Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

24 Mei 2009

Zahra si penakluk selat



PERAIRAN Lumut, Perak, menjadi lokasi Zahra Masoumah berlatih.


SIAPA sangka di sebalik senyuman manis yang terukir pada wajah gadis berusia 18 tahun ini, tersimpan satu iltizam menggunung yang hanya mampu dikecapi dengan seribu satu keberanian dan kecekalan.

Bagi Zahra Masoumah Abdul Halim, misi berenang merentasi Selat Inggeris yang dijadualkan awal Julai ini merupakan langkah pertamanya sebelum menyahut cabaran renangan jarak jauh yang lebih mencabar.

Katanya, peluang mengekori kejayaan dua rakyat Malaysia yang sebelum ini berjaya mengharungi badai ombak selat sejauh 34 hingga 37 kilometer (km) itu adalah sesuatu yang sangat bermakna lebih-lebih lagi bagi perenang remaja sepertinya.

"Kejayaan Datuk Abdul Malik Maidin dan Lennard Lee merentasi Selat Inggeris sememangnya mengagumkan namun apa yang bakal saya lakukan pada 3 hingga 6 Julai nanti, bukanlah untuk menyaingi mereka.

"Sekiranya berjaya menamatkan cabaran merentasi selat itu dari Dover, selatan United Kingdom ke Calais, utara Perancis, saya berhasrat menakluk empat lagi selat berlainan benua dalam tempoh beberapa tahun dari sekarang," katanya.




Sebelum ini pada Ogos 2003, Abdul Malik berjaya berenang merentasi Selat Inggeris dengan catatan masa 17 jam 35 minit. Manakala setahun selepas itu, Lee, seorang pelajar jurusan perubatan di Universiti Cambridge, berjaya melakukannya dalam masa 9 jam 45 minit.

Tidak pernah bersua muka dengan dua perenang terbabit, Zahra Masoumah bagaimanapun mengakui sangat menghormati Abdul Malik dan Lee.

"Catatan masa mereka sangat hebat dan dalam mengharungi misi ini, soal masa bukanlah keutamaan. Paling penting, saya mampu melaksanakannya tanpa gagal," katanya.

Zahra Masoumah dijangka akan dipertemukan dengan Lee di United Kingdom yang difahamkan turut membantu persiapan misi berkenaan di sana.

Sekiranya beliau berjaya dalam misinya itu, Zahra Masoumah bakal melakarkan sejarah tersendiri sebagai perenang wanita Islam di dunia yang berjaya melepasi selat itu.

Bakal berlepas ke United Kingdom pada 27 Mei ini bersama adik lelakinya, Salman Ali Shariati, 11, diiringi jurulatih peribadi, Arof Osman, Zahra Masoumah optimis latihan intensif yang diharunginya khususnya di perairan Lumut dan Selat Dinding sejak setahun lalu mampu membantunya menjayakan misi tersebut.

"Saya akan berada di sana lebih sebulan bagi membiasakan diri dengan keadaan suhu air laut yang sejuk.

"Walaupun jarak renangan Selat Inggeris adalah lebih pendek daripada renangan yang pernah saya lakukan sebelum ini, cabaran besarnya adalah cuaca sejuk sehingga 15 darjah Celsius selain arus air laut yang kuat," katanya.

Jelasnya, setiap perenang Selat Inggeris perlu melepasi syarat kelayakan iaitu mampu berada dalam air sekurang-kurangnya enam jam tanpa henti.