Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

09 Februari 2009

Antara cinta dan keganasan


KELMARIN saya melayari blog seorang teman. Dia seorang yang mempunyai perwatakan gadis Melayu yang lembut dan jiwa yang halus kerana karya-karyanya memperlihat peribadinya yang mulus. Dalam satu entri blog itu dia menulis tentang keasyikan dan kekagumannya terhadap filem Mr & Mrs Smith, sebuah filem romantis yang penuh dengan adegan tembak menembak. Dia mengaku sangat obses percintaan sepasang suami isteri dalam filem berkenaan sekalipun kelihatan penuh dengan "keganasan".

Kepada banyak orang, kalau disebut filem romantis, pasti mereka merujuk kepada beberapa filem yang menjadi indikator romantiknya seperti Sleepless In Seatle, Saturday Night Fever atau pun setidak-tidaknya Titanic yang mengutarakan isu kelas atau pun antara dua darjat kepada masyarakat zaman moden. Tetapi teman saya menganggap romantis itu juga lahir daripada dentum-dentam tatkala picu pistol dipetik dan muncungnya berasap tanda baru saja meluahkan peluru pembunuh kepada mangsanya.

Katanya, romantis atau rasa cinta tidak ada kena mengena dengan bagaimana pistol digunakan untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan. Kepada saya beberapa kali dia menegaskan orang selalu salah tanggap kepada imej-imej yang rapat dengan keganasan dan kezaliman seperti pistol dan bagaimana pistol itu digunakan untuk membunuh.

"Pistol bukan hanya simbolik pergaduhan dan lentuk lentur jiwa yang sirna cintanya, bahkan ia sering mengingatkan kita bahawa cinta sentiasa hadir sewaktu kita akan ditinggal atau meninggalkan seseorang," hujahnya.

Saya bersetuju dengan pandangan teman ini kerana tidak semua karya-karya terutama yang mempunyai imej visual seperti filem begitu mudah diukur graf keganasan yang menjadi satu trauma kepada sesetengah daripada kita. Barangkali banyak daripada kita melihat keganasan tanpa membaca susur jiwa bagaimana sesuatu yang kelihatan ganas itu membawa maksud yang sebaliknya. Misalnya filem komedi dan aksi Mr & Mrs Smith yang memperagakan elemen keganasan dari kamus bacaan umum sebagai pertembungan ledakan cinta dua manusia sepasang suami isteri.

Sesekali saya terfikir juga kenapa karya-karya kita tidak berani menongkah arus memaparkan sebuah filem cinta yang bukan saja longgokan watak hitam dan putih. Kehidupan memerlukan watak yang kelabu tetapi penuh dengan kejujuran. Filem percintaan kita kelihatan terlalu lurus, tidak ada kompleksiti yang boleh mencabar jurus fikir yang normal. Belum ada filem percintaan kita yang mampu meneroka cinta dan romantis tatkala masing-masing memetik picu pistol untuk menewaskan pasangan masing-masing.

Lalu saya bersetuju dengan hujah teman saya bahawa pistol janganlah dibaca secara superfisial dan stereotaip sebagai simbol pergaduhan atau lentuk lentur yang sirna cintanya. Buktinya banyak wanita mengakui elemen ganas dalam Mr & Mrs Smith memberikan keasyikan meneroka romantiknya percintaan antara Brad Pitt dan Angelina Jolie. Mereka mengimpikan percintaan yang seperti itu tanpa rasa diganggu oleh imej ganas.

Mr & Mrs Smith adalah bauran cinta, keegoan dan survival. Dan nyatanya, cinta itu tetap akan menang dalam perjuangannya membedil keegoan dan survival itu akan berubah sifatnya kepada perjuangan memiliki cinta. Saya takut mati tetapi seandainya picu yang ditarik itu akan memuntahkan peluru cinta, saya pasti kematian akan menghadiahkan senyuman kepada saya," demikian tulis teman saya yang menunjukkan dia melihat kecintaan atau keamanan melampaui keganasan yang menjadi kulitnya.