Oleh Jalal Ali Abdul Rahim
KETIBAAN kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman pada 25 Julai ini, ibarat hadiah paling berharga dan tiada tolok bandingnya buat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meraikan ulang tahun ke-75 penubuhannya, hari ini.
Ketibaan kapal selam jenis Scorpene yang kini menjalani latihan dengan dikendalikan sepenuhnya krew TLDM di perairan Perancis serta sebuah lagi, KD Tun Abdul Razak bakal tiba tahun depan, mampu meningkatkan keupayaan pasukan itu dalam menjaga kedaulatan perairan negara, sesuai dengan perubahan semasa geopolitik, ekonomi, sosial, dasar dan perundangan negara, serantau dan antarabangsa.
Dalam konteks negara serantau, Malaysia adalah negara ketiga memiliki kapal selam selepas Indonesia dan Singapura.
Apa yang pasti, pembelian kapal selam antara paling canggih daripada jenis diesel-elektrik di dunia pada masa ini, mempamerkan iltizam kerajaan dan TLDM melaksanakan modenisasi pasukan itu, bermula era kapal kayu dihadiahkan Kerajaan Britain ketika penubuhannya hingga kini menjadi pasukan disegani serta dilengkapi aset berteknologi tinggi.
Tanggungjawab TLDM turut menjadi buah mulut ramai melalui pembabitannya dalam misi Ops Fajar bagi membebaskan dua kapal MISC, MV Bunga Melati Dua dan MV Bunga Melati Lima serta krewnya yang ditawan lanun Somalia di Teluk Aden, akhir tahun lalu.
Tugas itu tidak bernoktah di situ, sebaliknya TLDM terus menempatkan kapalnya mengiringi kapal dagang MISC bagi memastikan tidak lagi menjadi sasaran lanun.
Sehingga kini lima kapal TLDM ditugaskan di Teluk Aden iaitu KD Lekiu, KD Sri Inderapura, KD Mahawangsa, KD Sri Inderasakti dan terakhir KD Hang Tuah, yang masih lagi beroperasi di perairan itu.
Beberapa perkembangan lain yang sudah dan akan disempurnakan hari ini, termasuk Pentauliahan dan Penamaan Pasukan Khas Laut (Paskal), iaitu pasukan elit TLDM sebagai KD Panglima Hitam; pengisytiharan bandar Lumut, Perak sebagai Bandar Tentera Laut; pelancaran buku Jubli Intan, jurnal, setem dan syiling kenangan serta perasmian Pusat Sumber Maritim dan Sejarah TLDM, pelancaran buku Brown to Blue bagi menggambarkan evolusi TLDM, menyemarakkan lagi pengiktirafan tanggungjawab TLDM dan sambutan ulang tahun pasukan itu.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar selaku 'nakhoda' TLDM, gembira melihat perubahan TLDM yang kini memiliki armada yang dilengkapi keupayaan perang tiga dimensi, iaitu permukaan, udara dan bawah air.
TLDM juga sudah beranjak ke pentas antarabangsa yang dibuktikan dengan bantuan kemanusiaan akibat tsunami, bantuan keselamatan di Timor Leste dan operasi di Teluk Aden sendiri.
"Dalam erti kata lain era 'Blue Water Navy' sudah bermula. Armada TLDM sudah dilengkapi dengan kapal ronda NGPV (Kapal Peronda Generasi Baru) serta sokongan udara daripada skuadron helikopter Super Lynx dan Fennec. Kini, keupayaan TLDM bakal dipertingkatkan lagi dengan kehadiran kapal selam.
"Armada masa depan ialah angkatan laut yang seimbang dalam keupayaan dimensi peperangan permukaan, udara dan bawah air yang berkesan.
"Justeru, TLDM akan menerokai, membangun, menguji dan mengguna pakai konsep dan teknologi terkini sebagai kerangka untuk transformasi apabila berurusan dengan keupayaan sistem pertahanan maritim masa depan," katanya.
Abdul Aziz mengaku kewangan, khususnya ketika kegawatan ekonomi menjadi kekangan utama bagi pasukan menukar aset lama kepada baru dan meningkatkan teknologi, tetapi ia bukan alasan kepada TLDM untuk tidak meningkatkan kesiapsiagaan, sebaliknya menghadapi cabaran itu dengan memastikan aset sedia ada dioperasikan secara optimum menerusi perancangan, budaya penyelenggaraan rapi serta latihan berterusan bagi mempersiapkan warga TLDM berkemahiran tinggi mengendalikan aset sedia ada, mahupun yang bakal diperoleh.
Justeru, pembangunan keupayaan warga tentera laut berkualiti menjadi satu agenda utama TLDM.
Abdul Aziz menegaskan, dengan aset dan kemampuan sedia ada, TLDM mampu menempatkan aset utamanya di Selat Melaka, perairan Pantai Timur Semenanjung, pantai barat Sabah, Laut Sulawesi dan kawasan Gugusan Semarang Peninjau (GSP) pada setiap masa.
Mengenai penambahan kapal selam, beliau mengakui ia tidak boleh dilakukan dalam jangka masa terdekat kerana TLDM memerlukan masa untuk menimba pengalaman serta kemahiran di dalam bidang ini bagi memastikan kapal selam TLDM dapat dioperasikan dengan selamat dan berkesan.
"Kehadiran aset 'Force-multiplier' kapal selam ini akan meningkatkan keupayaan TLDM secara drastik. Ia seiring hasrat TLDM mahu mewujudkan angkatan laut yang lebih berkemampuan dan berwibawa dalam mendukung Dasar Pertahanan Negara," katanya.