|
|
Kesedaran mengawasi keselamatan premis dan gedung perniagaan dengan rangkaian sistem kamera litar tertutup (CCTV) sejajar dengan keperluan semasa dilihat semakin meningkat.
Dengan adanya CCTV, setidak-tidaknya orang ramai bertambah yakin bahawa premis itu dikawal ketat dari segenap sudut. Secara tidak langsung, kewujudan CCTV yang canggih akan menyebabkan persepsi orang ramai juga menjurus ke arah sudut yang positif. Mereka akan yakin bahawa premis tersebut selamat dikunjungi.
Pun begitu, masih ada pemilik premis yang melengkapi premis mereka dengan CCTV “sekadar melepas batuk di tangga”. Apabila adanya persepsi sedemikian maka tujuan utama pengawasan berteraskan pemantauan jenayah menerusi CCTV tidak akan mencapai matlamatnya.
Sebenarnya, pemilik premis perlu menyedari bahawa keselamatan premis akan lebih terjamin apabila menggunakan CCTV yang berkualiti dan harganya mencecah ratusan ribu ringgit sebuah. Ini kerana, barang yang berkualiti akan menerbitkan atau menjamin penghasilan imej yang jelas dan bermutu tinggi.
Dengan imej yang berkualiti tinggi, maka tugas pihak polis dan agensi-agensi berkaitan misalnya Mimos Berhad dan Cyber Security Malaysia dalam mengesan dan mengenal pasti rupa fizikal penjenayah akan menjadi lebih mudah dan pantas.
Ia secara tidak langsung dapat meminimumkan kadar rungutan orang ramai bahawa terdapat CCTV yang gagal mengenal pasti suspek apabila dikehendaki. Imej yang tidak mencapai standard piawaian akan menyebabkan polis dan agensi berkaitan gagal melakukan pendakwaan ke atas sesuatu kes.
Bagi merungkai tahap-tahap yang perlu dilalui oleh tenaga pakar dalam menghalusi imej CCTV, pengalaman seorang bekas pegawai polis, Amidon Anan, 58, boleh dikongsi bersama. Amidon sebelum bersara pada September 2008 ialah Ketua Unit Siasatan, Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Forensik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Berbekalkan tujuh bidang kepakaran hasil menimba ilmu pengetahuan ketika menghadiri kursus di Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI), Amidon mengakui CCTV yang digunakan oleh institusi atau syarikat besar di Malaysia adalah canggih.