujian. Buktinya selepas pementasan malam itu, Syed Alwi tersenyum dan bertepuk tangan kemudian turun ke pentas sambil memuji persembahan malam itu.

Bekas penerbit drama televisyen di RTM era 1970-an yang pekat loghat Perak memang terkenal sebagai aktivis teater yang tegas tetapi anehnya pelakon teater tidak pernah serik berlakon di bawah arahannya.

Pengalaman mengenali Syed Alwi yang saya panggil Tuan Syed hampir dua dekad, mencungkil prinsip, pengalaman dan kekecewaannya membuktikan di sebalik karya bahasa Inggeris, Syed Alwi seorang yang sangat tebal jiwa dan budaya Melayu. Ketika slogan Bahasa Jiwa Bangsa dilaung-laungkan Syed Alwi pernah memberitahu saya, "Bukan bahasa jiwa bangsa, tetapi budaya yang menjadi jiwa bangsa."

Allahyarham bermula dengan teater Inggeris bersama Datuk Rahim Razali, Datuk Faridah Merican dan Krishen Jit menerusi Malay Art Theatre Group (MATG) tahun 1950-an. Mendapat pendidikan Inggeris dan menjadi antara segelintir anak Melayu yang mendapat pendidikan formal dalam bidang teater di Amerika Syarikat (AS). Suatu yang perlu menjadi renungan kita tentang Syed Alwi ialah mendapat pendidikan Inggeris, menguasai sastera dan bahasa Inggeris bukanlah faktor yang boleh membuatkan seseorang melupai budaya sendiri.

Syed Alwi yang sempat mementaskan sequel Tok Perak - Mencari dan Menanti di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Jun lalu telah menghembuskan nafas pada Ahad lalu di kediamannya di Kuang, Selangor pada usia 78 tahun.

Walaupun banyak menulis naskhah teater Inggeris tetapi beberapa naskhah teater Melayu karya Syed Alwi selain Tok Perak terus kekal sebagai antara naskhah yang hebat hingga kini.

Teater Melayunya mendapat perhatian dan kritikan yang cukup menarik. Antara teaternya yang cukup terkenal ialah Alang Rentak Seribu (1973), Tok Perak (1974) dan Desaria (1978). Teater karya Syed Alwi menyulami gaya realistik dan komedi daripada segi perwatakan, dialog dan aksi. Malah Tok Perak dianggap teater multimedia yang pertama di Malaysia.

Naskhah Alang Rentak Seribu telah memenangi Hadiah Karya Sastera pada 1973 dan Tok Perak pada 1974. Selain itu Syed Alwi juga telah menghasilkan beberapa buah skrip serta turut menerima anugerah budaya dari luar negara seperti AS, Sweden, Australia, Perancis dan Yugoslavia.

Selepas menerima Anugerah Seniman Negara pada 2002, Syed Alwi mementaskan teater Keris.

Anak seni kelahiran Pondok Tanjung, Perak ini memulakan pendidikan di Sekolah Melayu Taiping sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah King Edward VII, Taiping dan Sekolah Clifford, Kuala Kangsar.

Syed Alwi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Seni Teater di Universiti Minnesota, AS ini pernah berkhidmat di Radio Malaya sebagai Pembantu Siaran (1963) sebelum menjadi penerbit drama televisyen RTM.

Naskhah teater Alang Rentak Seribu adalah karya bahasa Melayunya yang pertama selepas banyak menghasilkan naskhah teater bahasa Inggeris seperti Going North, More We Get Together dan Day of Efil.

Syed Alwi sebenarnya jarang bersuara mengenai sekian banyak kesongsangan yang berlaku dalam dunia teater tempatan. Walaupun dikenali sebagai aktivis teater Inggeris tetapi Syed Alwi melihat kecenderungan teater Inggeris masa kini sebagai suatu yang membimbangkan.

Ini kerana sebahagian besar teater Inggeris sekarang membawa budaya dan pemikiran Barat dalam masyarakat. Ini sangat berbeza sekali dengan karya-karya bahasa Inggeris Syed Alwi yang bukan saja mengambil latar tempatan malah budaya juga tempatan.

"Saya menyampaikan pemikiran dan budaya Melayu dengan medium bahasa Inggeris. Terpulanglah orang hendak kata teater Inggeris atau teater Melayu. Saya tidak kisah sangat dengan label apa pun kerana saya tahu di dalamnya adalah budaya kita." Demikian tegas Syed Alwi ketika diminta pandangannya mengenai kecenderungan beberapa kumpulan teater Inggeris yang mempersenda agama dan budaya masyarakat negara ini.

Allahyarham dengan selamba berkata, "Saya tidak menonton teater seperti itu. Kalau saya menonton, itu semacam pengiktirafan kepada mereka."

Bagi Allahyarham, aktivis teater Inggeris yang liar seperti inilah yang mencipta persepsi serong bahawa teater Inggeris harus sinonim dengan kelucahan dan berfikiran liberal atas nama seni. Kelucahan melampau dalam teater Inggeris khususnya yang berbentuk sketsa bukan rahsia lagi.

Ini antara kekesalan Syed Alwi yang pernah diluahkan kerana ada sesetengah pihak mengambil kesempatan untuk mewajarkan teater berbahasa Inggeris menjadi sedemikian rupa. Inilah padahnya mengambil bulat-bulat pemikiran Barat menerusi bahasa Inggeris tanpa memanfaatkan bahasa sebagai medium untuk menyampaikan pemikiran dan budaya setempat.

Beberapa tahun lalu Syed Alwi pernah melontarkan satu pertanyaan sinis selepas melihat 'perkembangan' teater di negara ini yang begitu mendukacitakan. Katanya, "Perlukah teater?" Ini merujuk kepada ketiadaan pelan jangka pendek dan jangka panjang pembangunan teater sebagai satu medium budaya di negara ini. Pertanyaan itu hingga kini masih belum terjawab.