Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 Februari 2009

Nostalgia kolong


Oleh Mohd Azis Ngah


(gambar atas) Lubang angin yang membekalkan udara segar ke dalam lombong. dan (gambar bawah) Bekas tapak kilang.

Lombong bijih timah Sungai Lembing terus dilupakan selepas berjasa kepada ekonomi England

UMPAMA memasuki bilik kecil yang dipasang penghawa dingin 24 jam tanpa henti, begitulah sejuknya udara di dalam terowong bijih timah ketika memasuki bekas lombong di Sungai Lembing, Pahang, kira-kira 40 kilometer dari Kuantan.

Tanggapan awal mungkin suhu di dalam lombong itu panas disebabkan kedudukannya jauh ke dalam bukit dan ke dalam tanah jauh meleset kerana kawasan perlombongan yang wujud sejak lebih 100 tahun dulu sebenarnya sudah dilengkapi sistem penghawa dingin menggunakan alam semula jadi.


Memang menarik menyaksikan sendiri kehebatan teknologi pada masa itu yang membuatkan bandar Sungai Lembing cukup masyhur di merata dunia, bahkan digelar 'El-Dorado Timur' di Tanah Melayu hinggakan wujudnya sebuah perkampungan Inggeris yang istimewa di Lembah Sungai Kenau.

Di situlah British membawa pulang kekayaan dan keuntungan untuk menyelamatkan England yang ketika itu dilanda kemerosotan ekonomi dan tidak hairanlah Sungai Lembing juga dianggap 'Penyelamat Mahkota Ratu England'.

Berbicara soal kemasyhuran Sungai Lembing sudah kerap diutarakan, namun generasi masa kini seharusnya belajar mengenai teknologi yang diguna pakai ketika ini membuatkan pelombong yang mencari gali hingga kedalaman 12,000 kaki boleh bekerja dengan tenang dan selesa.

Sharif menunjukkan enjin jana kuasa terbiar.

Beberapa lubang angin yang disalut konkrit di dalam terowong itu masih kukuh dan sama sejak dikorek lebih 100 tahun dulu. Saiznya yang boleh memuatkan badan orang dewasa menghala ke puncak bukit sudah membayangkan bagaimana sistem itu berfungsi.

Lubang angin itu disambungkan ke terowong utama di permukaan sebelum disambungkan ke terowong menegak ke bawah tanah. Ia bertujuan memastikan udara panas di dalam terowong sentiasa bertukar ganti dengan udara baru yang masuk secara automatik melalui lubang di puncak bukit.

Jika sistem pengudaraan di dalamnya teruk, sudah pasti beribu pelombong yang bekerja di situ akan sesak nafas. Situasi sekarang jauh berbeza kerana ada pelombong dibekalkan tabung oksigen bagi kes kecemasan tetapi kemudahan itu masih belum wujud pada ketika itu.

Kayu yang digunakan sebagai penahan hakisan di terowong daripada jenis kayu cengal juga masih kukuh dan menurut beberapa bekas pelombong, kayu itu masih boleh bertahan hingga 50 tahun lagi.

Lokomotif membawa bijih keluar dari lombong.

Satu fakta penting ialah Sungai Lembing adalah bekas lombong tertua, terpanjang dan paling dalam di dunia pada waktu itu, iaitu sedalam 971 meter (2,400 kaki). Sehingga tahun 1915, keseluruhan kawasan pembangunan meliputi kawasan seluas 40 batu dan lombong paling dalam iaitu 'Nicholsons Shaft' telah sampai ke aras 12,000 kaki dari permukaan.

Mungkin ramai yang beranggapan hanya terdapat satu lombong bijih timah di Sungai Lembing yang dikendalikan oleh Pahang Consolidated Company Limited (PCCL), hakikatnya dalam lingkungan lapan batu persegi Sungai Lembing terdapat sembilan lombong berasingan.

Jika diambil kira jarak perjalanan jalan darat dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang, dianggarkan lebih 300 kilometer (km). Ini bermakna, sejak lebih 100 tahun dulu, sudah ada laluan terowong bawah tanah yang sama panjangnya dengan laluan itu yang berpangkalan di Sungai Lembing.

Ketika ini, jika memasuki bekas tapak lombong yang terletak di kawasan bukit, pengunjung akan menemui dua pintu masuk dipanggil Muka Lombong yang turut menempatkan bekas tapak rumah jurutera di atasnya tetapi laluan itu ditutup kerana dianggap tidak selamat.

Bersebelahan dengannya terdapat bekas bilik kecil di dalam bukit yang menempatkan ruangan mengisi granit, sejenis bahan letupan memecahkan batuan. Bilik itu juga mempunyai satu sistem lubang angin dan mempunyai dua lapisan pintu bagi tujuan keselamatan.

Agak menyedihkan, ketika ini, bekas lombong yang pernah menjadi lubuk rezeki kepada lebih 30,000 pekerja, penduduk tempatan dan sekitar kawasan itu boleh dikatakan tidak terjaga sepenuhnya. Cuma tinggal sebuah muzium, tinggalan bangunan lama, bekas tapak kilang yang hampir musnah dan rumah kongsi serta deretan kedai lama.

Ketika zaman kegemilangan perlombongan bermula tahun 1886 selepas orang Eropah menguasai aktiviti di situ, British telah merancang bandar Sungai Lembing dengan sempurna termasuk menyediakan hospital muatan 85 katil pesakit, wad bersalin dan kanak-kanak.

Pada 1966, kira-kira 85,000 pesakit luar mendapatkan rawatan di hospital itu termasuk bukan kakitangan syarikat. Rumah kongsi dibina untuk kakitangan dan bekalan air serta elektrik disediakan dengan sempurna dan percuma.

Pada 1948, sebuah sekolah rendah Inggeris, sekolah menengah Inggeris dan sebuah sekolah persendirian Cina dibina oleh syarikat bagi menampung kira-kira 2,000 orang murid di situ, bahkan di era kemuncaknya sekitar 1950-an hingga awal 1980-an, pekan Sungai Lembing mempunyai lebih 40 deretan bangunan kedai yang sentiasa sibuk dengan kegiatan harian.

Pekan itu menjadi pusat perdagangan dan perniagaan terpenting di Pahang ketika itu dengan menjual pelbagai barangan keperluan, termasuk barangan bebas cukai. Tinggalan sejarah menggambarkan kepentingan bandar ini di zaman kegemilangannya. Kepentingan bandar ini mewujudkan satu sistem pengangkutan yang baik dengan bandar Kuantan.

Berdasarkan situasi sekarang, yang ada cuma deretan kedai lama yang masih dikekalkan sebagai tarikan sejarah manakala bekas tapak kilang langsung tidak terurus. Laluan masuk melalui 'muka lombong' disahkan tidak selamat dan pelawat terutama pengkaji dan pihak berkuasa tempatan hanya dibenarkan masuk melalui pintu belakang.

Agak menyedihkan, tinggalan itu termasuk bekas generator menjana kuasa elektrik untuk seluruh bandar Sungai Lembing dibiarkan begitu saja, bangunan kilang masih kukuh tetapi tidak mustahil dalam tempoh 10 tahun, ia akan terbenam dalam runtuhan kerana kedudukannya di lereng bukit terdedah kepada hakisan.

Ia sepatutnya dijaga dan dijadikan tarikan pelancongan, bukan setakat melihat kesan tinggalan di muzium tetapi lebih menarik jika pengunjung dibawa masuk ke dalam terowong dengan kemudahan asas seperti bekalan elektrik disambung ke dalam laluan.

Info: 9 lombong di Sungai Lembing.

  • Lombong Willinks: paling besar dan penting, terbahagi kepada 3 bahagian iaitu: i. Willinks Kabang, ii. Willinks Simons dan iii. Willinks Myah
  • Lombong Gunung.
  • Lombong Pollocks.
  • Lombong Teagues.
  • Lombong Jeram Batang.
  • Lombong Semeliang.
  • Lombong Lama Gagak.
  • Lombong Creek Gakak.
  • Lombong Watet Fall.
  • Lombong Hiltop.
Lombong ini dihubungkan dengan Sungai Lembing melalui jalan raya dan jalan kereta api.

Lombong bijih tinggal nostalgia

SELEPAS Perang Dunia Kedua, beberapa perkembangan drastik berlaku di Tanah Melayu termasuk pengisytiharan kemerdekaan pada 1957. Pajakan lombong di Sungai Lembing juga berakhir pada 1968.

Satu perundingan dijalankan antara Pahang Consolidated Company Limited (PCCL) dengan Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk mendapatkan satu pajakan baru dan PCCL berjaya mendapat satu konsesi baru selama 21 tahun bermula 1 Julai 1965.

PCCL terus menjalankan operasinya dengan memperkenalkan beberapa pembaharuan seperti pemodenan 'rumah kuasa', memperbaiki sistem aliran udara, menggunakan pam yang lebih baik dan kabel elektrik bertekanan tinggi.

Bagaimanapun, pada 1987 operasi perlombongan diberhentikan secara rasmi akibat kejatuhan harga bijih timah dunia.

Akibat penutupan itu, penduduk mula berhijrah dan bermulalah detik Sungai Lembing menjadi sebuah bandar yang sunyi. Ia banyak mengubah wajah dan suasana, daripada sebuah pekan yang sibuk kepada sebuah pekan yang sepi.

Kemegahan Sungai Lembing yang dulunya dikenali sebagai pekan termoden hanya tinggal nostalgia dan menjadi kenangan kepada bekas pekerja lombong bijih timah dan penduduk asal kawasan ini.

Kini, Kerajaan Pahang berusaha membangunkan kembali bandar Sungai Lembing menjadi Bandar Warisan yang bakal memberikan tarikan kepada pelancong. Ini disebabkan bandar ini banyak meninggalkan kesan sejarah dalam aktiviti perlombongan bijih timah.

Ketua Unit Pengurusan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Sungai Lembing, Ishak Zaidin, berkata secara keseluruhannya, taraf perkhidmatan sosial, awam dan kemudahan infrastruktur agak rendah dan tiada pengurusan yang rapi sejak kegiatan perlombongan Sungai Lembing ditutup.

"Semua kemudahan ini memerlukan peningkatan dan pembaikan semula supaya bandar Sungai Lembing boleh dijadikan sebagai satu kawasan kediaman selesa. Penutupan aktiviti perlombongan bukan saja membekukan pembangunan infrastruktur malah ia juga menjadi punca kawasan ini terabai.

"MPK menjadikan kawasan Sungai Lembing sebagai zon pelancongan yang berasaskan 'Historical Park' kerana terdapat banyak bekas lombong bijih timah dan terowong lama. Ia memang dalam perancangan kita menghidupkan semula bandar ini," katanya.

Ketika Berita Minggu memasuki kawasan itu, laluan utama ke bandar itu juga sedang dibina sebuah pintu gerbang sebagai mercu tanda pengunjung sebenarnya memasuki kawasan yang pernah tercatat dalam sejarah dunia.

Selain itu, MPK juga merancang menjadikan Sungai Lembing sebagai kawasan Pusat Pertumbuhan Utara Pantai Timur menjelang 2020.

Bekas pekerja lombong, Mohamad Sharif Mohamad, 60, dan rakannya, Mohamadd Din Ibrahim, 63, menyifatkan Sungai Lembing sebagai 'Pekan Kecil Bertamadun' dan menyimpan seribu kenangan kepada mereka dan penduduk tempatan.

Mohammad Sharif berkata, terlalu berat membuat keputusan untuk berpindah ke tempat lain selepas lombong ditutup kerana hatinya sudah jatuh cinta dengan kenangan, kemeriahan, kebanggaan sebagai penghuni di situ.

Info: Kaedah perlombongan Sungai Lembing

  • Melombong bawah tanah dijalankan secara menggerudi batuan menggunakan bahan letupan. Kaedah 'cut and fill' paling lazim digunakan.
  • Lokomotif berkuasa bateri dan diesel digunakan menarik gerabak berisi ketulan batu ke kilang memproses terletak berhampiran kawasan lombong.
  • Pusat stesen kuasa yang terletak berhampiran dengan Lombong Willinks mempunyai enam set jana kuasa enjin diesel dan setiap satu unit berkuasa 1,500 kuasa kuda.
  • Kilang pemprosesan syarikat PCCL mempunyai lapan dandang stim berkuasa 1,515 kuasa kuda, enam peratus daripada kuasa elektrik digunakan untuk mengepam air dari lombong Willinks dan Myah.
  • Stesen mengepam air mempunyai enam buah pam yang berkuasa 350 kuasa kuda yang mampu mengepam sebanyak 600 gelen air seminit pada paras setinggi 385.5 meter.