Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 Februari 2009

Ubat kasih






Damba belaian: Pesakit kronik perlukan simpati penjagaan penuh sayang anggota masyarakat bagi meneruskan saki-baki kehidupan

BELAIAN, perhatian dan penjagaan. Inilah perkara asas diperlukan pesakit kronik, tetapi malangnya sukar diperoleh akibat sikap anggota keluarga mahu pun petugas yang merawatnya.

Ibarat pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, sukar sebenarnya menyelami isi hati pesakit ini yang diselubungi keresahan selepas mengetahui penyakit dialami serta pelbagai proses rawatan susulan. Lebih sukar, bagaimana menempuh hari mendatang serta penerimaan anggota keluarga sendiri dan masyarakat sekeliling.


"Pelbagai persoalan yang bermain dalam kotak fikiran mereka sebenarnya. Malangnya, ramai yang salah tanggapan terhadap pesakit ini yang menganggap usaha memberi ubat serta rawatan saja sudah memadai.

"Tidak ramai yang mengendahkan aspek yang tidak kurang pentingnya iaitu soal hati dan perasaan mereka. Pada peringkat ini, aspek simpati, belaian, perhatian dan penjagaan daripada orang tersayang serta petugas kesihatan boleh memberi kekuatan kepada mereka berdepan hari-hari mendatang," kata Ketua Pegawai Eksekutif Hospis, Dr Ednin Hamzah.

Katanya, pesakit yang dirujuk kepada Hospis Malaysia lazimnya berada dalam keadaan yang terlalu tenat dan tiada harapan sembuh. Lebih sedih lagi, ada anggota keluarga yang tidak tahu apa perlu dilakukan.



"Kita memberi tunjuk ajar seperti rawatan serta sokongan. Keluarga tidak harus menyisihkan mereka, sebaliknya perlu lebih prihatin terhadap keinginannya. Sokongan psikologi amat penting bagi mengelak pesakit berasa lebih tenat dan tertekan dengan keadaan di sekeliling."

Katanya, anggota keluarga juga perlu lebih peka, termasuk melakukan penyelidikan sendiri berhubung penyakit dialami dan tidak menyerahkan bulat-bulat kepada petugas perubatan.

Lebih sukar lagi apabila petugas perubatan seperti pakar dan jururawat hospital tidak berkomunikasi dengan pesakit dan menyifatkan pemberian ubat dan rawatan sebagai memadai.

"Di sinilah kepincangan sistem penjagaan kesihatan negara yang tidak memberi tumpuan kepada aspek psikologi pesakit. Kita juga tidak memberi penekanan soal latihan bagi melahirkan barisan jururawat yang cekap," katanya.

Hubungan akrab Noridayu dan Siti Hajar lebih kepada ikatan persahabatan.

Kekurangan jururawat di bidang paliatif itu menyebabkan institusi seperti Hospis Malaysia terpaksa berusaha bersendiri bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

"Tiga perkara diberi keutamaan di sini iaitu sikap, pengetahuan dan kemahiran. Jururawat kami sentiasa diberi pendedahan serta sesi latihan bersesuaian dengan keperluan semasa. Mereka bukan saja menjadi jururawat, tetapi juga doktor, pakar, ahli farmasi, psikologi serta sahabat pada satu masa," katanya.

Malangnya, Hospis Malaysia berdepan kekangan seperti masalah kekurangan jururawat mahir yang agak kronik.

"Kami cuma mempunyai 10 jururawat yang perlu mengendalikan kira-kira 1,500 pesakit. Ini bermakna seorang jururawat itu perlu mengendalikan antara 50 hingga 60 pesakit pada satu-satu masa. Ini menyebabkan kami terpaksa mengagihkan mereka mengikut kawasan di sekitar Lembah Klang ini."

Selain kekurangan tenaga, Hospis Malaysia juga memerlukan pembiayaan kira-kira RM1.8 juta setahun bagi operasi serta mengendalikan pesakitnya.

INFO: Hospis Malaysia

  • Badan kebajikan ditubuhkan pada 1991

  • Terletak di Taman Sri Bahtera, Cheras

  • Menerima pesakit kronik seperti barah, HIV/Aids serta kegagalan organ badan

  • Majoriti pesakit adalah penghidap barah

  • Hanya menerima pesakit yang dirujuk hospital serta masih berkeluarga

  • Perkhidmatan termasuk penjagaan Paliatif dari rumah ke rumah dengan menghantar doktor atau jururawat terlatih bagi merawat pesakit di rumah serta tunjuk ajar keluarga

  • Khidmat lain termasuk penjagaan harian kepada pesakit yang mana mereka akan dibawa ke bangunan Hospis

  • Mempunyai 10 jururawat yang mengendalikan 1,500 pesakit

  • Maklumat lanjut hubungi talian 03-9133 9936