Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

07 Januari 2009

Fahaman perkauman semakin berkembang subur


KERAJAAN Perikatan dan Barisan Nasional dibentuk sejak lebih 50 tahun lalu atas dasar dan keyakinan akan dapat membentuk integrasi nasional yang bermaruah bagi negara ini. Dalam proses ini beberapa tolak ansur telah berlaku antara kaum.

Tolak ansur yang paling besar ialah dalam sistem pelajaran kebangsaan dengan membenarkan terus wujudnya sekolah-sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina. Harapan kerajaan akan terhapus dengan sendirinya sekolah Cina dan Tamil kerana sikap pragmatik dan praktik orang Cina. Tetapi ia tidak berlaku kecuali sekolah Tamil yang menjadi semakin lemah.

Ini adalah kerana sekolah kebangsaan tidak berjaya menjadi sekolah yang menarik dan benar-benar melambangkan identiti nasional.

Dengan itu orang Cina yang mempunyai kekuatan ekonomi membantu memajukan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina sehingga ke peringkat menengah sekalipun kebenaran hanya diberikan sekadar sekolah rendah sahaja. Orang India yang miskin tidak mampu untuk menyuburkan sekolah-sekolah Tamil kecuali bergantung kepada bantuan kerajaan.

Kebanyakan keturunan India ke sekolah kebangsaan, maka itu sebilangan besar orang India dapat berbahasa Melayu dengan fasih.

Sikap cauvinis orang Melayu dan guru Melayu yang mendapat pendidikan Melayu tidak menampakkan kebijaksanaan dalam mengendalikan sekolah berbilang kaum. Ada di antara mereka yang mempromosikan sikap kebangsaan dan keagamaan yang sempit sehingga menyebabkan anak-anak bukan Melayu merasa terasing berada di sekolah kebangsaan.

Malah terdapat guru-guru agama yang fanatik bercakap di hadapan pelajar-pelajar bukan Islam bahawa mereka akan dihantar ke neraka bila mati dan orang Islam akan ke syurga. Pengasingan diri pelajar-pelajar bukan Melayu tidak sahaja jelas di sekolah rendah dan menengah malah di peringkat universiti.

Maka itu aliran kebangsaan tidak dapat melahirkan anak-anak bangsa seperti Prof. Khoo Kay Kim yang menjadi Malayan dan Malaysian tulen daripada sistem pelajaran Inggeris. Sekolah-sekolah Inggeris di zaman kolonial menekankan ketuanan Inggeris secara halus dan dalam pada itu mereka tidak perlu berbuat demikian kerana ketuanan bahasa Inggeris telah pun diterima dunia.

Berbanding dengan Singapura yang apabila melihat kebangkitan perkauman Melayu dengan berlaku rusuhan kaum di negara itu dalam tahun 1960-an maka ia terus mengubah haluan daripada penekanan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kepada aliran Inggeris dengan menghapuskan sekolah aliran Cina, Tamil dan Melayu. Ia masih mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa nasional di negara itu tanpa pengisian.

Bagaimanapun Malaysia tetap bertolak ansur dalam soal hendak mewujudkan satu aliran sekolah selepas peristiwa 13 Mei dan banyak bertolak ansur dari masa ke masa dalam usaha untuk menegakkan bahasa kebangsaan malah masih berjalan seperti kura-kura dalam hasrat untuk meneruskan Sekolah Bestari demi matlamat integrasi nasional.

Keyakinan masa akan mengubah segala-galanya tidak berlaku. Pilihan raya umum 2008 memberikan gambaran yang jelas bahawa Malaysia yang percaya kepada integrasi dan bukan asimilasi adalah failed nation sebaliknya Singapura telah menjadi sebuah negara yang berjaya dalam perpaduan nasionalnya menerusi bahasa Inggeris.

Malaysia masih ada jalan ke arah itu dengan memperkuatkan kedudukan bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan dalam mata pelajaran tertentu. Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mesti diteruskan. Sekolah kebangsaan mesti kekal dengan pengantarnya bahasa Melayu. Jika sekolah Jenis Kebangsaan Cina mahu meneruskan dalam bahasa Cina maka biarkanlah "si luncai terjun dengan labu-labunya."

Sama ada kita bertegas atau bertolak ansur, telah terbukti Malaysia menjadi suatu bangsa yang gagal dari segi perpaduan nasional. Fahaman perkauman bukannya semakin pudar tetapi semakin berkembang subur selepas 50 tahun merdeka. Kita mesti melakukan apa yang kita percaya dengan cara tegas.

ZAM,

Kuala Lumpur.