Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 Mei 2009

Bandar tamadun Yunani


Oleh Mohd Arshad Musa


Penulis bergambar di tepi pantai Patras.

Patras jadi pilihan sebagai pintu masuk Eropah Barat

PATRAS di Greece memiliki segala yang diperlukan pengunjung, daripada bahan peninggalan sejarah, suasana malamnya sehinggalah pantainya yang cantik. Apatah lagi, jolokan namanya, 'Gerbang ke Barat' atau 'Gateway to the West' menjadikannya antara pilihan sebagai pintu masuk ke Eropah Barat, khususnya melalui jalan laut.

Sebagai bandar ketiga terbesar di Greece, Patras begitu strategik untuk laluan ke Cyprus, Kepulauan Crete dan selatan Itali iaitu Brindisi dan Bari. Ia turut menawarkan perkhidmatan feri menuju Venice yang mengambil masa di antara 27 hingga 35 jam.


Meskipun dibayangi Athens sebagai destinasi tumpuan pelancong, Patras mempunyai daya tarikan tersendiri, sekali gus menjadi lokasi persinggahan kepada pengunjung untuk ke Mediterranean. Jika mahu ke Athens melalui jalan darat yang jaraknya kira-kira 215 kilometer, ia hanya mengambil masa hampir dua setengah jam.

Sebelum tiba di Patras, jangan lepaskan peluang untuk bergambar di jambatan Rio-Antirio yang menjadi kebanggaan Greece. Jambatan sepanjang 2,880 meter yang siap dibina pada 2003 itu menghubungkan Rio di Peloponnese ke Antirio di tanah besar Greece yang merentasi Teluk Corinth.

Terusan Corinth iaitu terusan buatan manusia juga wajib menjadi tempat persinggahan. Ia sepanjang 6.3 kilometer dibina pada 1882 dan siap sepenuhnya pada 1893, sekali gus memendekkan jarak pelayaran sejauh 185 batu nautika menghubungkan Teluk Corinth dengan Teluk Saronic.



Bayu laut di pinggir Patras sememangnya nyaman dan menyegarkan. Penulis sewaktu berhenti di sebuah restoran di tepi laut di sini, menikmati ketenangan dan kedamaian ketika singgah sebentar.

Ketika di sini, penulis terpegun melihat sebuah gereja St Andrew hampir menyamai reka bentuk sebuah masjid. Bangunan lama ini mempunyai nilai sejarah tinggi, malah masih kekal ciri seni binanya.

Bagi yang meminati nilai seni tinggalan sejarah, bolehlah mengunjungi Roman Odeon atau Istana Patras, selain Muzium Arkeologi dan Municipal Theatre Apollo.

Tidak lengkap kunjungan jika tidak singgah membeli cenderahati sebagai tanda kenangan. Di Patras, premis perniagaan yang terletak di Aghious Nikolaou, Maizonos dan Riga Feraiou menawarkan pelbagai jenis barangan seperti pakaian dan cenderamata untuk dibawa pulang.


Kehidupan malam di Patras ternyata ‘hidup’ dengan kelab hiburan, restoran dan café. Antara yang terkenal ialah Ipsila Alonia Square dan Trion Navarhon Square.

Jika inginkan suasana lebih santai, lokasi bertemakan keindahan pantai dan hiburan dapat dinikmati di Iroon Polytecniou atau di Vrahneika. Di sinilah tempat pengunjung bersiar-siar menikmati udara segar di tepi laut yang indah.

Sejajar arus permodenan, Patras tidak hanya bergantung kepada produk berasaskan arkeologi, monumen atau sejarahnya. Ia menjadi lokasi penganjuran pelbagai acara peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, antaranya Pesta Antarabangsa Patras yang mula diadakan sejak 1986 sehingga kini.

Selepas sehari semalam berada di sini, penulis meninggalkan Patras menaiki feri menuju ke Brindisi di selatan Itali. Masa perjalanan kira-kira 16 jam pelayaran yang ditempuh ternyata tidak menjemukan.

INFO: Patras

  • Terletak di daerah Achaea dengan populasi kira-kira 210,000 orang
  • Bandar pelabuhan ketiga terbesar di Greece selepas Athens dan Pireaus
  • Seni persembahan teater amat popular di Patras.