Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Mac 2009

Padi Hybrid berkualiti


Oleh Fazallah Pit


PADI Hybrid dijangka ditanam secara meluas di seluruh negara bagi menggantikan benih sedia ada tidak lama lagi.

Penanaman benih tahan penyakit secara meluas mampu tingkatkan pengeluaran ke tahap optimum

KEPALA BATAS: Padi Hybrid, sejenis benih padi yang digunakan secara meluas di China sejak pertengahan 70-an dijangka meningkatkan pendapatan petani di negara ini, tidak lama lagi.

Ini kerana padi itu yang diuji Unit Penyelidikan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) selama tiga tahun di Perlis, dikenal pasti sebagai benih yang berpotensi.


Pegawai Penyelidik Mardi, Dr Othman Omar, berkata sepanjang tempoh ujian, benih padi ditanam secara plot untuk diuji keberkesanan dan kualitinya yang menunjukkan hasil memberangsangkan.

Daripada beberapa benih padi Hybrid, Mardi mendapati dua daripadanya amat sesuai ditanam di Malaysia iaitu Hz1 dan Hs9 bagi menggantikan padi MR219 dan MR220.

Kedua-dua benih padi Hybrid yang genetiknya mempunyai ketahanan tinggi, diyakini sesuai dengan keadaan dan kesuburan tanah di negara ini.

PADI Hybrid mampu meningkat pengeluran hasil sawah.

Katanya, MR219 dan MR220 yang digunakan sejak 15 tahun lalu didapati mempunyai daya tahan melawan penyakit yang semakin lemah dan hasil pengeluarannya agak terhad.

"Ini berbeza dengan padi Hybrid yang memiliki ketahanan penyakit yang tinggi termasuk melawan penyakit karah yang kerap menjadi punca pengeluaran padi tidak maksimum," katanya ketika ditemui di sini.

Dr Othman berkata, kajian yang dijalankan sejak 2006 mendapati pengeluaran padi Hybrid bagi sehektar melebihi 1.5 hingga dua tan bagi keluasan sama berbanding padi biasa.

Ia berikutan saiz biji padinya lebih besar dan penuh di setiap urat tangkai yang lebih banyak bilangannya dan tidak mudah patah, berbanding padi biasa.

PADI Hybrid bakal menggantikan MR219 dan MR220 pada masa depan.

“Masalah padi hampa juga jauh berkurangan berbanding padi biasa. Pendek kata, penghasilan biji padi di tahap optimum," katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek Puncak Kaji Sdn Bhd, Abdul Karim Yahaya, pemilik hak paten benih padi Hybird, berkata pengeluaran padi sebelum ini kira-kira 4.5 tan semusim dijangka bertambah hampir sekali ganda dengan benih padi baru.

Beliau juga yakin Malaysia mungkin tidak lagi perlu mengimport beras pada masa depan apabila penanaman padi Hybrid dijalankan secara lebih meluas.

"Apabila sekurang-kurangnya lebih 30 peratus petani tempatan menanam padi Hybrid, pengeluaran padi dijangka mencukupi untuk keperluan negara," katanya.

Syarikat itu sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Mardi kira-kira dua bulan lalu untuk membekalkan benih padi kepada petani.

Seorang petani, Sabri Saad, 45, dari Pinang Tunggal di sini, yang mengerjakan sawah selama 15 tahun, menganggap pengeluaran padi Hybrid ada banyak kelebihan.

Dia yang dipilih Mardi untuk melaksanakan penanaman padi itu mendapati tempoh penuaian singkat iaitu kurang 100 hari berbanding 125 hari, selain tahan penyakit.

"Hasil padi juga lebih banyak. Dulu serelung hanya dapat 3,600 kilogram (kg) tetapi dengan padi Hybrid, penghasilannya lebih 4,000 kg walaupun menggunakan baja sama," katanya.