Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 Mei 2009

Modal insan mampu tingkat produktiviti



DALAM keadaan ekonomi dunia yang sedang parah dilanda krisis kewangan, penularan wabak selesema babi yang semakin membimbangkan dan ketidaktentuan iklim global dengan pelbagai tragedi, maka semua pihak, termasuk golongan pekerja pelbagai sektor perlu bersifat lebih terbuka dan rasional bagi memberi ruang kepada kerajaan dan agensi swasta merangka dan melaksanakan pelan pemulihan secepat mungkin. Berikutan itu, Hari Pekerja yang disambut setiap 1 Mei di serata dunia perlu diberi nafas baru.

Ketika berucap di hadapan lebih 5,000 penjawat perkhidmatan awam pada 28 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebut mengenai cabaran besar semasa yang perlu ditangani segera, iaitu memastikan impak minimum terhadap ekonomi Malaysia kesan kegawatan kewangan dan ekonomi global, keluar daripada kemelut secepat mungkin dan membantu rakyat menangani keperitan hidup.

Menurut Najib lagi, cabaran jangka panjang pula menjurus kepada perubahan struktural ekonomi negara berteraskan kreativiti dan inovasi dengan menjadikan sektor perkhidmatan sebagai peneraju pertumbuhan dan penjanaan kekayaan baru.


Dalam konteks ini, sektor selain perkhidmatan dijangka mengalami pengurangan dari segi tumpuan dan insentif kerajaan tanpa menafikan kepentingan setiap sektor untuk sama-sama membantu memacu pertumbuhan ekonomi pada kadar secepat mungkin menerusi dua pakej rangsangan ekonomi yang sudah diumumkan.

Sebagai pekerja, kita harus memahami perubahan struktural yang sedang dilaksanakan kerajaan pimpinan Najib. Perubahan struktural itu diperlukan segera untuk membolehkan negara memacu pertumbuhan daripada pusat sektor pengeluaran berkos rendah ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai sektor yang sama.

Sudah pasti antara cirinya ialah peningkatan kualiti barangan dan perkhidmatan, pelestarian alam sekitar dan peningkatan kualiti hidup rakyat. Ini bermakna kemahiran, keupayaan dan kecekapan golongan pekerja perlu dipertingkatkan ke tahap lebih tinggi dengan ganjaran dan gaji lebih lumayan.

Peningkatan kemahiran, keupayaan dan kecekapan ini tidak berlaku dengan sendirinya. Peningkatan itu juga biasanya tidak terdorong menerusi peningkatan pakej ganjaran dan gaji lumayan semata-mata. Menurut pakar dan sarjana pengurusan, peningkatan itu hanya boleh dilakukan menerusi model pembangunan modal insan yang berterusan, terencana dan berkualiti.

Di sinilah pentingnya peranan institusi pengajian tinggi. Perlu juga dijelaskan konsep 'pengajian tinggi' tidak hanya terhad kepada universiti dan kolej universiti. Pengajian tinggi juga merangkumi pendidikan tertiari yang membabitkan politeknik, kolej komuniti, maktab, akademi, pusat latihan lepasan sekolah dan institusi latihan khusus seperti Intan dan Institut Alam Sekitar Malaysia (EiMAS) yang dikendalikan pelbagai agensi awam dan swasta.

Memang dari segi peranan, hanya Kementerian Pengajian Tinggi yang seolah-olah memikul beban besar itu. Tetapi dari segi amalan, hampir semua kementerian, sektor dan agensi perlu tampil memacu perkembangan modal insan pada setiap peringkat dan lapisan rakyat.

Dari segi peranan, semua institusi itu perlu digembleng untuk membolehkan negara melangkah setapak lagi, tetapi jauh ke hadapan bagi melaksanakan model baru ekonomi, sekali gus kembali ke landasan yang mantap untuk merealisasikan Wawasan 2020 sebagai negara maju. Najib menyedari bahawa masyarakat Malaysia masih kekal dengan ciri majmuk. Dengan demikian sesuatu perubahan perlu dihayati dan memanfaatkan seluruh kelompok rakyat. Persoalannya ada kelompok yang mungkin tercicir dan sukar berubah mengikut perubahan dasar dan model baru pembangunan.

Untuk tujuan itu dasar yang jelas sudah digariskan Najib bahawa 'setiap rakyat berkelayakan dan memerlukan bantuan serta pertolongan akan dibantu. Tidak akan ada pihak dicicirkan'. Dengan kata lain, model pembangunan modal insan yang baru perlu dilaksanakan bagi kepentingan semua kelompok rakyat untuk menyediakan datar permainan lebih adil bagi mendapat hasil yang diharapkan.

Sehubungan itu, saya berharap pelbagai agensi awam dan swasta dapat segera duduk semeja untuk memikir bagi memulakan inisiatif menerusi dasar dan gerak kerja baru memantapkan lagi program pembangunan modal insan, khususnya pada peringkat latihan dalam perkhidmatan, supaya memenuhi ruang kosong dari segi pengisian minda, motivasi, kemahiran, mutu kerja dan budaya cemerlang. Tentunya aspek budaya dan penghayatan ilmu menjadi teras. Menerusi kualiti dan budaya kerja yang mantap pada pelbagai peringkat saja, maka barulah kita boleh melonjakkan negara ke peringkat lebih tinggi bersaing dengan negara maju.

Tumpuan ialah kepada produktiviti berteraskan kreativiti dan inovasi. Kreativiti bermakna kaedah, sistem dan cara baru yang tidak konvensional untuk mengurus, mengamal atau menangani sesuatu isu atau masalah. Kreativiti biasanya digabungkan dengan inovasi yang menjurus kepada perubahan berdasarkan sistem atau perkhidmatan yang sedia wujud menerusi kaedah, idea atau produk baru.

Dengan kata lain, kreativiti adalah cara baru dan inovasi pula adalah kaedah baru menerusi pembaharuan sistem lama untuk menghasilkan produktiviti berganda.

Sehubungan itu, pihak pengurusan perlu bersedia untuk menghadapi persekitaran yang lebih kreatif dan inovatif. Produktiviti tidak akan berganda jika pihak pengurusan berasa terancam dengan istilah dan pendekatan transformatif yang menjadi keperluan dalam sesebuah organisasi yang mementingkan kreativiti dan inovasi yang biasanya diajukan golongan muda berpangkat bawahan.

Ada juga baiknya jika istilah kreativiti dan inovasi itu dimasukkan dalam pernyataan misi atau tagline organisasi. UTM sebagai contoh mengubah tagline dari 'universiti perdana bidang kejuruteraan dan teknologi' kepada 'menjana minda kreatif dan inovatif' sejak Februari 2009. Ini secara tidak langsung bertujuan menyediakan ekosistem organisasi yang lebih sesuai dan nyaman untuk menyongsong aspirasi pembaharuan, transformasi dan budaya kerja cemerlang.

Pada masa sama, memberi ruang kepada percambahan dan pelaksanaan idea serta kaedah baru untuk menggandakan produktiviti selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.

Bagi Najib, pembaharuan dan model baru bukan 'hangat-hangat tahi ayam', tetapi memerlukan kesinambungan dan tindakan susulan. Bagi golongan pekerja pula, pembaharuan dan model baru itu adalah jawapan kepada kemelut semasa untuk memastikan Malaysia terus menapak maju mengharungi kemelut ekonomi global dan pelbagai cabaran lain yang bakal menyusul. Selamat Hari Pekerja!

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)