Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Mei 2009

Didik bahaya komunis menerusi TV


AGAKNYA mungkin telah ditakdirkan nama Chin Peng akan sentiasa menjadi sebutan. Memang wajar sekiranya bekas Setiausaha Agung, Parti Komunis Malaya (PKM) itu diperkatakan orang.

Bagaimanapun bagi yang pernah hidup di zaman PKM bermaharajalela, mereka pastinya mahu nama itu disebut dalam bentuk cemuhan. Peranan Chin Peng dalam memporakperandakan negara bukannya sedikit. Kesengsaraan yang dihasilkan oleh Chin Peng dan PKM cuba dipadam dan dia diangkat sebagai hero. Kononnya sebagai nasionalis penentang penjajahan British.

Keadaan itu membuktikan masih ramai yang buta sejarah. Atau mungkin juga doktrin komunisme masih melekat di minda segelintir masyarakat. Atau fahaman itu ditiupkan secara diam-diam menerusi gerakan rahsia.

Sejarah tidak boleh dibohongi. Alasan apa pun tidak boleh membasuh dosa PKM kepada rakyat Malaysia. Persoalannya adakah betul Gerakan Pulau Pinang buta sejarah? Atau mereka sekadar membutakan mata? Siapakah Chin Peng kepada mereka?

Tetapi sekiranya betul unsur buta sejarah membelenggu rakyat kita - khususnya generasi muda - sesuatu perlu dilakukan dengan kadar segera.

Langkah pertama ialah menerusi pendidikan. Jika sukatan pelajaran Sejarah ketika ini tidak merangkumi semua pelajar atau kisah kekejaman PKM tidak disebar secara meluas, ia perlu diberi perhatian dan diperkemaskan.

Cadangan agar Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan semula kisah kekejaman PKM dan Chin Peng, perlu diberi perhatian. Usul yang disuarakan oleh Setiausaha 1, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Borhan memang ada rasionalnya.

Memang betul katanya, filem, drama atau dokumentari mengenai kesengsaraan rakyat akibat kekejaman komunis boleh menjadi antara medium terbaik menyedarkan masyarakat mengenai bahaya komunisme.

Bagaimanapun, usaha tersebut tidak sepatutnya dipikul oleh RTM semata-mata. Memanglah badan itu adalah wadah utama penyaluran maklumat oleh kerajaan. Namun tanggungjawab menyedarkan masyarakat sepatutnya dipikul bersama oleh stesen-stesen televisyen milik Kumpulan Media Prima dan juga Astro.

Ketika bahaya komunis hangat diperkatakan, amat wajar untuk RTM, Media Prima dan Astro berganding bahu. Pastinya kerajaan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tidak mempunyai masalah untuk berkongsi bahan siaran demi kepentingan rakyat.

Selain berkongsi bahan yang berada dalam simpanan RTM, usaha tersebut juga boleh digembleng dengan kerjasama Filem Negara Malaysia dan Arkib Negara.

Kerjasama semua stesen televisyen untuk mendidik rakyat mengenai bahaya komunis adalah penting kerana bukan semua orang memilih untuk menonton TV1 atau TV2.

Biarkan penonton mempunyai banyak pilihan rangkaian dan biarkan mereka memilih stesen kegemaran mereka. Sebagai memenuhi tanggungjawab sosial dalam konteks ini, ketepikan seketika matlamat untuk bersifat 'eksklusif.' Apa salahnya berkorban sesekali demi kesejahteraan negara.

Apa yang penting ialah memenuhi agenda untuk mendidik rakyat, khususnya mereka yang membesar di era selepas Perjanjian Damai di Hatyai, Thailand pada 1989. Kumpulan sasar itu perlu mendapat gambaran sebenar mengenai kekejaman komunis dan bahaya yang boleh dicetuskan oleh pengaruh komunisme.