PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat Malaysia menggunakan budaya kecemerlangan dan prinsip meritokrasi kerana ia adunan yang diperlukan untuk memaksimumkan potensi negara ini. Beliau menjelaskan meritokrasi bukan saja satu prinsip mulia, malah satu prinsip yang diperlukan untuk memacu Malaysia ke arah kejayaan lebih hebat. Meritokrasi adalah satu daripada nilai utama 1Malaysia. Mungkin ada yang berpendapat negara kita yang masih belum mencapai tahap negara maju, masyarakatnya belum bersedia untuk menerima pendekatan konsep meritokrasi kerana bantuan kerajaan masih diperlukan. Sebagai contoh, kemasukan ke universiti awam memerlukan kuota Bumiputera dan begitu juga dalam bidang ekonomi, melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memperuntukkan 30 peratus bagi Bumiputera. Tanpa bantuan khusus seperti itu kata mereka, sukar untuk pelajar Bumiputera memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan menceburi bidang perniagaan. Sebenarnya, apa yang dimaksudkan oleh Najib ialah supaya rakyat kita sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera, mengamalkan budaya kecemerlangan dan prinsip meritokrasi, bukan untuk mengkaji semula keistimewaan Bumiputera dalam pelbagai sektor yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan kontrak sosial. Meritokrasi adalah sistem sosial yang menyanjung tinggi kedudukan seseorang kerana kebolehannya. Inilah yang dimahukan Perdana Menteri supaya kita semua mengutamakan kecemerlangan dan apabila Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020, rakyatnya tidak terperangkap atau berada dalam dilema kerana sudah bersedia mulai sekarang dengan amalan kecemerlangan itu.
Malah, meletakkan sasaran tinggi dalam sesuatu penilaian pencapaian juga akan mendorong seseorang berusaha lebih gigih dan memberikan yang terbaik daripada dalam diri masing-masing. Inilah elemen penting dalam membangunkan sesebuah organisasi, termasuk negara kita. Itulah juga rasanya perkara yang mahu diperjuangkan Najib. Kita mengakui semua orang tahu makna perkataan meritokrasi dan prinsip meritrokrasi, tetapi ia tidak boleh dilaksanakan dalam erti kata yang sebenar kerana ada masanya kita perlu mempertimbangkan faktor tertentu yang lain. Contohnya, mereka yang kekurangan atau masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman, estet dan perkampungan baru yang berada di luar arus perdana masyarakat yang lebih dinamik, sudah pasti memerlukan pertimbangan khas. Meritokrasi juga menuntut supaya rakyat tidak terlalu mengharapkan sesuatu tanpa usaha. Misalnya, bagi mendapatkan kontrak, memerlukan bukan saja bidaan terendah, malah kebolehan kontraktor untuk melakukan sesuatu kerja, bukan lagi mendapat sokongan 'pintu belakang', tetapi tiada kebolehan melakukan kerja yang akhirnya menjadi 'alibaba'. Hakikatnya, meritrokrasi adalah satu prinsip mulia yang boleh memacukan pembangunan rakyat dan negara pada tahap yang lebih tinggi.