Pelabuhan ini sudah dikenali sejak abad ke-12 dan ketika itu, ia merupakan pelabuhan terpenting Kerajaan Sunda yang beribu kota di Pajajaran.
APABILA kaki mencecah tanah sebaik melangkah turun dari bas, raut wajah penulis terus disapa bayu laut dari muara Sungai Ciliwung, sebuah lokasi yang menempatkan pelabuhan Sunda Kelapa.
Deretan puluhan kapal kayu tersusun elok di tepi sungai tersebut seolah-olah menyambut ketibaan kami yang kebanyakannya baru pertama kali berada di Jakarta, ibu negara Indonesia.
Terletak di Jakarta Utara, pelabuhan pertama dan tertua di Indonesia itu kini telah pun berusia 482 tahun sejak mula dibuka pada tahun 1527.
Pada zaman dahulu, Sunda Kelapa dimiliki oleh Kerajaan Sunda yang ibu negerinya terletak di Pakuan Pajajaran atau kini dikenali sebagai Bogor.
|
|
Menurut pemandu pelancong kami yang berkulit agak gelap tetapi pandai berbahasa Inggeris, Pak Ali, meskipun hari lahir kota Jakarta ditetapkan pada abad ke-16, namun sejarah Sunda Kelapa sudah bermula lebih awal iaitu ketika zaman pemerintahan kerajaan Tarumanagara.
"Sebelum diperintah oleh Kerajaan Sunda, Tarumanagara terlebih dahulu menguasai daerah ini. Kerajaan Tarumanagara pernah diserang dan ditakluk oleh Kerajaan Sriwijaya dari Sumatera.
"Jika diselak lembaran sejarah dahulu kala, pelabuhan Sunda Kelapa memang terkenal sejak abad ke-12. Ia adalah pelabuhan terpenting Kerajaan Sunda pada zaman tersebut.
"Kemudian, apabila agama Islam mula bertapak di sini, diikuti kehadiran penjelajah dari Eropah, Sunda Kelapa terus menjadi perebutan antara kerajaan-kerajaan Nusantara dan Eropah," jelas Pak Ali yang mempunyai begitu banyak pengetahuan mengenai negara tercintanya, Indonesia.
Sewaktu zaman gah pelabuhan ini, banyak kapal-kapal besar dari China, Jepun, India Selatan, negara-negara Timur Tengah dan sebagainya sering berlabuh di sini dengan membawa barang-barang dagangan.
|
|
Antara barang dagangan yang popular adalah pinggan mangkuk porselin, sutera, kopi, pewangi, buah-buahan seperti anggur, pewarna serta kuda yang kemudian ditukar dengan rempah-ratus yang menjadi komoditi dagangan ketika itu.
Kemasyhuran pelabuhan Sunda Kelapa saat itu memang tidak dapat dinafikan. Malah, pengembara dan pelaut terkenal dari Portugis, Tom Pires yang pernah mengunjungi pelabuhan-pelabuhan di pantai utara Pulau Jawa antara tahun 1512 hingga 1515, menggambarkan betapa hebatnya pelabuhan tersebut (Sunda Kelapa).
Dalam catatannya, beliau menyatakan pelabuhan Sunda Kelapa sering disinggahi pedagang-pedagang luar yang membawa bersama hasil dagangan mereka untuk dijual atau ditukar mengikut sistem tukar barang (barter).
Menurut catatan dalam buku yang bertajuk Suma Oriental itu lagi, antara barangan yang banyak diperdagangkan di Sunda Kelapa adalah lada, beras, asam, haiwan, emas, sayur-sayuran dan banyak lagi.
|
|
Bagaimanapun, pada abad ke-19 iaitu sekitar tahun 1859, situasi mula berubah di pelabuhan Sunda Kelapa apabila ia semakin kurang didatangi kapal-kapal besar untuk berlabuh.
Semuanya berpunca daripada paras airnya yang semakin cetek sekali gus menyebabkan kapal-kapal tidak dapat berlabuh. Akibatnya, barang-barang yang dibawa perlu diangkut menggunakan perahu yang berkayuh hingga ke tengah laut.
Disebabkan masalah itu, maka sebuah pelabuhan baru yang diberi nama Tanjung Priok dibangunkan untuk menggantikan Sunda Kelapa dan berfungsi sehingga kini. Ia terletak kira-kira 15 kilometer ke arah timur dari pelabuhan Sunda Kelapa.
Kini, kawasan di sekitar pelabuhan tersebut diiktiraf sebagai kawasan pelancongan atau wisata kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi terutama di daerah Jakarta.
|
|
Untuk itu, pelabuhan Sunda Kelapa diselenggarakan oleh sebuah organisasi yang disebut sebagai PT Pelindo II. Bagaimanapun, pelabuhan ini tidak mempunyai sijil International Ship dan Port Security kerana fungsinya yang tidak menyeluruh seperti dahulu kala.
Sebaliknya, kapal-kapal di sini hanya digunakan untuk menghantar atau mengangkut barangan dari pulau ke pulau yang berada di kawasan sekitarnya.
Ketika ini juga, pelabuhan Sunda Kelapa mempunyai keluasan daratan sebanyak 760 hektar dan luas perairan iaitu 16.470 hektar. Ia meliputi dua pelabuhan utama dan pelabuhan Kalibaru.
Panjang keseluruhan pelabuhan utama adalah 3.25km dan luas kawasan perairan pula kira-kira 1.2km. Dengan jarak ini, ia mampu menampung 70 buah perahu layar motor.
|
|
Pelabuhan Kalibaru pula, panjangnya 750m dengan luas daratan 343.399 meter persegi dan luas kolam 42.128 meter persegi. Ia mampu menampung sekitar 65 buah kapal kecil penghantar barang dan memiliki lapangan pengumpulan barang seluas 31.131 meter persegi.
Dalam aspek ekonomi, kedudukan pelabuhan ini amat strategik kerana berhampiran dengan pusat perniagaan di Jakarta seperti Glodok, Pasar Pagi dan Mangga Dua yang terkenal sebagai antara pusat beli-belah terbesar di kota tersebut.
Tidak jauh dari pelabuhan ini, terdapat Muzium Bahari yang mempamerkan peninggalan sejarah kolonial Belanda yang pernah menjajah Indonesia serta barang-barang dalam dunia maritim republik itu.
Menurut pihak berkuasa tempatan, kawasan pantai di pelabuhan itu akan dibesarkan untuk membangunkan sebuah terminal multi fungsi Ancol Timur seluas 500 hektar.
Bagi penduduk tempatan, projek tersebut diharap dapat membangunkan pelabuhan itu yang semakin dilupakan generasi muda masa kini dan secara tidak langsung membantu meningkatkan sumber pendapatan mereka.
|
|
Namun, tidak kira apa sekali pun, pelabuhan Sunda Kelapa sememangnya satu warisan sejarah Indonesia yang begitu berharga. Ia perlu dipulihara sebaik mungkin agar pemodenan yang mahu dilaksanakan di kawasan tersebut tidak menghilangkan signatur pelabuhan itu yang mempunyai nilai estetika tersendiri.
Seharusnya, rakyat Indonesia harus berbangga kerana mempunyai sebuah pelabuhan yang pernah dikenali sejak abad ke-12, seperti mana juga penulis dan rakyat Malaysia yang berbangga atas pencapaian Melaka satu ketika dahulu yang pernah menjadi tempat persinggahan pedagang dari seluruh dunia.