Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

21 Februari 2009

Menjulang damai


Oleh Azida Shaharuddin




Festival himpun layang-layang unik seluruh dunia, sebar mesej cinta damai

OBJEK ringan aneka warna dan bentuk yang melayang ditiup angin sambil dikemudi tali panjang ini tidak pernah hilang pesona. Sejak dicipta manusia hingga mencetus inovasi kapal terbang, layang-layang terus menghiasi ruang udara tidak kira di mana saja.

Setiap kali dinaikkan ke udara, layang-layang yang suatu ketika dulu pernah digunakan sebagai medium menghantar isyarat atau memerhati ruang udara, mencuri tumpuan setiap mata yang memandang.


Tidak kiralah sama ada bentuknya ringkas, moden atau berunsur tradisional seperti wau, layang-layang menjadi mainan semua peringkat umur, tua atau muda. Siapa saja pasti leka melihat liuk lentuk layang-layang dipukul angin dan membelah ruang angkasa bagai sang helang mencari mangsa.

Jika anda peminat layang-layang, apa kata berkampung di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor, mulai Selasa ini.

Selama enam hari, seramai 185 pelayang dari 28 negara di seluruh dunia akan menyertai Festival Layang-layang Antarabangsa Pasir Gudang 2009 yang tentunya menjanjikan keseronokan seisi keluarga.



Festival ini yang dianjurkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) akan meneruskan tradisi program dengan menampilkan keunikan dan kehebatan layang-layang dari serata dunia.

Sesuai dengan kematangannya sejak kali pertama dianjurkan pada 1995, Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang Ke-14 menarik perhatian peserta luar negara yang mengiktiraf program ini sebagai acara wajib disertai pelayang dunia.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Lukman Abu Bakar, berkata pelayang antarabangsa dari Australia, New Zealand, Jepun, Perancis, Jerman, China, India, England serta negara anggota Asean sudah mengesahkan penyertaan mereka pada festival ini.

Lebih menarik, untuk pertama kalinya, pelayang dari Portugal dan Brazil akan mempamerkan keunikan layang-layang dan skil mereka pada festival ini.

Lukman berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini, Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta luar negara.

"Menariknya, seramai kira-kira 518 pelayang tempatan termasuk pelajar sekolah, kakitangan korporat sehingga pelayang bebas juga tidak mahu melepaskan peluang menunjukkan bakat dan kreativiti masing-masing pada festival ini,” katanya kepada Sabtu.

Difahamkan, peserta dari lebih 12 negeri dan 18 sekolah dari empat negeri termasuk Kelantan, Perlis, Selangor dan Johor juga akan menyertai pertandingan pelbagai kategori pada festival ini.

"Kita juga menerima penyertaan dari 23 pasukan sektor korporat antaranya Johor Land Bhd; Felda Oil Products Sdn Bhd; MMHE Sdn Bhd dan Natural Oleochemicals," katanya.

Lukman berkata, Festival Layang-Layang Antarabangsa 2009 bertemakan 'Layang-layang Merintis Keamanan' bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kehidupan aman.

Beliau berkata, beberapa pertandingan dianjurkan sepanjang festival enam hari ini antaranya merekabentuk wau cantik, pertandingan layang-layang sekolah, pertandingan 'Malay Kite' dan Rokaku korporat.

“Selain itu, persembahan kebudayaan dan kesenian, bengkel layang-layang awam, pertandingan melukis dan mewarna kanak-kanak, bengkel kanak-kanak peringkat sekolah dan kempen derma darah juga akan mengisi segmen festival.

"Menariknya, festival kali ini juga menyaksikan persembahan pelayang antarabangsa berkonsep 'layang-layang naga' selain persembahan layang-layang tradisional dari China seperti layang-layang burung, itik, merpati, ayam dan lain-lain," katanya.

Perasmian Festival Layang-Layang Antarabangsa 2009 akan berlangsung pada Sabtu depan manakala majlis penutup akan diadakan jam 8 malam keesokannya.

Lukman berkata, negara yang dianggap peserta tetap festival ini terus setia beraksi dan menaikkan layang-layang mereka kali ini.

"Mereka nampaknya begitu setia dan sentiasa menanti peluang untuk bersama memeriahkan festival ini. Seperti biasa, pelayang utama kami ialah Peter Lynn dari New Zealand sudah mengesahkan penyertaan.

“Sememangnya festival ini dianggap acara layang-layang terbesar di Malaysia dan antara yang terkenal di seluruh dunia. Sehubungan itu, ia sentiasa dinantikan pelayang tempatan dan antarabangsa," katanya.

Lukman berkata, selain Pasir Gudang, acara layang-layang juga dianjurkan di Bintulu, Sarawak dan Kota Bharu, Kelantan.

Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang 2009 dianjurkan bersama oleh MPPG dan Johor Corporation (JCorp) dengan kerjasama kerajaan negeri Johor; Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Johor; Persatuan Pelayang Johor; Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Johor; Jabatan Pelajaran Negeri Johor serta Majlis Pelayang Malaysia.

Mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut dan acara program boleh menghubungi talian 07-2513720 atau 07-2510862 dan melayari www.kitefestpasirgudang.com.

Info

Acara : Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang 2009

Tempat : Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor.

Tarikh : Selasa ini hingga Ahad depan.

Bayaran : Percuma

Antara kategori pertandingan:

  • Wau Tradisi Kebangsaan Naik (Wau Bulan)

  • Wau Tradisi Kebangsaan Naik (Wau Kucing)

  • Wau Tradisi Kebangsaan Naik (Wau Jala budi)

  • Wau Tradisi Johor Naik (Wau Merak)

  • Wau Sobek/Cantik Kebangsaan (Wau Bulan)

  • Wau Sobek/Cantik Kebangsaan (Wau Kucing)

  • Wau Sobek/Cantik Kebangsaan (Wau Jalabudi)

  • Wau Sobek/Cantik Tradisi Johor (Wau Merak)



    Kategori peringkat antarabangsa:

  • Layang-Layang Paling Kreatif/Unik

  • Layang-Layang Paling Harmoni/Berwarna-warni

  • Cabaran Rokkaku
  •