Oleh Nor Shahfizan Hasim dan Siti Nur Almizan Aripin
Dr E Soepadmo menunjukkan spesies kapuk dan kekabu hutan. |
Permintaan tinggi tilam, bantal bolehkan peniaga raih pendapatan lumayan
JIKA diamati, tiada apa yang unik mengenai spesies pokok kekabu yang dikatakan semakin kurang dikenali kerana lebih banyak tumbuh di kampung berbanding bandar besar.
Namun, di sebalik peranan kekabu sekadar bahan ‘pengisi’ kusyen, bantal, tilam dan alas tangan pengantin, ia sebaliknya boleh disifatkan sebagai ‘permata’ yang mampu mendatangkan pendapatan lumayan kepada pengusahanya.
Ini disebabkan hasil jualan kekabu di pasaran yang baik mampu memberikan pulangan antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan. Ia berkait rapat dengan permintaannya yang sentiasa ada biarpun kebanyakan peniaga berdepan kesukaran mendapatkan bahan kekabu itu berikutan kekurangan pokok itu ketika ini.
Terbaru, ada kajian mendapati minyak biji kekabu berpotensi untuk menghasilkan diesel. Bagaimanapun, usaha untuk melihat ia dikembangkan agak sukar kerana kos penjagaan pokok kekabu dan tempoh matangnya yang lama menyebabkan sektor perladangan melihatnya sebagai tidak menguntungkan.
Namun, potensi besar kekabu dari segi jualan hasil tilam dan bantal, diakui sendiri peniaga yang mengusahakan syarikat Hajah Safeah Warisan Kekabu, Hairul Anuar Amat yang sudah menguruskan perniagaan keluarganya sejak 10 tahun lalu.
Gerai Hairul yang terletak di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh, Selangor, itu juga sering dikunjungi ramai, termasuk kelompok pelanggan tetap. Malah, permintaan kekabu yang sentiasa ada turut menjadi antara faktor yang menyaksikan kedainya itu mampu bertahan sejak sedekad lalu.
“Dari segi harga, kekabu yang siap dijadikan bantal akan dijual dengan harga antara RM15 hingga RM25 setiap satu, bergantung kepada saiz dan berat isi kandungannya.
“Atas alasan inilah, jika diusahakan betul-betul dan mampu memenuhi permintaan yang amat besar, pengusahanya mampu meraih pendapatan bulanan antara RM10,000 hingga RM15,000. Itu pun jika kita mampu mendapatkan bahan mentah kekabu yang sebenarnya berkurangan ketika ini,” katanya.
Hairul berkata, syarikatnya juga tidak putus-putus menerima kehadiran pelanggan yang menggemari kekabu.
“Kami sering menerima pelanggan yang lebih gemarkan bantal atau tilam kekabu, terutama ketika musim cuti sekolah dan kenduri kahwin. Ada ketikanya pelanggan terpaksa membuat tempahan lebih awal untuk mengelakkan kehabisan bekalan kekabu,” katanya.
Hairul berkata, bantal atau tilam yang menggunakan isian kekabu lebih mendapat perhatian kerana keunikan kekabu itu sendiri yang lembut serta selesa. Ia amat sesuai sebagai alas tidur untuk bayi mahupun golongan dewasa.
“Kekabu yang dijadikan tilam atau bantal mampu bertahan selama 20 tahun. Untuk mengembalikan keselesaan pengguna, bantal atau tilam perlu dijemur dan dipukul bagi menyingkirkan habuk kekabu,” katanya.
Isi buah kekabu menyamai kapas atau lebih dikenali sebagai kapuk. Ia gentian halus pelbagai guna mempunyai nilai komersial yang baik untuk diniagakan. Warna buahnya hijau seakan-akan pisang muda mula merekah dan bertukar warna perang kehitaman apabila masak.
Kebiasaannya buah kekabu menjadi matang ketika usia mencapai tiga bulan. Apabila buah kekabu sudah cukup matang, kekapas diasingkan daripada buah dan biji mengikut kualiti warna. Warna putih atau kekuningan dikatakan mempunyai nilai harga yang baik di pasaran, manakala warna keperangan atau kelabu dikategorikan sebagai kelas kedua.
“Pokok kekabu banyak di kawasan Perak terutama di Lenggong dan Grik. Kebanyakan penduduk di situ menjadikan isi kekabu sebagai hasil pendapatan sampingan untuk warga kota yang pulang ke kampung,” katanya.
Hairul berkata, ketika kerja-kerja pengasingan dilakukan, kekabu turut ditimbang bagi mendapatkan jumlah berat bersesuaian. Selepas memasukkan kekabu ke dalam sarung bantal atau tilam, seterusnya proses menjahit akan dilakukan oleh isterinya, Salmi Bidin yang turut sama mengusahakan perniagaan.
Salah seorang pelanggan, Shahrul Izman Mohd Sabry, 28, berkata bantal atau tilam yang dihasilkan daripada kekabu lebih selesa kerana tahan lama dan leher tidak sakit apabila menggunakan kekabu sebagai alas kepala.
“Kami sekeluarga lebih menggemari bantal berisi kekabu jika dibandingkan bantal biasa yang dijual di pasar raya. Ini kerana selain lembut, harganya juga berpatutan,” katanya.
Pakar kekabu yang juga saintis botani Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Prof Dr E Soepadmo, pula menyifatkan kekurangan nilai komersial kekabu berbanding pokok getah dan kelapa sawit menyebabkan tiada pihak seperti sektor korporat yang berminat melabur sejumlah modal bagi pelaksanaan projek penanaman pokok kekabu secara perladangan.
Kekurangan ketara bilangan pokok kekabu kampung berbanding 10 tahun lalu juga menyebabkan bekalan itu semakin berkurangan sehingga meresahkan peniaga yang mengusahakan jualan bantal dan tilam kekabu.
“Kekabu yang berasal daripada famili Bombacaceae, terbahagi kepada dua jenis iaitu kekabu kampung atau kapok (Ceiba pentandra) dan kekabu hutan (Bombax). Pokok kekabu bukan tumbuh semula jadi di negara ini kerana ia berasal dari Mexico dan bahagian tropika benua Amerika. Bagaimanapun, di dalam hutan Malaysia ada sejenis pokok kekabu yang tumbuh, dipanggil kekabu hutan.
“Bagaimanapun, jumlah serta lokasinya tidak jelas kerana ia adalah sejenis tumbuhan liar yang tidak tumbuh secara berkelompok malah kualiti isi kekabu hutan juga jauh lebih rendah berbanding kekabu kampung,” katanya.
Antara negara yang mengusahakan penanaman pokok kapok untuk tujuan industri bagi mendapatkan isi kekabu, hasil kayu dan pati minyak bijinya adalah Thailand, Indonesia dan India.
Indonesia adalah pengeluar utama kapok di dunia dengan hasil pengeluaran sebanyak 80,000 tan pada 1996 hingga 2000 manakala Thailand pula menghasilkan sebanyak 40,000 hingga 45,000 tan pada tahun sama.