Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 Ogos 2009

Bank Data DNA mudahkan tugas



DALAM siri penyiasatan popular, CSI: Crime Scene Investigation, CSI:Miami dan CSI:NY, penonton kerap melihat sebijak mana seseorang penjenayah, dia pasti tertangkap kerana cuai meninggalkan bukti walau cuma sehelai rambut di tempat kejadian.

Perkara sama pernah dialami Juruanalisis Seksyen Tempat Kejadian Jenayah Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia, Asisten Superintendan Zuraimi Zam Zam, yang berjaya membuktikan mangsa kes bunuh pernah berada dalam kereta suspek dengan penemuan setitik darah.

“Pegawai penyiasat berjaya menangkap suspek dan menemui kereta yang dipercayai pernah membawa si mati ketika mangsa masih hidup dua bulan selepas kejadian. Kereta berkenaan sudah dibersihkan dan tugas mencari bukti menunjukkan mangsa pernah berada dalam kenderaan berkenaan memang sukar.


“Bagaimanapun, setitik kesan darah dikesan di bahagian bumbung tempat duduk belakang kereta berkenaan. Selepas diperiksa, ia sepadan dengan darah mangsa. Apa yang berlaku selepas itu ialah suspek pula perlu menerangkan bagaimana darah itu berada dalam keretanya jika dia tidak pernah membawa si mati menaiki kenderaan itu,” katanya.

Zuraimi berkata, keputusan mahkamah ada kalanya tidak menyebelahi kes yang dibicarakan walaupun ada keputusan positif hasil analisis bahan bukti yang dijumpai untuk menyabitkan suspek.

“Bukti positif tetapi faktor lain turut diambil kira, umpamanya keterangan saksi. Pada awal siasatan, saksi memberi keterangan berbeza, tetapi ketika perbicaraan, keterangan saksi berbeza akibat kurang kerjasama atau terlupa.

“Saya boleh beri contoh tiga kes bunuh berprofil tinggi, satu daripadanya membabitkan seorang VIP. Dalam ketiga-tiga kes kami berjaya mengemukakan bukti forensik menunjukkan suspek berada di tempat kejadian, tetapi kalah dalam dua kes berkenaan. Cuma satu kes suspek disabitkan,” katanya.

Beliau turut menyambut baik keputusan Dewan Rakyat meluluskan Bank Data DNA yang disifatkan dapat membantu menyelesaikan banyak kes jenayah.

“Ia memudahkan kerja kerana kita dapat membandingkan contoh DNA yang diambil di tempat kejadian dengan data yang tersimpan. Ketiadaan data DNA menyukarkan kami membuat perbandingan terutama jika suspek tiada rekod jenayah,” katanya.

Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 diluluskan dengan pindaan di Dewan Rakyat pada 23 Jun lalu. Ia dibahas panjang lebar pada peringkat dasar tahun lalu dan mengambil masa dua hari pada peringkat jawatankuasa pada persidangan kali ini, menyaksikan sembilan fasal dalam rang undang-undang itu dipinda.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop, berkata antara yang dipinda ialah mengenai jawatan ketua, timbalan ketua dan pegawai yang bertanggungjawab mentadbir dan mengurus Bank Data DNA digantikan pegawai awam yang memiliki kelayakan dan pengalaman dalam sains DNA.

Selain itu, Dewan Rakyat meluluskan cadangan pindaan bagi Fasal 13(7) bagi membolehkan seseorang yang tidak membenarkan sampel bukan intimnya diambil, dihadapkan ke Mahkamah Majistret.

Dua fasal rang undang-undang dipotong, iaitu Fasal 14, mengenai peruntukan jumlah denda dan penjara terhadap seseorang yang enggan memberi sampel bukan intim dan Fasal 24 yang menyatakan maklumat daripada Bank Data DNA hendaklah diterima sebagai bukti muktamad bagi identifikasi DNA dalam prosiding mahkamah.

INFO: Makmal Forensik

  • Makmal Forensik memproses bukti seperti penimbulan cap jari, kesan pindaan nombor enjin dalam kes kecurian kenderaan, kes-kes jenayah komputer, pemeriksaan dokumen, pemeriksaan audio video dan kes balistik, manakala sampel DNA masih dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk diuji.

  • Mempunyai kekuatan kira-kira 160 anggota yang bersiap sedia 24 jam dan bekerja mengikut syif.

  • Bidang kuasa meliputi seluruh negara.
  •