Pulau Mabul memiliki keistimewaan tersendiri untuk menggamit para pelancong menikmati keindahan di darat dan di dasar lautnya.
TIDAK ramai yang mengetahui kehebatan yang dimiliki oleh pulau seluas 21 hektar ini. Terletak di perairan Laut Sulawesi berhampiran pantai Sabah, pulau yang menjadi kediaman masyarakat Bajau Laut ini seringkali meniti di bibir penyelam skuba.
Pulau Mabul dikatakan salah satu lokasi fotografi-makro terhebat di dunia. Pulau ini dikelilingi terumbu karang yang melandai sedalam dua hingga 40 meter.
Perumah kepada hidupan makro di dasar laut, Pulau Mabul tidak pernah mengecewakan para peminat foto dasar laut mengabadikan spesies ekologinya yang sukar ditemui di pulau-pulau lain.
Pulau yang terletak kira-kira satu jam 20 minit dari Semporna itu menawarkan pelbagai lokasi selaman yang berbeza. Di kalangan pencinta laut, selam skuba adalah aktiviti paling rancak di pulau ini. Istimewanya, selaman boleh dijalankan sepanjang tahun.
Antara hidupan laut yang terdapat di sini ialah kuda laut, tapak sulaiman, ikan gobi, ikan baji-baji, pipefish dan belut ular. Pulau ini menawarkan lebih lapan tapak selaman dengan kelebihan tersendiri.
Sekali pun anda bukan seorang penyelam, Pulau Mabul memiliki keistimewaan menggamit para pelancong menikmati keindahan alam semula jadinya.
Di Pulau Mabul anda boleh memilih sama ada tinggal di homestay atau resort bertaraf lima bintang.
Penginapan homestay rumah kayu tradisional atas air merupakan penginapan yang menjadi pilihan pengunjung. Terutama mereka yang ingin merasai kehidupan di pulau.
|
|
Dikelilingi air laut hijau yang jernih, homestay ini menyediakan bilik untuk penginapan dua orang dengan kemudahan bilik air yang berasingan.
Rumah-rumah atas air di pulau ini dihubungkan oleh titi-titi kayu di kawasan sekitarnya. Rumah-rumah kayu tradisional di homestay itu dibina mengunjur menghala ke laut.
Billabong Scuba Homestay misalnya, menyediakan persekitaran yang relaks, seolah-olah pengunjung menginap di rumah sendiri.
Pakej harga untuk bukan penyelam bermula dari RM170 semalaman. Penginapan homestay atas laut ini menyediakan bilik-bilik yang bertingkap dengan kemudahan kipas angin. Harga ini termasuk sarapan pagi, tengah hari dan makan malam.
Jika anda tidak menggemari aktiviti air seperti menyelam atau snorkeling, jadikan homestay ini sebagai tempat beristirehat sambil menyelami kehidupan sebenar di pulau.
Anda boleh menghabiskan masa menyelami kehidupan penduduk Pulau Mabul dengan bersiar-siar di sekitar kawasan kampung sambil bermesra dengan masyarakat setempat.
Nikmati pemandangan indah matahari terbenam dan bulan mengambang yang menyinari pada waktu malam sama ada di pelantar homestay atau dari tingkap bilik.
Jika bernasib baik, anda berpeluang melihat penyu dan ikan pari menikmati 'sarapan pagi' mereka di sekitar homestay ini seawal pagi.
Jangan lepaskan peluang mengunjungi Pulau Sipadan yang mengambil masa lebih kurang 30 minit perjalanan dari Mabul. Namun, pastikan anda memperoleh permit terlebih dahulu.