Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

19 Mei 2009

Menjaga kebersihan persekitaran cara terbaik elak wabak



PENULARAN penyakit leptospirosis di Depoh Tahanan Juru, Pulau Pinang apabila 35 pendatang tanpa izin disahkan menghidap penyakit itu, termasuk dua orang meninggal dunia memerlukan perhatian serius. Penyakit berjangkit bawaan haiwan yang boleh menjangkiti manusia disebabkan bakteria spirochete itu berlaku apabila ia terdedah kepada kuman dalam air tercemar dengan kencing haiwan seperti tikus. Depoh tahanan yang menempatkan 552 pendatang itu terpaksa menjalankan proses pembersihan di empat blok pusat rawatan, bilik air serta tempat penyimpanan air bagi membasmi penyebaran bakteria berkenaan. Persoalan yang timbul ialah sama ada pihak berkuasa membuat tindakan susulan untuk memeriksa semua 17 depoh tahanan Imigresen di seluruh negara supaya ia bebas daripada sebarang kuman seperti itu. Bukan saja depoh, malah pusat yang dihuni ramai orang seperti Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga memerlukan pemeriksaan rapi supaya apa yang berlaku di Depoh Tahanan Juru di Bukit Mertajam itu tidak menjadi seperti ‘bom jangka’ untuk pusat lain yang menempatkan ramai manusia. Baru-baru ini, juga berlaku penularan wabak meningitis di Negeri Sembilan dan Melaka. Kejadian 354 pelatih penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di akademi jabatan itu di Tiang Dua, Melaka, dimasukkan ke hospital, termasuk seorang maut akibat meningitis, sememangnya mencetuskan kebimbangan ramai. Selain itu, 33 pelatih Pusat Latihan Polis di Jempol, Negeri Sembilan, juga baru-baru ini menghidap demam disebabkan jangkitan viral.

Meningitis merujuk masalah radang pada lapisan sekeliling otak dan saraf tunjang yang kerap kali disebabkan bakteria. Ia boleh menjadi wabak jika berlaku dalam kawasan seperti di asrama atau berek. Ini disebabkan keadaan tempat itu yang sesak, peredaran udara tersekat serta faktor kedudukan rapat sesama penghuni menyebabkan ia mudah tersebar. Sebenarnya, kes sama pernah berlaku pada 2002 di Universiti Putra Malaysia dan secara purata, 50 kes meningitis setahun dicatatkan di negara kita. Bagi kes leptospirosis, 11 pelatih PLKN Kem Putera Puteri, Taboh Naning, Melaka dimasukkan ke hospital pada 2006 kerana jangkitan wabak Influenza B dan leptospirosis selepas menjalani sesi latihan air dalam masa 15 minit atau setengah jam. Amat jelas di sini bahawa pusat seumpama itu, termasuk asrama pelajar terdedah kepada bahaya penyakit jika tidak diawasi dengan sebaik mungkin. Pada Mei 2007, 11 daripada 602 anggota polis kadet dari 23 sekolah di Melaka dijangkiti leptospirosis ketika perkhemahan di Sungai Congkak, Hulu Langat. Jangkitan kuman itu boleh berlaku apabila air yang tercemar digunakan untuk mandi, memasak atau minum. Banjir besar di Johor pada 2007 mengorbankan dua nyawa akibat leptospirosis. Beberapa kes membabitkan leptospirosis menjadi igauan mangsa banjir membabitkan kes di Brazil pada 1983, 1988 dan 1996; Nicaragua (1995) dan Thailand (2000). Ketika dunia sibuk dengan Influenza A (H1N1), penyakit yang turut membawa maut seperti leptospirosis dan meningitis juga perlu pemantauan rapi sama ada dalam penjara, pusat serenti, pusat tahanan pendatang, PLKN atau asrama sekolah yang menuntut pihak terbabit supaya sentiasa menjaga kebersihan sekitar.